Categories
AGENDA NASIONAL

95 hospital swasta setuju bantu rawat pesakit Covid-19

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapat suntikan semangat dalam memerangi penularan pandemik Covid-19 apabila 95 buah hospital swasta bersetuju untuk membantu kerajaan dalam merawat pesakit Covid.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sesi libat urus antara kedua-dua pihak itu adalah satu perkembangan baik yang melibatkan pertukaran dan perkongsian tenaga pakar termasuk aset yang ada ketika negara berusaha keras melandaikan lengkuk pandemik tersebut.

“Kita baru mulakan libat urus dengan mereka Sabtu lalu dan kita dapati, 95 dari 130 hospital yang berkemampuan merawat pesakit Covid-19, bersetuju untuk sama-sama dalam hal ini. Sehingga kini, kita mempunyai 1,286 katil termasuk 65 di Unit Rawatan Rapi, 54 buah mesin ventilator selain bantuan dari 66 pakar perubatan.

“Kita juga menggunakan Ordinan Darurat yang membolehkan tenaga pakar, petugas dan aset seperti bekalan ubat yang dipinjamkan dari swasta ke swasta, awam ke awam atau sebaliknya,” katanya dalam satu taklimat media darurat Covid-19 bersama KKM secara maya hari ini.

Ditanya sama ada Ordinan Darurat yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini membantu KKM dalam mengurangkan peningkatan kes Covid-19, Dr Noor Hisham berkata ia sangat berguna dalam membentuk kerjasama dengan hospital swasta khasnya apabila ada kes-kes kecemasan.

Jelasnya, Ordinan Darurat telah memperkasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dalam berdepan masalah jangkitan penyakit yang kini tidak lagi terhad kepada lokaliti tertentu saja selain kini lebih tinggi tersebar menerusi sporadik berbanding kluster.

“Akta 342 ini dibuat sewaktu 1988 yang dahulunya tidak dimasukkan negeri, cuma kawasan tetapi ia boleh digunakan untuk kecemasan seperti penggunaan tenaga pakar awam ke swasta.

“Kita tidak gunakan kekerasan (paksaan) dengan hospital swasta sehingga membawa kepada mahkamah, sebaliknya ‘soft approach’ dalam membentuk kerjasama di samping melihat kepada keupayaan yang mereka ada,” tambahnya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham juga berkata sistem penjagaan kesihatan negara berada di takat putus dan sebab itu amaran dibangkitkan awal bulan ini susulan kapasiti hospital yang ada bagi menampung pesakit Covid-19.

Beliau berkata integrasi dan kerjasama antara penyedia perkhidmatan kesihatan swasta dan hospital kerajaan boleh mengurangkan kesesakan pesakit.

“Strategi kami adalah untuk mengurangkan kes. Sekarang kita mempunyai ruang yang cukup untuk memenuhi keperluan pesakit. Kami berharap dalam masa dua minggu akan datang, kami dapat mengurangkan dan menstabilkan keadaan. Rancangannya adalah untuk mengurangkan dan mengawal keadaan dan berharap sistem penjagaan kesihatan kembali kepada normal,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kanan Setor Pengurusan Bencana, Wabak, Krisis dan Kecemasan KKM Dr A.Maheshwara Rao yang turut menyertai taklimat itu berkata aplikasi MySejahtera diwujudkan untuk memberi kesedaran tentang kes Covid-19 termasuk notifikasi berkenaan radius terdekat dengan seseorang pengguna.

Jelasnya, notifikasi itu bukanlah untuk menakutkan pengguna sebaliknya memberikan peringatan dan kesedaran tentang pentingnya aspek penjagaan diri dan tatacara operasi piawai (SOP) di mana sahaja mereka berada.

