Categories
PBT SELANGOR

Karnival 3W MBPJ bakal tampil Zarina Zainuddin

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 APRIL: Karnival 3W (Women, Welfare & Wellness) memilih Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai lokasi ketiga, pada 6 April ini.

Memilih tema Hari Autisme dan Hari Tibi Sedunia, ia akan diadakan dari 6.30 pagi hingga 10.30 malam di Dataran Petaling Jaya.

Penolong Pengarah Komunikasi Korporatnya, Ahmad Iskandar Mohamad Mukhtar berkata, tema itu dipilih bersesuaian dengan sambutan hari Autisme dan Tibi yang disambut pada April setiap tahun.

“Menariknya, pada karnival itu nanti kita turut menampilkan pelakon dan pengacara, Zarina Zainuddin melalui sesi “talk show” yang akan berkongsi berkenaan pengalamannya mempunyai dan membesarkan dua anak Autisme.

“Malah, beliau (Zarina) akan turut menyampaikan saranan dan semangat kepada ibu bapa yang mempunyai anak Autisme supaya sentiasa bersabar dan tabah dalam membesarkan insan istimewa itu,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, katanya, pelbagai pengisian menarik akan diadakan sepanjang karnival itu antaranya Acara 10,000 Langkah, Funride 22 kilometer, Persembahan Buskers dan Wayang Pacak.

Selain itu, Ahmad Iskandar berkata, turut diadakan pertandingan mewarna, pertandingan menghias kek, cabutan bertuah, pemeriksaan pesihatan secara percuma dan pameran oleh pelbagai agensi kerajaan.

“Kami mengalu-alukan kehadiran orang ramai terutama yang berada di sekitar Petaling Jaya untuk sama hadir memeriahkan karnival ini, sekali gus meraikan golongan Autisme,” katanya.

Karnival itu menjadi medan interaksi antara pemimpin dan pihak berkuasa dengan masyarakat yang memfokuskan kepada wanita, kebajikan dan kesihatan, di Selangor.

Categories
SELANGOR

Karnival 3W pupuk kesedaran isu kesihatan

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

KLANG, 30 MAC: Karnival 3W (Wellness, Wellfare, Women) yang dianjurkan di setiap Pihak Berkuasa Tempatan membantu masyarakat peka terhadap tahap kesihatan mereka.

Mengambil contoh penyakit buah pinggang, seorang pakar, Dr Jananee M. Sivaraman berkata, ketika ini kebimbangan terhadap penyakit itu semakin meningkat dan memerlukan perhatian.

“Memandangkan statistik penyakit buah pinggang di negara kita meningkat secara drastik, pendedahan karnival seperti ini digalakkan.

“Selain itu, mereka boleh juga memeriksa tekanan darah dan kandungan gula dalam badan,” kata Pakar Klinikal Nefrologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini di Karnival 3W, di Kompleks Sukan Pandamaran Klang, hari ini.

Antara aktiviti disediakan sepanjang karnival itu adalah 10,000 langkah, demostrasi masakan, dan demostrasi mempertahankan diri wanita.

Karnival 3W julung kali diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah, sebagai penambahbaikan daripada Karnival Sihat Selangor yang pernah diwujudkan sebelum ini.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Karnival 3W angkat tiga tema besar

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KLANG, 30 MAC: Karnival Wellness, Welfare, Women (3W) anjuran Kerajaan Negeri kali ini mengangkat tiga tema utama daripada setiap aspek berkenaan, kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Katanya, di bawah aspek wanita, tema merayakan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac lalu diangkat, dengan memfokuskan isu pencegahan keganasan dan jenayah terhadap golongan berkenaan.

“Untuk aspek kebajikan pula, tema Hari Sindrom Down Sedunia pada 21 Mac lalu diketengahkan pada karnival itu bagi melahirkan rasa empati dalam masyarakat kepada anak-anak istimewa.

“Untuk kesihatan, tema kita Hari Buah Pinggang yang disambut di peringkat antarabangsa, pada 14 Mac lalu. Kita sedar bahawa penyakit buah pinggang semakin meningkat dalam masyarakat,” kata
EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga itu.

Beliau ditemui media pada Karnival 3W di Kompleks Sukan Pandamaran Klang, di sini, hari ini.

Karnival yang bermula 8.30 pagi itu diselitkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti 10,000 langkah sihat, demonstrasi makanan sihat, taklimat kesihatan, pemeriksaan kesihatan percuma dan persembahan daripada anak-anak istimewa.

Program sebelah malam pula akan menampilkan slot bual bicara dan persembahan hiburan oleh selebriti tanah air.

Categories
SELANGOR

Karnival 3W jelajah Klang 30 Mac

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 MAC: Karnival 3W (Women, Welfare & Wellness) akan menjelajah ke Kompleks Sukan Pandamaran, Klang, pada 30 Mac ini.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, karnival yang berlangsung seawal jam 7 pagi hingga 10 malam itu kali ini memilih tema Hari Wanita dan Hari Buah Pinggang Sedunia.

