Categories
AGENDA SUKANKINI

PJ City FC tekad kejutkan JDT, hidupkan peluang

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Petaling Jaya City FC (PJ City FC) tekad mencipta kejutan ke atas pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, malam esok, bagi menghidupkan peluang kekal bersaing dalam liga itu musim depan.

Ketua Jurulatih PJ City FC, K. Devan mengakui hanya keputusan positif ke atas skuad Harimau Selatan mampu mengubah kedudukan skuad ‘The Phoenix’ yang sekadar meraih satu kemenangan dalam lapan aksi liga sebelum ini.

“Kami tiada pilihan lain perlu dapatkan tiga mata dalam perlawanan ini untuk jauhkan diri daripada zon penyingkiran, dan kami tidak akan turun bermain secara bertahan sahaja walaupun tahu lawan adalah pasukan terbaik dalam liga daripada aspek serangan.

Jika kami memilih untuk bertahan, cara ini tidak akan membantu pasukan sebaliknya kami perlu kurangkan kesilapan ketika lakukan serangan dan semua pemain perlu tanamkan dalam minda untuk bermain secara menyerang,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia, hari ini.

Dalam pada itu, bekas jurulatih Selangor dan Negeri Sembilan itu menuntut barisan serangannya untuk mempertingkatkan ketajaman penyudah di depan pintu gol lawan.

Pengendali berusia 59 tahun itu berkata ketiadaan penyerang import dari Guinea, Demba Camara yang masih berada di negaranya bagi menyelesaikan isu peribadi, menjadi antara punca jentera serangan pasukan berkenaan berdepan masalah.

PJ City FC hanya mampu meledak tujuh jaringan, namun dibolosi 11 gol sejak saingan Liga Malaysia bersambung pada 26 Ogos lepas.

“Kami banyak mencipta peluang dalam perlawanan sebelum ini, tetapi pada aspek penyudah, pemain saya agak kurang menjadi dan perkara ini yang saya sedang perbaiki.

“Saya tetap optimis kami masih boleh perbaiki pencapaian di tangga kelapan pada musim lalu dengan cuba dapatkan tujuh atau sembilan mata apabila berdepan JDT, UiTM FC dan PDRM,” kata Devan.

Berbaki tiga perlawanan, PJ City FC kini menghuni tangga ke-10 daripada 12 pasukan Liga Super menerusi kutipan tujuh mata selepas lapan perlawanan (satu kemenangan, empat keputusan seri dan tiga kekalahan).

JDT yang masih mengungguli carta Liga Super menerusi kutipan 22 mata, bakal dinobatkan selaku juara Liga Super musim ini sekiranya mengatasi PJ City FC pada perlawanan itu.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PJ City FC tekad kekal dalam saingan Liga Super

MELAKA, 21 SEPT: Pemain-pemain pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) perlu bangkit meraih tiga mata penuh dalam baki tiga perlawanan Liga Super, bagi memastikan pasukan itu kekal berada dalam saingan musim depan, kata ketua jurulatihnya K Devan.

Katanya kejayaan mengikat Melaka United 1-1 pada aksi di Stadium Hang Jebat malam tadi, sedikit memberi kelegaan, kerana barisan pemain sedar pasukan dalam situasi kritikal untuk mengelak berada di zon penyingkiran.

“Selepas ini, kita akan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), UiTM FC dan PDRM FA, tetapi saya melihat kita masih mempunyai peluang untuk menang sekurang-kurangnya dua perlawanan dan mendapatkan enam mata supaya kita boleh kekal dalam liga.

“Bertemu JDT selepas ini mungkin agak sukar, tetapi kita akan cuba apa yang kita mampu,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan antara Melaka United dan PJ City FC di Stadium Hang Jebat di sini, malam tadi.

Pada aksi itu, PJ City FC memusnahkan harapan tuan rumah untuk mengutip tiga mata penuh menerusi gol saat akhir pemain gantian M Kogileswaran, selepas Melaka United mendahului jaringan melalui Romel Ramirez pada minit ke-72.

Devan berkata pencaturan taktikal pada minit terakhir dengan memasukkan tiga pemain penyerang, berjaya membuahkan hasil dan beliau memuji barisan pemainnya yang menunjukkan sikap positif, walaupun ketinggalan satu gol.

Beliau berkata ketiadaan pemain import dari Guinea Demba Camara, yang tidak dapat kembali ke Malaysia selepas pulang ke negara asal untuk menyelesaikan masalah peribadi, turut memberi kesan kepada skuad kendaliannya.

PJ City FC kini berada di tangga ke-10 kedudukan Liga Super dengan tujuh mata selepas lapan perlawanan.

– BERNAMA