“Malah, apabila ada kes yang berdekatan dengan pengguna, hal ini disebarkan di dalam Twitter dan platform lain. Ini pada saya, satu petanda bahawa masyarakat peka akan kes berhampiran mereka,” katanya dan menambah aplikasi itu akan dikemaskini dalam masa 72 jam untuk tujuan penambahbaikan.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya mengemas kini maklumat diri serta mengaktifkan ‘push notification’ supaya dapat mengetahui maklumat dan hebahan terkini dan sehingga kini, aplikasi itu sudah dimuat turun oleh 27,313,193 pengguna melibatkan 1.5 juta premis perniagaan berdaftar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM jangka kes harian Covid-19 kembali dua angka Mei ini

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan kes harian positif Covid-19 kembali kepada dua angka pada Mei ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berharap tempoh dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dapat menstabilkan kes-kes harian dan pihaknya menjangkakan penurunan selepas 27 Jan ini.

“Kita harap dalam tempoh dua minggu PKP ini, kita akan dapat elakkan lonjakan kes.

“Jadi, jangkaan kita kalau kita laksanakan PKP untuk tempoh empat minggu disusuli dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk seterusnya, mungkin kita akan capai kembali dua angka pada bulan Mei iaitu pada 11 Mei,” katanya pada sesi taklimat media darurat Covid-19 KKM yang diadakan secara maya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) Covid-19 juga semakin berkurangan daripada 1.2 kepada 1.06 hari ini dan nilai itu dijangka terus menurun pada hari-hari seterusnya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi tatacara operasi piawai dengan sentiasa memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan.

“Hari ini genap setahun kita berperang dengan pandemik Covid-19. Mantera peperangan kita masih kekal iaitu kita perlukan kepatuhan yang tinggi. Kalau rakyat Malaysia ada kepatuhan yang tinggi, kita tak perlukan PKP pun.

“Tapi sebab kita dah ada kelonggaran pada 7 Dis 2020, ketidakpatuhan itu amatlah tinggi. Jadi, kita kena laksanakan PKP.

“Kita perlukan disiplin tinggi dengan mengelakkan ‘3S’ (sesak, sempit serta sembang dekat) dan mengamalkan ‘3W’ (kerap cuci tangan, memakai pelitup muka dan amaran),” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kes baharu Covid-19 di Selangor kembali catat empat angka

SHAH ALAM, 25 JAN: Kes baharu Covid-19 di Selangor kembali merekodkan empat angka iaitu 1,035 kes, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, 607 ialah saringan kontak rapat dan 309 daripada lain-lain saringan.

“Manakala, 113 kes daripada kluster sedia ada serta enam kes import. Jumlah ini menjadikan negeri itu mencatat kes harian tertinggi secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata terdapat tiga kluster baharu di Selangor yang mendapat jangkitan di tempat kerja iaitu kluster Sri Muda, Klang; kluster Jalan Waja, Klang dan kluster Sungai Chemubong, Gombak.

“Hari ini terdapat dua kematian di Hospital Selayang dan satu di Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Secara keseluruhan Malaysia merekodkan 3,048 kes menjadikan jumlah keseluruhan 186,849 kes dengan 41,076 daripadanya kes aktif.

Categories
SELANGOR

Kes Covid-19 di Selangor kembali catat empat angka

SHAH ALAM, 23 JAN: Kes baharu Covid-19 di Selangor kembali meningkat kepada 1,421 selepas dua hari berturut-turut mencatat tiga angka, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 46 daripada keseluruhan kes tersebut melibatkan tahanan penjara di Hulu Langat, Gombak dan Petaling.

“Selain itu KKM mengesan satu kluster baharu di Selangor iaitu kluster Tapak Bina Lebuh Puteri di Petaling. Seramai 200 individu disaring dengan 19 daripadanya positif.

“Pertambahan kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Selangor adalah 53,384 kes dengan 8,800 daripadanya kes aktif,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Secara keseluruhan Malaysia merekodkan kes harian tertinggi sejak wabak menular dengan 4,275 kes.
Selain itu seramai 4,313 individu dilaporkan sembuh, juga tertinggi sejak pandemik melanda negara.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KKM jangka trend kes positif Covid-19 terus meningkat

KOTA TINGGI, 2 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) menjangka kes positif Covid-19 mengalami trend peningkatan berikutan lebih banyak aktiviti pengesanan akan dilakukan selepas kerajaan mewajibkan semua pekerja asing di tapak pembinaan dan industri menjalani ujian saringan bermula semalam.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ujian saringan pekerja asing membabitkan 800,000 orang meliputi Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sabah.

