Categories
AGENDA SUKANKINI

Rancak pelancongan sukan, 120 peserta bakal sertai kejohanan golf Tourism Selangor

SHAH ALAM, 5 NOV: Seramai 120 peserta bakal menyertai kejohanan golf anjuran Tourism Selangor di Kelab Golf Bukit Beruntung, Rawang pada 12 Disember depan.

Kejohanan edisi ketiga itu membabitkan penyertaan wakil sektor kerajaan dan swasta, selebriti, ekspatriat, ejen pelancongan serta pemain golf domestik, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Azrul Shah Mohamad memaklumkan kejohanan itu bukan saja mempromosi sukan golf yang terjejas akibat pandemik Covid-19, sebaliknya merancakkan kembali sektor pelancongan sukan.

“Kejohanan ini menjadi pemangkin ke arah mencipta perkara besar pada masa akan datang antara pemain dan rakan penaja.

“Kita juga memberi jaminan sukan ini selamat untuk diteruskan kerana semua kelab golf mengutamakan tatacara operasi piawai (SOP),” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah badan pelancongan negeri itu tekad menjadikan sukan golf sebagai sektor pelancongan terpenting berikutan Selangor memiliki 29 kelab golf bertaraf antarabangsa.

“Bukan sukar untuk menembusi segmen pelancongan golf kerana Selangor  menjadi negeri dengan kelab golf tertinggi dalam negara.

“Ini selaras dengan Kempen Pelancongan ‘Pusing Selangor Dulu’ yang semakin popular dalam kalangan pelancong domestik dan di media sosial,” katanya.

Penganjuran kali ini mendapat kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Persatuan Golf Malaysia dan KDEB Waste Management.

Rakan penaja antaranya Westport Malaysia Berhad, Northport Malaysia Berhad, Central Spectrum (M) Sdn Bhd, Srixon, Titoni of Switzerland, Liquid Marketing Sdn Bhd, Farm in the City, Puas Snack Pack, Liberty Golf Services dan The ClubHouse.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kejohanan Golf Klasik Selangor 2020 bakal himpun 100 pemain

SHAH ALAM, 14 OGOS: Seramai 100 pemain golf amatur bakal berentap dalam Kejohanan Golf Klasik Selangor 2020 di The Mines Resort and Golf Club, Seri Kembangan dan Kota Permai Golf and Country Club, Shah Alam pada 29 hingga 30 September depan.

Pengurus Besar Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad berkata kejohanan julung kali dengan kerjasama Liberty Golf Services sebagai usaha mempromosikan pelancongan domestik di negeri ini selaras kempen ‘Pusing Selangor Dulu’.

“Kejohanan ini akan menguji sejauh mana kemampuan peserta dalam sukan golf selain memberi peluang untuk belajar dan meningkatkan kemahiran supaya menjadi pemain golf profesional.

“Saya yakin, penganjuran acara berprestij ini memberi mesej jelas kepada pelancong dalam mahupun luar negara bahawa Selangor adalah hab pelancongan golf terkemuka di Malaysia,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata pemain golf dan penonton diingatkan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang kejohanan berlangsung seperti menjalani pemeriksaan suhu badan, menggunakan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan memakai pelitup muka bagi mengelak penularan Covid-19.

“Jumlah pemain bagi setiap kumpulan terhad kepada empat dan hanya seorang pembantu pemain golf disediakan untuk dua pemain manakala dua orang dibenarkan berada di dalam kereta ‘buggy’ pada satu-satu masa,” katanya.

Kejohanan selama dua hari itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000 dan pemain pertama melakukan pukulan Hole-in-One berpeluang memenangi baucar percutian golf bernilai RM50,000 tajaan Liberty Golf Services.

Sebanyak RM999 dikenakan sebagai yuran penyertaan dan peserta turut berpeluang membawa pulang cenderamata eksklusif tajaan Srixon seperti beg cart golf, baju-t Polo, topi dan bola golf berharga RM1,300.

Pendaftaran boleh dibuat di http://libertygolf.com.my/SGC2020

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Selangor Masters 2019 beri impak positif sektor pelancongan

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANGI, 17 JUN: Kejohanan golf profesional antarabangsa Selangor Masters 2019 dijangka memberi impak positif kepada industri pelancongan Selangor.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, kejohanan yang bakal menghimpunkan ramai pemain golf terkenal dunia itu akan diadakan pada Oktober nanti.

“Selepas beberapa tahun tidak diadakan, kejohanan berprestij ini dianjurkan semula dengan kerjasama Kerajaan Negeri menerusi agensinya.

“Apabila kejohanan ini dianjurkan ramai pemain antarabangsa, keluarga dan rakan mereka akan datang untuk memberi sokongan serta mengambil kesempatan untuk melancong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sidang media Kejohanan Golf Terbuka Amatur Selangor di Danau Golf Club, Universiti Kebangsaan Malaysia di sini, hari ini.

Abdul Rashid berkata, kejohanan yang diadakan di Saujana Golf & Country Club ini juga dijangka meraih liputan pelbagai media antarabangsa sekaligus memberi publisiti meluas kepada industri pelancongan Selangor.

Katanya, usaha ini merupakan sebahagian daripada strategi untuk memperkenalkan Selangor sebagai destinasi pelancongan.

Antaranya segmen pelancongan sukan yang mampu memberi impak positif terhadap statistik kedatangan pelancong.