Categories
SELANGOR

Kreativiti JPBD, MPSepang diiktiraf Switzerland

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 SEPT: Idea kreatif Jabatan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan meningkatkan mutu perkhidmatan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, ia terbukti apabila dua PBT dan jabatan di Selangor menerima anugerah emas juga hadiah keempat, pada tahun ini.

“Di Selangor kita tidak kekurangan idea kreatif dan inovatif menerusi pelbagai pengiktirafan, tidak hanya di peringkat agensi, malah sampai ke tahap antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Selangor 2017 (MPIPANS 2017), di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Katanya, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor serta Majlis Perbandaran Sepang meraih anugerah emas masing-masing, pada 45th International Exhibition of Inventions 2017, di Geneva, Switzerland.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya berjaya meraih tempat keempat Asean Environmentally Sustainable Cities (ESC) Award di Brunei.

Katanya, pengiktirafan di peringakat antarabangsa itu dicapai sejak 2014.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Padang PKNS: MB Pelawa Penduduk Bincang

SHAH ALAM, 6 JUN : Penduduk SS7, Kelana Jaya dialu-alukan untuk mendengar perbincangan Jawatankuasa Bebas yang akan ditubuhkan Kerajaan Negeri Selangor bagi menyelesaikan isu padang kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, isu tersebut perlu dinilai secara telus dengan membabitkan penyertaan semua pihak termasuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD).

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dikendalikan badan profesional yang terdiri daripada bekas hakim serta arkitek perancangan bandar dan desa, tanpa membabitkan individu yang mempunyai kaitan dengan Kerajaan Negeri.

“Jika dilihat secara menyeluruh mengenai perkara ini, semua pihak terbabit sama ada secara langsung atau tidak langsung termasuk Kerajaan Negeri sendiri.

“Jika ada yang mengatakan proses ini dikendalikan oleh Exco atau kakitangan Kerajaan Negeri, maka kita tidak panggil ia sebagai Jawatankuasa Bebas. Malah kita tidak akan mempelawa penduduk untuk turut serta,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan terhadap perkara itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

“Mereka (Jawatankuasa Bebas) akan mengkaji semula apa yang berlaku supaya perkara ini dapat diselesaikan segera dan kita dapat tahu hal yang sebenar,” ujarnya.

Sebelum ini, isu terbabit dibangkitkan apabila padang PKNS di SS7 Kelana Jaya berhampiran Lebuhraya Damansara Puchong ingin dimajukan PKNS sebagai projek komersial.

Hal tersebut menimbulkan bantahan penduduk setempat ekoran kawasan itu diwartakan sebagai kawasan hijau.

Bagaimanapun, Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan baru-baru ini mengakui terdapat kesilapan cetak oleh MBPJ dalam Rancangan Tempatan Petaling Jaya (RTPJ2).

Oleh itu, Roslan memaklumkan pihaknya akan mengikut buku yang dicetak oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD).