Categories
SELANGOR

Kapasiti Empangan Sungai Selangor terus catat peningkatan positif

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 24 MEI: Kapasiti air di Empangan Sungai Selangor yang membekalkan kira-kira 60 peratus air kepada penduduk di Lembah Klang dan Putrajaya kian mencatat peningkatan positif berikutan hujan lebat yang turun hampir setiap hari, awal Mei lalu.

Berdasarkan laporan daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), paras takungan empangan Sungai Selangor setakat jam 8 pagi tadi terus meningkat pada 42.3 peratus dengan kadar 97.28 juta meter padu.

Ia terus meningkat berbanding, pada 17 Mei lalu yang mencatatkan bacaan 41.83 peratus dengan kadar 96.21 juta meter padu.

EmpanganKapasiti empangan itu jika penuh adalah 235,320,000 meter padu membabitkan reka bentuk empangan 400 meter luas di kaki, 800 meter panjang dan 110 meter tinggi, terdiri daripada 1.2 juta meter padu teras tanah liat serta 6.4 juta meter padu granit.

Pada ketika ini, hanya pengepaman air sungai ke dalam kolam sedang beroperasi berikutan lebihan aliran sungai yang diterima setiap hari hasil daripada kadar hujan yang tinggi.

Pengepaman air daripada kolam di Bestari Jaya ke dalam Sungai Selangor dilakukan bermula pada 26 Februari sehingga 6 April lalu.

Sementara itu, Empangan Batu mencatat kadar takungan 86.19 peratus, manakala Empangan Langat pula meningkat kepada 20.51 juta padu atau 60.17 peratus berbanding 19.49 juta meter padu (57.16 peratus) pada minggu lalu.

Dalam tempoh sama, Empangan Klang Gates mencatat bacaan takungan terkini 16.08 juta meter padu (63.45 peratus), Empangan Semenyih, 48.56 juta meter padu (82.21 peratus), Empangan Sungai Tinggi, 79.45 juta meter padu (69.39 peratus) dan Empangan Tasik Subang pada paras 3.51 juta meter padu (83.53 peratus).

-NFN-