Categories
AGENDA NASIONAL

PGA4 rampas rokok seludup nilai lebih RM321,000

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran rokok haram dan merampas rokok tidak bercukai bernilai lebih RM321,000 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kajang dan Cheras semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Superintendan Rizal Mohamed berkata sepasukan anggota PGA menyerbu sebuah gerai di Kajang yang menjual rokok seludup dan menahan dua lelaki.

Rizal berkata siasatan lanjut ke atas dua lelaki itu membawa kepada serbuan seterusnya di dua buah rumah di Cheras, dipercayai menjadi stor penyimpanan rokok seludup dan menahan tiga lagi lelaki.

“Semasa serbuan itu, polis menemukan 445,040 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM321,927.50 serta merampas tiga kereta, enam telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM7,997, dengan nilai keseluruhan rampasan ialah RM580,354.50.

“Kesemua suspek berumur 27 hingga 64 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang termasuk barang yang dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penahanan dan rampasan itu membantu pihak berkuasa melumpuhkan sindiket pengedaran rokok tidak dibayar cukai di negara ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan 12 lelaki disyaki edar rokok seludup RM5 juta

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Polis Diraja Malaysia menahan 12 suspek lelaki tempatan kerana disyaki terlibat dalam pengedaran lebih enam juta batang rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM5 juta di sekitar Jinjang dan Kepong.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata lapan lelaki berusia lingkungan 24 hingga 53 tahun ditahan dalam operasi pertama di Jinjang pada Jumaat.

Beliau berkata polis merampas lebih 2.3 juta batang rokok seludup yang dianggarkan bernilai hampir RM1.7 juta serta tujuh kenderaan termasuk lori dan van bernilai RM450,000.

“Kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga esok (hari ini) di bawah Seksyen 116(c) Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut manakala hanya seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Acryl Sani berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam kes kedua, Acryl Sani berkata empat lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam pengedaran lebih 4.4 juta batang rokok seludup yang dianggarkan bernilai lebih RM3.3 juta di sekitar Kepong di sini semalam.

Beliau berkata polis turut merampas dua buah lori yang dianggarkan bernilai RM18,000.

Kesemua suspek, yang berusia dalam lingkungan 37 hingga 42 tahun, direman selama empat hari sehingga Selasa ini di bawah Seksyen 116(c) Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut dan hanya seorang daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Kastam Selangor patahkan cubaan seludup rokok RM1.53 juta

PELABUHAN KLANG, 16 JAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Selangor mematahkan cubaan menyeludup rokok putih dianggarkan bernilai RM1.53 juta dalam dua serbuan berasingan di Pelabuhan Utara, di sini baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata serbuan itu dijalankan oleh sepasukan anggota penguat kuasa kastam pada 7 Januari dan Isnin lalu.

Katanya dalam serbuan itu, pihaknya menemui sebuah kontena bersaiz mencurigakan yang diikrar membawa muatan aksesori telefon.

“Hasil pemeriksaan menemukan 9.5 juta batang rokok putih bernilai RM760,000 membabitkan duti kastam berjumlah RM6.1 juta di dalam kontena terbabit,” katanya dalam sidang media di sini pada 15 Januari lalu.

Beliau berkata susulan itu, pihaknya menyerbu sebuah lagi kontena mencurigakan di lokasi sama yang turut diisytihar membawa barangan seperti aksesori telefon dan kasut.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kontena tersebut turut membawa 9.65 juta batang rokok putih bernilai RM772,000, membabitkan nilai cukai kira-kira RM6.4 juta.

“Semakan mendapati kesemua rokok yang merupakan barang dagang larangan tersebut cuba diseludup masuk ke Malaysia menerusi pelabuhan ini dari China.

“Hasil kedua-dua serbuan itu juga, kita turut menahan dua ejen Kastam dipercayai dari syarikat sama berusia lingkungan 50-an untuk membantu siasatan,” katanya.

Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74 (1)(e) Akta Eksais 1967.

