Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Kerajaan Negeri salur dana naik taraf kafeteria asrama Selangor

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

KAHERAH, 13 OKT: Kerajaan Negeri menyalurkan dana bagi projek naik taraf kafeteria asrama Selangor dalam usaha memastikan keselesaan pelajar negeri itu, di Mesir

Penyerahan cek sumbangan itu disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, ketika kunjungan hormat beliau dan delegasi Kerajaan Negeri ke Pejabat Atase Pendidikan (Selangor) dan Pelancaran Projek Naik Taraf Kafetaria Asrama Selangor kepada Pusat Aktiviti Pelajar Selangor, di sini, semalam.

Sumbangan bernilai hampir RM200,000 itu diberikan bagi menjayakan pembangunan Pusat Aktiviti Pelajar Selangor yang membolehkan mereka melaksanakan pelbagai aktiviti sosial sepanjang pengajian, di Mesir.

Pada masa sama, Amirudin turut mengadakan lawatan sekitar asrama terbabit bagi melihat infrastruktur sedia ada selain bertemu pelajar yang menginap di penempatan yang mampu menampung kira-kira 300 orang itu.

Turut hadir adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor; Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar, Soffan Affendi Aminudin; Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Agama Islam Selangor, Azlinda Azman; Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry dan Atase Pendidikan (Selangor), Mohd Yasser Abdul Ghani.

Terdahulu, Amirudin dalam lawatan kerjanya selama seminggu ke Timur Tengah turut ke Maghribi juga Jordan bagi bertemu pelajar Selangor di negara berkenaan sebelum mengadakan pertemuan dengan kelompok sama, di Kaherah.

 

Categories
SELANGOR

Peserta HIJRAH kendali kafe di PPAS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 OKT: Lima kafeteria akan dibuka di Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) yang membawakan peserta Hijrah mengendalikannya dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mansor Othman berkata, kafeteria itu akan dijadikan projek perintis kepada PPAS yang lain.

Katanya, kafeteria terbabit akan diwujudkan antaranya di Rawang, Ampang, Gombak dan Sepang.

MANSOR OTHMAN“Kita akan memilih peserta Hijrah yang layak. Menu juga akan ditetapkan oleh Hijrah supaya tidak menganggu proses pembelajaran.

“Begitu juga dengan harga, ia mesti berpatutan supaya ibu bapa tidak terbeban dan peniaga tidak rugi,” katanya kepada SelangorKini.

Mansor berkata, konsep baru yang akan diperkenalkan itu bertujuan memudahkan pelajar mengulangkaji pelajaran dan memudahkan ibu bapa.

“Saya pernah melihat konsep ini di China, ia memang boleh diperkenalkan di Malaysia.

“Di samping menerapkan budaya ilmu, ia juga jaminan keselamatan tinggi. Pelajar boleh berada di perpustakaan sehingga lewat petang,” katanya.

Beliau berkata ia akan diperluaskan dari masa ke masa mengikut kesesuaian tempat PPAS.

-NFN-