Sebelum ini seramai 70,000 pekerja asing telah disaring dari Ogos hingga 31 Dis lepas.

“Sekiranya didapati positif Covid-19, KKM akan terus mengasingkan mereka secepat mungkin dan memberikan rawatan selain mempercepatkan pengesanan kontak rapat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tenggara di sini, hari ini ketika diminta mengulas mengenai kes Covid-19 yang semakin meningkat.

Dr Adham berkata kos ujian saringan menggunakan kaedah kit ujian pantas antigen (RTK Antigen) akan ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), manakala majikan perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan klinik atau hospital.

“Sekiranya ujian dilaksanakan sendiri oleh pekerja, maka majikan perlu menanggung kos ujian itu.

“Bagi yang tidak mempunyai majikan kena pastikan mereka berdaftar atau tidak… ini adalah tugas pihak penguatkuasaan imigresen untuk memasukkan mereka di pusat tahanan dan saringan ditanggung oleh kerajaan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai persediaan KKM menghadapi trend peningkatan itu, Dr Adham berkata kementerian sedang melakukan persediaan dan menjangka menambah sehingga 10,000 buah katil di pusat kuarantin dan rawatan sementara Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan lima kluster baharu, satu di Selangor

SHAH ALAM, 31 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu daripada lima kluster baharu Covid-19 hari ini di Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Jalan Gajah tercetus di Klang melibatkan tempat kerja.

Menurutnya, kes kluster berkenaan diuji positif wabak bermula 13 Disember lalu melalui saringan bersasar di sebuah kilang.

“Sehingga hari ini, sejumlah 90 individu disaring dalam kluster ini dengan 22 daripadanya dikesan positif,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut memaklumkan empat lagi kluster dalam negara menjadikan kluster aktif yang dipantau sebanyak 225.

Kluster itu meliputi:

1. Kluster Jalan Datuk – Kluster tempat kerja melibatkan Titiwangsa, Kepong, Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Klang dan Hulu Langat, Selangor

2. Kluster Kampung Baharu – Kluster melibatkan Johor Bahru dan Pontian, Johor

3. Kluster Pekeliling – Kluster tempat kerja melibatkan Johor Bahru, Johor

4. Kluster Jalan Rasah – Kluster melibatkan Seremban, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangkitan Covid-19 di Malaysia terus rekod empat digit

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Jangkitan pandemik Covid-19 di Malaysia terus merekodkan empat digit dengan 1,870 kes baharu dilaporkan hari ini dan Johor buat pertama kalinya melaporkan kes harian tertinggi iaitu 607.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kes positif mencecah 110, 485 dengan kes aktif meningkat kepada 22,562.

“Peningkatan kes di Johor disebabkan oleh kluster berkaitan penjara iaitu kluster Tembok Choh yang melaporkan sebanyak 374 kes, ini diikuti oleh Selangor sebanyak 472 kes dan Sabah sebanyak 280 kes,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga memaklumkan pandemik ganas itu meragut enam lagi nyawa menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 463 kes.

Katanya sebanyak 745 kes sembuh hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 ialah 87,460.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, terdapat 131 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Memperincikan lebih lanjut jumlah kes mengikut negeri selain Johor, Selangor dan Sabah, beliau berkata Kuala Lumpur mencatatkan sejumlah 219 kes diikuti Pulau Pinang (69), Kelantan (56), Perak (56) manakala Perak dan Pahang masing-masing 48, Negeri Sembilan (34), Kedah (23), Melaka (8), Labuan serta Terengganu masing-masing dua kes dan Putrajaya satu kes.

Katanya kes kematian pula melibatkan empat lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia lingkungan 45 hingga 69 tahun iaitu empat di Sabah serta masing-masing satu di Johor dan Selangor.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM pantau impak mutasi Covid-19 di Sabah – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 23 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memantau mutasi baharu Covid-19 yang dikesan di Sabah daripada pelbagai sudut merangkumi kadar kebolehjangkitan serta impaknya terhadap masyarakat.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata mutasi baharu A701B itu dikesan selepas pihaknya melaksanakan ujian terhadap 60 sampel dalam Kluster Benteng LD di Sabah.

