Categories
AGENDA SUKANKINI

Kejohanan Dunia: Zii Jia terselamat ‘kejutan’ pemain Brazil

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terselamat daripada ‘kejutan’ pemain Brazil, Ygor Coelho apabila berjaya memenangi perlawanan dengan rubber set untuk menempah slot ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol hari ini.

Walaupun memenangi set pertama 21-14, juara All England 2021 itu mensia-siakan peluang untuk menamatkan permainan lebih awal apabila membenarkan pemain ranking 50 dunia itu menewaskannya pada set kedua 24-22 sebelum pemain Malaysia itu kembali tenang untuk muncul pemenang dalam set penentuan 21-14.

Zii Jia, pemain pilihan keenam dalam kejohanan itu, akan bertemu pemenang antara pilihan kesembilan Kanta Tsuneyama dari Jepun atau pemain Denmark, Hana-Kristian Solberg Vittinghus selepas ini.

Bagaimanapun, tuah tidak menyebelahi pemain perseorangan profesional negara, Liew Daren selepas disingkirkan pemain India, H S Prannoy 21-7, 21-17.

Sementara itu, pemenang pingat perak beregu lelaki Olimpik Rio 2016 Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang kembali digandingkan memulakan kempen mereka dengan penuh bergaya apabila menewaskan Hiroki Okamura-Masayuki Onadera dari Jepun, 21-15, 22-24, 21-16.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia ke suku akhir jumpa Momota

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia mencipta sejarah tersendiri, apabila mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di St Jakobshalle, Basel, Switzerland.

Pemain ranking ke-13 dunia itu beraksi cemerlang, menewaskan pilihan kelapan dari Jepun, Kenta Nishimoto 21-15, 11-21, 22-20, pada saingan pusingan ketiga semalam.

Zii Jia bakal berhadapan tugas berat pada aksi suku akhir nanti, apabila berhadapan juara bertahan yang juga pemain nombor satu dunia dari Jepun Kento Momota.

Dalam pada itu, gandingan profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mara ke suku akhir, selepas terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan pasangan bukan pilihan dari Jepun, Takuro Hoki-Wakana Nagahara 17-21, 21-13, 21-14.

Pilihan kelima itu akan bertemu satu lagi pasangan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, yang juga pilihan ketiga pada suku akhir.

Nasib berbeza pula bagi kem beregu wanita negara apabila perjalanan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen terhenti pada pusingan ketiga.

Vivian-Cheng Wen yang diletakkan selaku pilihan ke-15, tewas kepada gandingan pilihan ketujuh dari China, Du Yue-Li Yin Hui 15-21, 21-11, 8-21.

Gandingan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga mengalami nasib yang sama, apabila tewas kepada pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Tairattanachai 21-17, 21-7.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Laluan mudah Zii Jia ke suku akhir Kejohanan Dunia

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia menerima laluan mudah ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di Basel, Switerzerland, bermula 19 hingga 25 Ogos ini.

Walaupun mendapat laluan mudah pada pusingan awal, pemain berusia 21 tahun itu akan menerima ujian sebenar di suku akhir apabila dijangka bertemu sama ada dengan juara dunia lima kali, Lin Dan dari China atau pemain nombor satu dunia, Kento Momota dari Jepun.

Pada undian kejohanan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di sini semalam, Zii Jia, pemain ranking ke-17 dunia, akan membuka kempen sulung pada kejohanan dunia dengan menentang pemain nombor 59 dunia, Ygor Coelho dari Brazil sebelum dijangka menentang pemain nombor 21 dunia, Lu Guang dari China pada pusingan kedua.

Lu Guang dijangka melepasi pusingan pertama apabila menentang pemain nombor 84 dunia, Kai Schaefer dari Jerman.

Zii Jia dijangka akan berdepan dengan pemain Jepun, Kenta Nishimoto pada pusingan ketiga.

Dalam tiga pertemuan sebelum ini, Zii Jia mengalahkan pemain Jepun dalam straight set dua kali tahun ini iaitu pada Malaysia Masters dengan keputusan 21-15, 21-17, dan Terbuka New Zealand 21-18, 21-12 selepas kalah 18-21, 17-21 pada pertemuan sulung di Sukan Asia 2018.

Menganggap kemenangan dua kali ke atas pemain Jepun itu, Zii Jia yakin, beliau akan melepasi halangan pusingan ketiga untuk ke saingan suku akhir.

“Ia undian yang baik selaras dengan sasaran saya ke suku akhir,” katanya kepada pemberita selepas undian tersebut di Ibu Pejabat BWF di sini.

Dalam tempoh dua minggu ini menjelang kejohanan tersebut, beliau berharap dapat mengekalkan tahap kecergasan selepas mengharungi tiga minggu yang mencabar dengan beraksi di Terbuka Indonesia, Terbuka Jepun dan Terbuka Thailand.

Selain Zii Jia, pemain profesional negara, Liew Daren.

Dalam pada itu, laluan pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah mungkin tersekat seawal pusingan kedua apabila dijangka berdepan dengan pemain nombor 13 dunia enam dunia dari Denmark, Mla Blichfeldt sebelum pemain nombor enam dunia dari China, He Bing Jiao menanti di pusingan ketiga.

Pada pertemuan sulung dengan Bing Jiao di Terbuka Thailand, awal bulan ini, Soniia kalah 15-21, 12-21.

Soniia, pemain ranking ke-32 dunia, akan membuka kempen dengan menentang pemain Israel, Ksenia Polikarpova yang menduduki ranking ke-56 dunia. – BERNAMA