Categories
AGENDA NASIONAL

Sindiket seludup lebih 3,000kg tembakau kunyah tumpas

SHAH ALAM, 9 JUN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit II (Selangor) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan tembakau kunyah untuk pasaran tempatan dalam dua serbuan di Ipoh, Perak, Ahad lepas.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah Rameli Ahmad berkata dalam serbuan di dua premis di Simpang Pulai dan Bandar Seri Botani itu pihaknya merampas 3,371.86 kilogram (kg) tembakau kunyah dianggarkan bernilai RM168,596 dengan jumlah cukai RM211,587.98.

“Dalam serbuan pertama, JKDM menemukan sejumlah guni putih disyaki mengandungi tembakau kunyah seberat 2,052.16 kilogram (kg) manakala sebanyak 1,319.70 kg lagi tembakau ditemukan dalam serbuan kedua.

“Pasukan turut merampas beberapa buah mesin bernilai RM12,500 dipercayai digunakan untuk memproses dan membungkus tembakau kunyah serta menahan seorang penjaga premis warga Bangladesh dalam serbuan pertama untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rameli berkata kedua-dua kes tersebut disyaki mempunyai kaitan dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Mereka yang disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua atau kesalahan seterusnya boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 20 kali nilai barang atau RM200,000 yang mana lebih besar dan tidak melebihi 40 kali nilai barang atau RM1,000,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Kastam Selangor patahkan cubaan seludup rokok RM1.53 juta

PELABUHAN KLANG, 16 JAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Selangor mematahkan cubaan menyeludup rokok putih dianggarkan bernilai RM1.53 juta dalam dua serbuan berasingan di Pelabuhan Utara, di sini baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata serbuan itu dijalankan oleh sepasukan anggota penguat kuasa kastam pada 7 Januari dan Isnin lalu.

Katanya dalam serbuan itu, pihaknya menemui sebuah kontena bersaiz mencurigakan yang diikrar membawa muatan aksesori telefon.

“Hasil pemeriksaan menemukan 9.5 juta batang rokok putih bernilai RM760,000 membabitkan duti kastam berjumlah RM6.1 juta di dalam kontena terbabit,” katanya dalam sidang media di sini pada 15 Januari lalu.

Beliau berkata susulan itu, pihaknya menyerbu sebuah lagi kontena mencurigakan di lokasi sama yang turut diisytihar membawa barangan seperti aksesori telefon dan kasut.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kontena tersebut turut membawa 9.65 juta batang rokok putih bernilai RM772,000, membabitkan nilai cukai kira-kira RM6.4 juta.

“Semakan mendapati kesemua rokok yang merupakan barang dagang larangan tersebut cuba diseludup masuk ke Malaysia menerusi pelabuhan ini dari China.

“Hasil kedua-dua serbuan itu juga, kita turut menahan dua ejen Kastam dipercayai dari syarikat sama berusia lingkungan 50-an untuk membantu siasatan,” katanya.

Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74 (1)(e) Akta Eksais 1967.

Sementara itu dalam kes berasingan, Kastam Selangor merampas dua buah kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Toyota Fortuner yang dipercayai untuk dieksport ke Jepun di Pelabuhan Barat pada 4 Disember lepas.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengikrar barang dagangan dibawa kontena itu sebagai ‘Secondary Welded Pipe’ dalam borang eksport Kastam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kedua-dua kenderaan ini dianggarkan berjumlah RM300,000 dan kita masih mengesan pengeksport dan ejen yang terlibat,” katanya dan menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967.

-BERNAMA