“Kita kenal pasti mutasi A701B tetapi tidak pasti apa impak klinikal seperti berapa kadar kebolehjangkitan mutasi itu serta (bagaimana) keganasan virus (dalam mutasi itu).

Virus Covid-19 ini sentiasa bermutasi cuma kita perlu tahu apa impak kesihatan daripada mutasi itu,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Menurut beliau, mutasi baharu juga telah dikesan di beberapa negara antaranya Afrika Selatan, Australia, Belanda dan Singapura.

Pada Isnin, Dr Noor Hisham berkata varian baharu atau nama saintifiknya VUI 202012/01 yang merebak dengan cepat dan meluas di UK didapati mempunyai tahap jangkitan lebih tinggi.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata sebelum ini, pihaknya mengenal pasti kewujudan mutasi D614G di Kedah melibatkan Kluster Sivagangga serta di negeri Johor dan Sabah.

“Mutasi D614G ini didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain,” katanya menambah KKM akan memantau mutasi yang ada bagi mengesan apa kesannya terhadap keberkesanan vaksin.

Mengenai soalan adakah KKM akan menaikkan semula tempoh kuarantin bagi pelawat asing dari 10 hari ke 14 hari sebagaimana sebelum ini susulan penemuan variasi Covid-19 baharu dari United Kingdom (UK), Dr Noor Hisham berkata data yang mereka perolehi menunjukkan tidak banyak perbezaan di antara dua tempoh itu.

“Kita dapati tidak banyak beza daripada segi kuarantin 10 hari dengan 14 hari dan yang pasti kita kena kuarantin sekurang-kurangnya 10 hari kerana kebanyakan mereka dijangkiti virus akan ada gejala dan boleh dikesan pada minggu yang pertama.

Tetapi kalau kita guna kaedah atau melihat pada tempoh tujuh hari kuarantin, risikonya lebih tinggi jadi kita mengambil tempoh kuarantin 10 hari dan kita lihat hasil kajian untuk kuarantin bagi 10 dan 14 hari adalah lebih kurang sama,” katanya.

Beliau juga sekatan masih dikenakan ke atas kemasukan pelawat asing dari 23 negara termasuk UK.

Beliau menambah untuk rakyat Malaysia yang pulang dari UK, ujian saringan pemantauan dan kuarantin untuk tempoh 10 hari tetap dilaksanakan ke atas mereka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Lima kluster baharu dikesan, tiga tamat

PUTRAJAYA, 23 DIS: Terdapat lima kluster baharu yang dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Sabah, Kedah dan Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia melibatkan kluster Tapak Bina Jalan Panah di Daerah Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan kes indeks bagi kluster berkenaan dilaporkan positif Covid-19 pada 7 Dis melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan.

“Sehingga 23 Disember 2020, sejumlah 1,000 individu telah disaring, 21 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19.

Selain itu, kluster Menara Wang yang turut melibatkan tempat kerja dikesan di Lembah Pantai, Cheras, Titiwangsa, serta di Daerah Petaling, Klang, Sepang dan Hulu Langat di Selangor dan di Maran serta Kuantan, Pahang.

Dr Noor Hisham berkata kes indeks bagi kluster itu telah dilaporkan positif Covid-19 pada 17 Dis lepas melalui saringan individu bergejala dan sejumlah 293 individu telah disaring dengan 23 kes dikesan positif sehingga hari ini.

Bagi kluster Saga Tengah melibatkan Daerah Tenom dan Keningau di Sabah, beliau berkata kes indeks dilaporkan positif pada 18 Dis melalui saringan individu bergejala dan sehingga hari ini, seramai 298 individu telah disaring dengan 16 kes dikesan positif.

Sementara itu, kluster Kolam Air di Kota Setar dan Kubang Pasu, Kedah dikesan apabila kes indeks kluster itu dilaporkan positif Covid-19 pada 12 Dis melalui saringan orang kena tahan (OKT) dan sehingga kini, seramai 84 individu disaring dengan 14 kes adalah positif.

