Categories
SELANGOR

Kempen Jom Jimat Air bermula Mei hingga Julai ini

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 MEI: Kempen Jom Jimat Air akan dilaksanakan secara agresif bermula Mei hingga Julai ini secara serentak di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata setiap PBT akan mengadakan kempen melalui program dirangka masing-masing selain menaikkan papan iklan.

Katanya, kempen itu turut membabitkan agensi lain antaranya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang akan mengeluarkan khutbah khas berkenannya.

Zaidy Abd TalibKempen ini masih di peringkat awal dan akan diteruskan hingga hujung 2016. Bermula Mei hingga Julai, kempen ini akan dilancarkan secara serentak di semua PBT, JAIS dan pejabat daerah di peringkat masing-masing.

“Ketika ini, Kerajaan Negeri giat memasang papan iklan dan mengedarkan poster di seluruh negeri,” katanya kepada SelangorKini.

Zaidy berkata, Kempen Jom Jimat Air juga akan dilaksanakan di peringkat sekolah seluruh Selangor selain pertandingan mencipta video pendek dengan hadiah sebanyak RM 6,000.

“Hadiah turut akan diberikan kepada pangsapuri yang paling banyak mengurangkan bil air,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kempen terbabit yang bermula dari fasa hebahan dan kesedaran awam awal tahun lalu berjaya mencapai objektif.

main air“Bagaimanapun kita sedia maklum, untuk mengurangkan jumlah bil penggunaan memerlukan masa yang lama kerana ianya proses pembudayaan yang perlu dipupuk.

“Ketika ini, statistik kadar penggunaan domestik dianggarkan sebanyak 235 liter digunakan individu setiap hari,” katanya.

Beliau turut menasihatkan dan menyeru rakyat Selangor termasuk ADN supaya mengamalkan sikap berjimat cermat dalam penggunaan air.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mahu pihak pengurusan masjid dan surau di negeri itu mengenakan amalan penggunaan air secara berhemah dalam kalangan jemaah bagi mengurangkan kadar pembaziran air yang amat tinggi di negeri itu.

-AA-

MB : Guna air secara berhemah elak pembaziran

Jom Jimat Air : Kesedaran penggunaan air berhemah dilaksanakan untuk memastikan amalan pembaziran air dihentikan – MB