Categories
NASIONAL

MP: Beli lebih bijak daripada beri pampasan

SHAH ALAM, 16 OKT: Beban rakyat ekoran kenaikan kadar tol lebuh raya mampu dielakkan jika Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pembelian syarikat tertentu, kata Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.

Mengambil contoh lebuh raya 11.5 km Cheras-Kajang, Nie Ching berkata kerajaan hanya perlu mendapatkan Cerah Sama Sdn Bhd yang memiliki Grand Saga Sdn Bhd selaku pemegang konsesi itu.

Katanya, kerajaan sudah memiliki 49 peratus kepentingan dalam syarikat itu dan hanya perlu membeli baki 51 peratus iaitu sekitar RM120 juta.

teo nie ching 01“RM120 juta bukan satu jumlah kecil, namum jumlah itu tiada apa-apa jika dibandingkan dengan pampasan yang dibayar kerajaan BN kepada pemegang konsesi.

“Daripada membayar pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya bagi mengekalkan kadar tol yang rendah, kerajaan sebaliknya harus mempertimbangkan untuk membeli syarikat tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ekoran bantahan terhadap kenaikan kadar tol itu, kerajaan menjelaskan ia tidak dapat dielakkan kerana kos pampasan kepada syarikat konsesi.

Sebelum ini, beberapa syarikat konsesi lebuh raya utama di Lembah Klang mengumumkan kenaikan kadar tol antara 10 sen hingga RM6, berkuatkuasa 15 Oktober lalu.

Ia membabitkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-SILK, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (SMART).

Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Cheras-Kajang (GRAND SAGA).

-NR-