Categories
AGENDA NASIONAL

BNM dijangka rendahkan kadar dasar semalaman kepada 1.5 peratus

KUALA LUMPUR, 18 JAN: OCBC Bank menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan merendahkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR), kemungkinan kadar pengurangan itu sehingga 1.5 peratus daripada 1.75 peratus ketika ini pada mesyuarat Rabu ini susulan beberapa peristiwa yang berlaku baru-baru ini.

Dalam Prospek Ekonomi 2021, Ketua Ekonomi Selena Ling berkata bergantung kepada situasi semasa yang sedang bergelut menghadapi pandemik pada minggu-minggu berikutnya, penurunan kadar mungkin berlaku lagi hingga 1.25 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Mac ini.

“Dengan prospek bantuan fiskal berskala besar yang agak malap, maka adalah tanggungjawab dasar monetari untuk menanggung beban kewangan. Ketika BNM mengekalkan OPR pada 1.75 peratus untuk kali kedua dalam mesyuarat MPC terakhirnya pada 3 November, Bank Negara dilihat yakin dengan prospek pertumbuhan.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan keadaan itu mungkin berubah ketika ini setelah mengambil kira peristiwa baru-baru ini,” katanya.

Secara keseluruhan, Ling berkata bank itu tetap yakin dengan prospek ekonomi Malaysia yang lambat laun akan pulih pada akhir 2021.

“Ini terutama kerana sektor pembuatannya telah bersiap sedia untuk mengambil bahagian dalam pemulihan elektronik global, misalnya. Tetapi, untuk beberapa bulan akan datang, mungkin berlaku beberapa kelembapan,” kata beliau.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bank Negara kekalkan kadar dasar semalaman pada 1.75 peratus

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang bermesyuarat hari ini, memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus – terendah sejak dilaksanakan pada 2004.

Dalam kenyataannya, bank pusat itu berkata keadaan ekonomi global juga terus pulih dengan lebih banyak negara melaksanakan pengurangan langkah-langkah pembendungan pandemik Covid-19 serta sokongan dasar yang kukuh.

“Pembukaan semula kemudahan pengeluaran telah menyebabkan aktiviti perkilangan dan perdagangan disambung semula. Bagaimanapun, pemulihan dalam sektor perkhidmatan adalah lebih perlahan.

“Selain itu, keadaan kewangan telah bertambah baik walaupun kegiatan mengelak risiko masih tinggi.

“Prospek pertumbuhan juga masih tertakluk pada risiko pertumbuhan lebih rendah dan ketidakpastian, terutamanya disebabkan oleh risiko penularan semula pandemik dan keadaan pasaran pekerja yang lebih lemah,” katanya.

Menurut BNM, aktiviti ekonomi Malaysia terus pulih daripada paras terendah pada April lepas manakala penunjuk berfrekuensi tinggi terkini memaparkan keadaan pasaran pekerja, perbelanjaan isi rumah dan aktiviti perdagangan terus bertambah baik.

“Pemulihan ekonomi turut disokong oleh pakej rangsangan fiskal di samping langkah-langkah monetari dan kewangan.

“Peningkatan ini dijangka berterusan pada 2021, disokong oleh pemulihan dalam permintaan luar negara dan pengembangan perbelanjaan sektor swasta,” katanya.

Bagaimanapun, BNM berkata kadar pemulihan yang merentas sektor dijangka tidak sekata dengan aktiviti ekonomi dalam beberapa industri kekal di bawah paras sebelum pandemik selain peningkatan pasaran kerja yang lebih perlahan.

“Prospek ini masih tertakluk kepada risiko pertumbuhan lebih rendah terutamanya akibat ketidakpastian berterusan mengenai perkembangan pandemik di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Selain itu, BNM berkata tekanan inflasi dijangka terus menyederhana pada 2020 dengan purata inflasi keseluruhan dijangka negatif pada tahun ini memandangkan harga minyak dunia yang jauh lebih rendah dan purata lebih tinggi pada 2021.

“Oleh itu, prospek akan terus dipengaruhi dengan ketara oleh harga minyak dan komoditi dunia. Inflasi asas dijangka rendah dalam keadaan kapasiti ekonomi yang berlebihan,” katanya.

Bank pusat itu juga menyifatkan pengurangan OPR sebanyak 125 mata asas secara kumulatif tahun ini akan terus merangsang ekonomi.

Malah, berdasarkan prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi, MPC menyifatkan pendirian dasar monetari sebagai wajar dan akomodatif.

“Bank Negara Malaysia akan terus komited untuk memanfaatkan mekanisme dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan,” katanya.

Hari ini merupakan mesyuarat kelima MPC bagi 2020 dan mesyuarat terakhir tahun ini dijadual diadakan pada 3 November depan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Kemasukan pelaburan asing dijangka terus positif – Amiruddin

PETALING JAYA, 23 JAN: Momentum kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dijangka kekal positif walaupun Kadar Dasar Semalaman (OPR) diturunkan memandangkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara kekal kukuh, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Beliau berkata asas ekonomi negara yang kukuh dan berdaya saing serta tindakan berhemah kerajaan dalam memastikan persekitaran fiskal yang baik, turut menyumbang kepada keyakinan pelabur.

“Pelabur bukan sekadar melihat kepada kadar OPR, malah banyak faktor ekonomi lain yang turut diambil kira dalam membuat keputusan pelaburan.

“Kita perlu memastikan kemasukan pelaburan asing diberi perhatian utama dan permohonan mereka diuluskan segera seperti dalam ranking kedudukan negara paling Mudah Menjalankan Perniagaan, yang semakin meningkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kastam Sedunia ke-38 hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) semalam, menurunkan OPR kepada 2.75 peratus daripada 3.00 peratus, sebagai langkah awal untuk meningkatkan trajektori pertumbuhan dalam kedudukan harga yang stabil.

Menurut jawatankuasa itu, risiko penurunan terus kekal disebabkan oleh ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan dasar di beberapa negara, walaupun pelonggaran monetari merentasi ekonomi utama pada separuh kedua 2019 membantu meringankan kedudukan kewangan dan dijangka terus menyokong aktiviti ekonomi.

Sementara itu, Amiruddin berkata sebanyak 160 syarikat penyedia perkhidmatan dalam talian dari luar negara sudah berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia sejak proses pendaftaran dibuka 1 Oktober tahun lepas.

“Ini petanda yang baik kerana apabila mereka berdaftar, maknanya mereka ada niat untuk membayar cukai…masih ada lagi syarikat asing yang belum daftar tetapi yang besar sudah berdaftar,” katanya.

-BERNAMA