Sementara itu dalam kes berasingan, Kastam Selangor merampas dua buah kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Toyota Fortuner yang dipercayai untuk dieksport ke Jepun di Pelabuhan Barat pada 4 Disember lepas.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengikrar barang dagangan dibawa kontena itu sebagai ‘Secondary Welded Pipe’ dalam borang eksport Kastam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kedua-dua kenderaan ini dianggarkan berjumlah RM300,000 dan kita masih mengesan pengeksport dan ejen yang terlibat,” katanya dan menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Rokok seludup 14,450 karton dirampas dalam Op Asap

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Polis merampas 14,450 karton rokok seludup serta menahan enam individu menerusi operasi khas membanteras sindiket pengedaran rokok seludup menerusi Op Asap di Bukit Raja, Klang dan Shah Alam semalam.

Dalam operasi itu, polis turut merampas lima kenderaan pelbagai jenis, wang tunai berjumlah RM83,400 serta 29 keping cek bernilai RM142,767 yang keseluruhannya dianggar bernilai RM3.2 juta.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam berusia 26 hingga 47 tahun.

“Lima kenderaan yang dirampas terdiri daripada kereta jenis BMW 525i, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima, Toyota Camry, Toyota Vios dan sebuah lori jenis Isuzu Canvas lima tan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, kesemua mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 7(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis rampas rokok seludup dan kenderaan RM4.3 juta

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Polis menahan tiga lelaki dan merampas 25,840 karton rokok seludup serta lima kenderaan pelbagai jenis dianggar bernilai RM4.3 juta menerusi operasi khas membanteras sindiket pengedaran rokok seludup, Op Asap di sebuah rumah di Tapah, Perak, kelmarin.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki tempatan dan seorang warga Bangladesh berusia 26 hingga 47 tahun.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata semakan mendapati 24,700 karton rokok putih dan 1,140 karton rokok jenis kretek jenama ‘Concept’ itu menggunakan setem kastam ‘Duty Paid’ yang disyaki palsu.

Katanya, lima kenderaan yang dirampas pula terdiri daripada masing-masing sebuah kereta Honda Accord, pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan motosikal Honda Ex-5 serta dua buah lori.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

ESSCom tumpaskan sindiket, rampas rokok seludup RM455,000

BELURAN, 20 MEI: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di sini berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 84,500 bungkus rokok yang dianggarkan bernilai RM455,000 dengan menahan lima lelaki tempatan dalam satu operasi khas ESSCom di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Sapi Nangoh, semalam.

Komander ESSCom DCP, Datuk Hazani Ghazali berkata, kesemua suspek yang masing-masing memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) ditahan ketika dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Sandakan kira-kira pukul 5.45 petang.

“Bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota ESSCom telah menahan dan memeriksa lima buah kenderaan SUV yang datang dari arah Kota Kinabalu dalam keadaan mencurigakan.

“Kesemua pemandu yang berumur 18 hingga 46 tahun telah diarahkan turun untuk membuat pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua kenderaan SUV itu dipenuhi oleh kotak-kotak rokok disyaki rokok seludup yang belum dibayar cukai kastam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hazani, jenis rokok seludup yang dirampas ialah 45,800 bungkus Astro merah; 22,880 bungkus Astro hijau; 1,850 bungkus Astro hitam; 1,200 bungkus rokok Extreme; 4,500 bungkus Era Biru; 3,600 bungkus rokok Absulete (kretek); 2,670 bungkus rokok Apache dan 2,000 bungkus Era Hitam.

“Saya percaya rokok-rokok ini cuba diseludup dari negara jiran Indonesia untuk dipasarkan di kawasan pantai timur Sabah khususnya di daerah Sandakan berdasarkan kepada modus operandi dan pengakuan kelima-lima suspek,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah Beluran untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

Turut disita lima kenderaan SUV iaitu empat jenis proton Exora dan sebuah Toyota Innova dengan anggaran nilai berjumlah RM250,000.

Beliau berkata anggaran nilai taksiran cukai kastam yang belum dibayar bagi rokok seludup berkenaan adalah lebih RM650,000.

Hazani berkata, ESSCom akan sentiasa memperketat kawalan terutamanya di kawasan yang disyaki menjadi laluan penjenayah dan kemasukan pendatang asing tanpa izin dengan mengadakan operasi khas secara berkala dalam usaha untuk membendung dan mengekang aktiviti penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi serta aktiviti pemerdagangan manusia.

– BERNAMA