Kluster Hala Mutiara di Kinta, Perak pula melibatkan kes indeks yang positif menerusi saringan OKT pada 12 Dis dan seramai 51 individu telah disaring dengan tujuh daripadanya dikesan positif Covid-19.

Sementara itu, sejumlah 256 kluster telah tamat termasuk tiga kluster yang berakhir hari ini iaitu kluster Kiambang, kluster Padang, dan kluster Liawan, dan ia menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 208 kluster.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 43 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini dengan pertambahan kes baharu tertinggi adalah kluster Tapak Bina Muda (162 kes), kluster Penjara Jalan Harapan (123 kes), dan kluster Teratai (79 kes),” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Empat lagi kluster baharu Covid-19 dikesan

PUTRAJAYA, 9 DIS: Empat lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di negara ini melibatkan beberapa kawasan di Sabah, Kuala Lumpur, Johor, Kelantan, Perak dan Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster pertama iaitu kluster Kupi-Kupi melibatkan daerah Penampang di Sabah dengan kes awal dikesan positif Covid-19 pada 2 Dis hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga 9 Dis, sejumlah 12 individu telah disaring, kesemua 12 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kluster kedua iaitu kluster Tapak Bina Ikon Bintang melibatkan daerah Lembah Pantai dan Kepong di Kuala Lumpur dengan kes dikesan bermula 9 Dis hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan sebuah tapak pembinaan.

Beliau berkata sehingga 9 Dis, 12 kes telah dikesan positif Covid-19 daripada sejumlah 532 individu yang disaring dalam kluster tersebut.

Bagi kluster ketiga iaitu kluster Bandar Impian, Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan daerah Kluang di Johor, daerah Pasir Puteh di Kelantan dan daerah Kuala Kangsar di Perak dengan kes awal dikesan adalah kes jangkitan pernafasan akut teruk (Sari) dan dilaporkan positif Covid-19 pada 1 Dis.

“Sejumlah 58 individu telah disaring, dengan sembilan kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kluster keempat pula ialah kluster Jalan Kemang yang melibatkan daerah Port Dickson, Negeri Sembilan dengan kes awal dikesan positif Covid-19 pada 5 Dis hasil saringan individu bergejala.

Beliau berkata dalam kluster itu, sebanyak 19 kes dikesan positif daripada 257 individu telah disaring.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini, 396 kluster dilaporkan termasuk empat kluster baharu hari ini.

“Jumlah kluster yang tamat pula adalah sebanyak 211 kluster termasuk empat kluster yang tamat hari ini iaitu kluster Gala, kluster Harmoni, kluster Mahkota dan kluster Bah Kenangan.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 185 kluster dan daripada jumlah itu, 38 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini. Kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah kluster Jalan Genting sebanyak 119 kes, kluster Bintang (45) dan kluster Tapak Bina Muda (39),” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Covid-19: Selangor catat 31 kes, kluster baharu dikesan

SHAH ALAM, 4 OKT: Selangor merekodkan 31 kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 2,378 kes, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah tersebut, kes saringan melibatkan individu mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah dan kluster Meru masing-masing merekodkan 13 kes.

“Kementerian Kesihatan turut mengesan tiga kes melibatkan kluster baharu iaitu kluster Embun membabitkan warganegara dan dua kes saringan kontak rapat juga warganegara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata kluster Embun dikesan di Hulu Langat, Selangor membabitkan individu berumur 41 tahun yang mengalami gejala pada 29 September dan di masukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan empat lagi kes positif dikenal pasti. Semua kes positif ini melibatkan warganegara.

“Sehingga hari ini seramai 52 individu telah disaring dengan lima dikesan positif, 21 dikesan negatif dan 26 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

293 kes baharu Covid-19, jumlah keseluruhan kini 12,381

SHAH ALAM, 4 OKT: Malaysia merekodkan 293 kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 12,381 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 292 kes melibatkan penularan tempatan (269 rakyat tempatan dan 23 bukan warganegara) manakala satu kes import.

“Seramai 28 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan dan tiada kematian hari ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Semalam Malaysia merekodkan 319 kes baharu Covid-19, tertinggi sejak penularan wabak di kesan di negara ini.