Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

2,000 Orang Asli nikmati subsidi data internet hingga 45GB sebulan

SHAH ALAM, 16 JULAI: Seramai 2,000 Orang AsliĀ  di negeri ini bakal menikmati kemudahan data internet dengan had kuota antara 15GB ke 45GB sebulan.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata inisiatif Data Internet Selangor bawah Pakej Kita Selangor 2.0 boleh dimohon mulai semalam sehingga 15 September.

“Mereka dijangka menerima kad sim bermula 1 Oktober depan,” katanya di Facebook.

Permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang www.platselangor.com dan klik Inisiatif Bisnes Amal.

Program dengan peruntukan sebanyak RM17.5 juta itu diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 9 Jun.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan menanggung kadar langganan bulanan melalui tawaran produk kad sim data internet dengan kuota antara 15GB ke 45GB sebulan

Antara golongan sasaran untuk menerima manfaat ialah penjaja kecil, pelajar, ibu tunggal, pemandu teksi, warga emas dan pekerja ekonomi sampingan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Syarikat telekomunikasi disaran sokong inisiatif kad SIM, tawar pakej murah

SHAH ALAM, 20 FEB: Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) berharap syarikat telekomunikasi menyokong inisiatif kad SIM Selangor dengan menawarkan pakej berpatutan.

Presidennya Datuk Dr Jacob George berkata penyedia perkhidmatan itu tidak boleh hanya mementingkan keuntungan, sebaliknya perlu menyeimbangkan tanggungjawab membantu pihak memerlukan.

“Syarikat telekomunikasi wajar bersama Kerajaan Negeri menyediakan internet terutama kepada penduduk luar bandar.

“Penularan Covid-19 menyebabkan hampir semua perkara termasuk pembelajaran perlu dibuat secara maya, jadi kita kena bantu luaskan jaringan komunikasi,” katanya kepada SelangorKini.

Mulai Mac, sebanyak 40,000 kad SIM akan diagih melalui program Rakan Digital yang dihad untuk pembelajaran dan perniagaan.

Kerajaan Negeri dalam proses perbicangan dengan syarikat telekomunikasi mengenai pakej internet sebelum proses agihan dilakukan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor edar 40,000 kad SIM, mudahkan urusan rakyat luar bandar

BATU CAVES, 24 JAN: Sebanyak 40,000 kad SIM internet akan diagihkan kepada penduduk luar bandar pada Mac bagi mendapatkan rangkaian komunikasi memuaskan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan melalui program Rakan Digital dihadkan untuk pembelajaran dan perniagaan sahaja.

“Kita akan selaraskan program data untuk rakyat Selangor dengan pejabat daerah supaya matlamatnya tercapai,” katanya ditemui selepas melihat proses agihan ayam di di sini.

Beliau memberi jaminan masalah capaian internet di kawasan pendalaman negeri akan diatasi sepenuhnya menjelang 2022, berdasarkan perjanjian bersama Telekom Malaysia.

Amirudin berkata usaha dilaksana Smart Selangor Delivery Unit sudah dimulakan di Kuala Selangor dan akan diteruskan di beberapa kawasan luar bandar yang lain.

“Sekitar 60 hingga 70 peratus kawasan dalam negeri ini mendapat akses berkapasiti tinggi. Hanya beberapa lokaliti menerima rangkaian 2G yang masih boleh menghantar pesanan tetapi bukan video,” jelasnya lagi.