Katanya, ia bersesuaian dengan sambutan kedua-dua hari terbabit yang jatuh pada bulan Mac.

“Saya mengalu-alukan kehadiran warga Klang dan masyarakat berhampiran untuk bersama memeriahkan Karnival 3W ini kerana pelbagai aktiviti menarik tersedia khusus buat anda.

“Antara aktiviti disediakan sepanjang satu hari karnival itu berlangsung adalah 10,000 langkah, demostrasi masakan, demostrasi pertahankan diri wanita, persembahan artis dan banyak lagi bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit,” tulisnya di Facebook.

Karnival 3W julung kali diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah, pada 10 Februari lalu sebagai penambahbaikan daripada Karnival Sihat Selangor yang pernah diwujudkan sebelum ini.

Objektif pelaksanaan adalah untuk mempromosi pelbagai bantuan dan khidmat ditawarkan Kerajaan Negeri kepada rakyat.

Karnival itu juga akan menjelajah ke seluruh PBT, pada setiap bulan dengan tema berbeza berdasarkan sambutan hari penting, pada bulan terbabit.

Categories
SELANGOR

Karnival 3W dilancar 10 Februari, promosi khidmat negeri

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 JAN: Karnival 3W (Women, Welfare & Wellness) akan diperkenalkan bagi mempromosi pelbagai bantuan dan khidmat ditawarkan Kerajaan Negeri kepada rakyat.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, karnival yang memfokuskan wanita, kebajikan dan kesihatan itu menjadi medan interaksi dengan masyarakat.

Katanya, ia akan dilancarkan pada 10 Februari ini, dengan tema Sambutan Hari Kanser Sedunia, di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah.

“Karnival ini akan diadakan dari jam 7 pagi hingga 10.30 malam dengan pelbagai aktiviti antaranya program 10,000 Langkah, Slim Selangor, Forum Sihat Selangor dan beberapa pertandingan membabitkan kanak-kanak, wanita serta Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Program sebelah malam pula akan diselitkan dengan persembahan hiburan menampilkan selebriti tanah air yang turut memberi pengisian khusus berkaitan program pemberdayaan kaum bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra Media dan Pra Pelancaran Karnival 3W 2019, di Lobi Utama Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini.

Katanya, karnival itu juga akan menjelajah ke 11 Pihak Berkuasa Tempatan lain, pada setiap bulan dengan tema berbeza berdasarkan sambutan hari penting, pada bulan terbabit.

Siti Mariah berkata, Majlis Bandaraya Petaling Jaya akan menganjurkannya dengan tema Hari Kasih Sayang dan Hari Tibi; Majlis Perbandaran Klang (Hari Wanita dan Hari Buah Pinggang); Majlis Daerah Kuala Langat (Hari Kesihatan Sedunia) dan Majlis Perbandaran Sepang ( Hari Tanpa Tembakau dan Hari Jururawat).

“Selain itu, Majlis Perbandaran Selayang (Hari Sifar Denggi); Majlis Daerah Kuala Selangor (Hari Sukarelawan Selangor); Majlis Bandaraya Shah Alam (Hari Penyusuan Ibu) dan Majlis Perbandaran Kajang (Hari Jantung).

“Manakala, Majlis Perbandaran Subang Jaya (Hari Mental dan Hari Warga Emas); Majlis Daerah Sabak Bernam (Hari OKU dan Hari HIV) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (Hari Kanak-kanak dan Hari Diabetes),” katanya.

Karnival itu turut mendapat kerjasama agensi seperti Jabatan Kesihatan Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor, Jabatan Pembangunan Wanita, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Pusat Wanita Berdaya, Majlis Tindakan OKU Selangor dan Persatuan Taska Selangor.

 

Categories
SELANGOR

Karnival 3W bantu rakyat jaga kesihatan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 DIS: Program Karnival 3W akan diadakan di seluruh Selangor, mulai tahun depan bagi membantu dan membimbing rakyat bagi pelbagai aspek termasuk penjagaan kesihatan.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, karnival itu akan dijalankan di seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu, pada akhir bulan, dari Januari hingga Disember.

“Karnival 3W iaitu Women (Wanita), Wellness (Kesejahteraan) dan Welfare (Kebajikan) adalah program bantuan kepada rakyat negeri ini dari aspek kebajikan termasuk bimbingan kesedaran bagi menjaga kesihatan fizikal dan mental.

“Program dirancang ini akan kita jalankan di seluruh 12 PBT di Selangor untuk semua golongan sasaran seperti wanita, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, sebagai permulaan pihaknya menjalankan program perintis iaitu ceramah kesihatan dalam program Kembali Ke Sekolah Dengan Minda Sihat di Pangsapuri Sri Indah, Seri Kembangan, Sabtu lalu iaitu salah satu kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang diwakilinya.

“Ceramah disampaikan penceramah jemputan memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung masalah kesihatan mental dan fizikal,” katanya memaklumkan seramai 110 pelajar menerima bantuan dalam program berkenaan.