Categories
AGENDA NASIONAL

Atlet negara sambut Syawal sederhana di kem latihan

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Atlet negara yang terpaksa mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga kerana menjalani kem latihan secara kuarantin, menyambut 1 Syawal secara sederhana hari ini.

Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), atlet yang sedang membuat persiapan untuk Sukan Olimpik di Tokyo Julai ini dan Sukan SEA Hanoi pada November ini mula menjalani latihan secara kuarantin sejak minggu lepas.

Antara venue yang terlibat ialah di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil dan Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.

Menerusi perkongsian di Facebook rasmi MSN, Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail dilihat meluangkan masa bersama-sama atlet menunaikan solat sunat Aidilfitri dan meraikan sambutan Hari Raya di Cafe Atlet di MSN, Bukit Jalil dengan menikmati juadah seperti lemang, ketupat dan rendang.

“Kepada semua warga sukan negara, marilah kita bersatu, berjuang dalam memerangi pandemik ini demi Malaysia tercinta. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Kita jaga kita, kita jaga keluarga kita,” kata Shapawi dalam video ucapan rayanya.

Beberapa atlet menikmati juadah raya di Cafe Atlet di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil pada 13 Mei 2021. Foto Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia

Sementara itu, ratu gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi turut berkongsi ucapan salam lebaran bersama gambar di media sosialnya.

“Kepada semua yang sempat bersama keluarga, syukur dan hargailah masa instimewa ini dan kami bersama anda yang tidak dapat berbuat demikian. Saya harap kita bersama-sama boleh mengharungi masa yang sukar ini,” katanya yang mengikuti kem latihan bagi menghadapi Sukam Olimpik Tokyo.

Lagenda badminton negara yang juga Ketua Kontinjen negara ke Olimpik Tokyo Datuk Lee Chong Wei turut menyampaikan ucapan Aidilfitri serta berkongsi kisah sedih pembantu rumahnya yang tidak dapat menyambut hari lebaran bersama keluarga di Indonesia untuk tahun kedua berturut-turut.

“Hari yang mulia ini, Chong Wei, Wong Mew Choo sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang menyambutnya. Walaupun tidak senang, tapi kita cuba bersyukur dengan apa yang ada di depan mata.

“Kami berdoa raya tahun depan, Covid-19 telah pun ditumpaskan. Kami berdoa tahun depan, datuk-datuk nenek-nenek boleh berpeluk ketat anak cucu. Berjuadah makanan raya bersama. Bermain mercun bersama. Bergaul mesra bersama. Kami berdoa. Tak lama lagi, bersama lah semua.

“Saya sudahi dengan ungkapan seperti tahun-tahun lepas. Mohon maaf ya. Seperti badminton dimulakan, kosong-kosong. Luv-all,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Seramai 273 atlet menjalani latihan pusat di Bukit Jalil sebagai menghadapi persiapan Sukam Olimpik dan Sukan SEA Hanoi di Vietnam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: Atlet negara sambut Syawal dalam kem latihan

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Atlet negara yang dalam persiapan untuk bertanding dalam Sukan Olimpik Tokyo dan Sukan SEA Hanoi akan menyambut Aidilfitri tahun ini di dalam kem latihan dan tidak dibenarkan keluar, kata Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin.

“Perancangan kita memang akan ada sambutan secara sederhana di dalam kem melibatkan atlet dan jurulatih yang tinggal dalam kem. Tetapi bergantung kepada situasi Covid-19 nanti,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Atlet kembali menyertai latihan secara kuarantin di kemudahan MSN di Bukit Jalil dan beberapa lagi tempat termasuk Akademi Badminton Malaysia (ABM) sejak beberapa hari lepas setelah kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Jefri berkata MSN memilih melaksanakan pendekatan latihan dalam kuarantin selepas mengambil kira PKP dan lonjakan kes harian Covid-19 baru-baru ini di dalam negara yang merupakan risiko kepada keselamatan dan kesihatan atlet.

“Sudah semestinya pihak MSN bimbang akan ketidaktentuan latihan dan pertandingan semasa Covid-19 kerana ini akan menjejaskan prestasi atlet. Sebab itu kem latihan secara kuarantin ini terpaksa dilakukan. Diharap dengan cara ini latihan dapat diteruskan sebagai persiapan menghadapi temasya sukan,” katanya.

Jefri berkata semua atlet dan jurulatih yang berada di bawah program MSN diberi nasihat untuk sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Beliau berkata pihak MSN juga melaksanakan saringan ujian Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen melibatkan semua atlet dan jurulatih pada tiga minggu lepas dan akan melaksanakan ujian yang sama minggu depan.

Media melaporkan 11 atlet dan jurulatih sepak takraw disahkan positif jangkitan Covid-19 selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Sepak Takraw Malaysia.

Sebelum itu 15 pemain dijangkiti virus ini di ABM sejak 17 April sementara seorang atlet remaja dan jurulatihnya didapati positif dalam kem latihan boling baru-baru ini.

Sementara itu, Jefri berkata skuad Muay Thai dijangka berlepas ke Thailand minggu depan untuk latihan dan pertandingan.

-BERNAMA