Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

PKPS jual bawang merah lebih murah sepanjang jualan prihatin rakyat

SHAH ALAM, 7 MAC: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan harga bawang besar lebih murah menerusi Jualan Ehsan Prihatin Rakyat.

Dalam kenyataan di Facebook, agensi itu berkata harga yang ditawarkan adalah RM2.80 sekilogram (kg) atau RM24 bagi seguni bawang besar seberat 10 kg.

“Bawang besar pada harga murah ini boleh diperoleh di Wisma PKPS di sini dan program Jualan Lori Ehsan PKPS di kawasan ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim dilaporkan berkata program Jualan Prihatin Rakyat akan menawarkan empat barang keperluan harian iaitu ayam, telur, daging dan ikan pada harga murah mulai 27 Februari hingga menjelang Aidilfitri.

Katanya, program pada setiap Sabtu dan Ahad menerusi kerjasama Selangor Agro Market dan PKPS adalah kesinambungan program intervensi harga ayam dan telur yang dilancar Dato’ Menteri Besar pada bulan lalu.

Menurut Izham pihaknya menyasarkan sebanyak 10,000 ayam, 3,100 kilogram (kg) daging segar, 6,200 kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B dijual sepanjang program berkenaan.

Beliau turut mempertimbangkan untuk menambah beberapa barangan keperluan harian lain seperti minyak masak jika program jualan murah mendapat sambutan.