Categories
NASIONAL

Kemaman banjir kembali, 125 mangsa dipindah ke 3 pusat pemindahan

SHAH ALAM, 9 JAN (BERNAMA): Daerah Kemaman, Terengganu kembali dilanda banjir dengan tiga pusat pemindahan dibuka untuk menempatkan 125 mangsa daripada 37 keluarga,  malam tadi.

Perkembangan terbaharu itu, bagaimanapun tidak meningkatkan bilangan mangsa banjir yang turut melibatkan Pahang, Kelantan dan Perak kerana jumlahnya menurun iaitu 21,491 orang berbanding 21,938, petang semalam.

Di Terengganu, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, 125 penduduk yang terjejas banjir di Kemaman, ditempatkan di Balai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Kubu, Berek Pegawai Ladang Sungai Mas dan Masjid Lama Padang Kubu.

BanjirDifahamkan banjir kembali melanda kawasan rendah di Kemaman berikutan hujan lebat yang turun di pedalaman dan ditambah air laut pasang.

Di Pahang, jumlah mangsa turun sedikit kepada 14,494 orang di 61 pusat pemindahan dalam lima daerah, berbanding 14,612 orang petang tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, daerah Pekan menempatkan mangsa pemindahan paling ramai iaitu 9,783 orang diikuti Maran (2,618), Kuantan (1,012), Temerloh (913) dan Bera (168).

Daerah Raub kembali dilanda banjir apabila dua jalan utama dinaiki air menyebabkan laluan di Kilometer 1,Jalan Felda Kerau berhampiran projek Universiti Teknologi Mara (UiTM) ditutup kepada semua kenderaan selepas air naik di atas jalan setinggi satu meter sejauh 300 meter.

Kilometer 39 Jalan Bentong-Raub pula hanya boleh dilalui kenderaan berat selepas air naik setinggi 0.35 meter sepanjang 500 meter.

banjirBagaimanapun, tiada mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan di daerah berkenaan.

Penurunan turut dicatatkan di Kelantan yang merekodkan 2,749 mangsa di 27 pusat pemindahan berbanding 3,203 mangsa di 32 pusat pemindahan petang tadi.

Jurucakap MKN Kelantan berkata, mangsa banjir itu berada di jajahan Kuala Krai (1,399), Gua Musang (1,157), Tanah Merah (93) dan Machang (100).

Di Perak, jumlah mangsa banjir tidak menunjukkan perubahan iaitu 4,123 mangsa daripada 1,116 keluarga di 21 pusat pemindahan di lima daerah.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkat,a bilangan mangsa di Perak Tengah adalah 3,158 orang, Hulu Perak (454), Hilir Perak (296), Manjung (160) dan Kuala Kangsar (55).

Categories
NASIONAL

Kerajaan Pusat patut percepat bantu mangsa banjir bukan tunggu hingga 4 bulan

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 14 JAN: Kerajaan Pusat patut bertindak adil dan pantas dalam menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kemaman dengan tidak berselindung di sebalik gimik politik.

Pengerusi Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu, Dr Azman Ibrahim, berkata antara ciri kebajikan adalah memberi ketika penerimanya berada dalam situasi memerlukan dan mempermudahkan urusan mereka.

Katanya, menyusahkan mangsa banjir dalam berurusan ibarat menambah batu kepada beban yang sedia digalas.

cap-keris“Kerajaan Terengganu dan Pusat mempunyai jentera pengurusan dan pentadbiran mencukupi untuk menguruskan semua ini.

“Kalau waktu Pilihanraya Kecil, biasa dilihat kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh masuk ke kampung-kampung, rumah ke rumah bagi mengagihkan bantuan ‘mi segera’ dalam tempoh kempen 10 hari atau 2 minggu,” kata Dr Azman dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata mangsa banjir mengeluh dengan karenah birokrasi untuk mendapatkan bantuan segera yang mengambil masa yang agak lama.

“Kena pergi jumpa JKKK untuk ambil borang, lepas tu kena pergi pula Pejabat Kebajikan Masyarakat untuk dapatkan pengesahan nama.

Kupon“Kemudian kena balik semula untuk dapatkan tandatangan JKKK akhir sekali kena pergi beratur di padang dari pagi sampai petang.

“Ada yang dapat barang tetapi ada yang cuma dapat baucar yang memaklumkan barangan akan diberi bulan April nanti,” kata beliau.

Dr Azman berkata, itu adalah keluhan mangsa banjir di Terengganu untuk mereka mendapatkan bantuan berupa TV, dapur, tilam, bantal dan peti sejuk yang dilekatkan dengan logo 1Malaysia, logo alat penimbang dan logo keris.

“Tak kan lah nak uruskan pembahagian TV, dapur, tilam dan peti sejuk sampai ambil masa tiga, empat bulan. Kecuali kalau di sebalik pemberian bantuan untuk rakyat ini, ada tangan- ghaib ‘di sebalik peti sejuk’ yang bersedia untuk mengenggam habuan.

“Mangsa banjir pula sebahagian besar mereka berada dalam situasi ‘total lost’ dan sangat memerlukan keperluan asas untuk meneruskan kehidupan,” kata beliau.

Dr Azman IbrahimKatanya, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada jentera bantuan banjir PAS dari awal mengagihkan periuk nasi elektrik (rice cooker) di samping barangan makanan kepada mangsa terlibat secara agihan terus rumah ke rumah tanpa mangsa banjir perlu ke sana ke mari bagi mendapatkan pengesahan itu dan ini yang menjengkelkan.

“Mangsa banjir pula bukannya tak dikenali kecuali kalau pemimpin Umno memang tak turun padang menyelami masalah rakyat, memang mereka tak akan kenal.

“Bermakna, kalau mangsa banjir nak tunggu dapur agihan Umno untuk buat memasak, jawabnya kebulur dululah rakyat, apa lagi yang terpaksa tunggu sehingga bulan April.

“Bantuan itu pula hak siapa? Kalau hak Umno, kenapa libatkan JKM? Kalau hak kerajaan, kenapa ada logo penimbang dan keris? Jangan lembu punya susu, sapi punya nama,” kata beliau.

EZY