Categories
AGENDA NASIONAL

KKM sedia hadapi kemungkinan peningkatan kes Covid-19

PUTRAJAYA, 3 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) telah bersiap sedia untuk menghadapi jangkaan peningkatan kes baharu Covid-19 dalam tempoh antara seminggu dan dua minggu akan datang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya KKM lebih bersedia dari segi peralatan dan pengalaman merawat pesakit Covid-19 kali ini, jika dibandingkan ketika penularan pandemik bermula Mac lepas.

Beliau berkata jangkaan peningkatan kes baharu itu adalah berdasarkan susulan pengesanan aktif yang dijalankan di kawasan tumpuan terutamanya di Sabah dan Kedah.

“Aktiviti pengesanan sedang dijalankan di lapangan dan kita akan mendapat (ada) peningkatan kes yang tertumpu di kawasan itu. Kami jangka (kes baharu) akan meningkat dalam tempoh seminggu, dua minggu ini.

“Inilah tindakan kita dari mula lagi dan kita dapat lihat pengawalan kes jangkitan yang baik,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata jangkitan kes positif Covid-19 melibatkan kluster Benteng di Sabah dan kluster Tembok di Kedah adalah terkawal kerana kebanyakan mereka dikurung di kawasan penjara dan pusat tahanan.

Beliau berkata KKM yakin melalui kaedah kesihatan awam, ia dapat memutuskan rantaian jangkitan seperti kejayaan menamatkan 101 kluster sebelum ini.

Menurutnya, itu adalah kaedah yang terbaik dalam mengawal penularan jangkitan memandangkan vaksin masih belum ditemui.

“Kalau kita mengamalkan kaedah kesihatan awam seperti mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap membasuh tangan, kita akan mampu melandaikan lengkuk gelombang ketiga sekali lagi seperti kita berjaya melandaikan lengkuk dua gelombang sebelum ini.

“Musuh kita adalah sama, jangan salahkan satu sama lain. Kerjasama padu semua pihak adalah diperlukan. Kalau kita amalkan kaedah kesihatan awam, InsyaAllah kita boleh putuskan rantaian jangkitan,” katanya dan menambah bahawa kaedah itu lebih berkesan mencegah penularan jangkitan sehingga 82 peratus.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata KKM sedang mencari tatacara operasi piawai (SOP) untuk mencegah penularan jangkitan Covid-19 di pusat tahanan.

Mengulas keperluan untuk menambah pasukan perubatan dan peralatan di Sabah, beliau berkata mobilisasi bantuan telah bermula dua minggu lepas dan keperluan untuk menambah bantuan akan dipantau dari semasa ke semasa.

Dr Noor Hisham berkata KKM menggerakkan pasukan bantuan, menghantar set peralatan perlindungan diri (PPE), alat bantuan pernafasan dan membuka pusat rawatan berisiko rendah sebagai pusat kuarantin bagi kes positif Covid-19 yang stabil sebagai langkah pencegahan, dan kawalan penularan jangkitan dari Sabah dapat dikawal segera,

Daripada 317 kes baharu hari ini, 37 kes adalah pengunjung yang pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept sebanyak 176 kes.

Berhubung kerisauan ibu bapa mengenai keselamatan anak-anak di sekolah, beliau berkata KKM pada masa ini belum mengesyorkan penutupan sekolah, namun pihak sekolah perlu berhati-hati dan sentiasa mematuhi SOP dalam menjalankan aktiviti di sekolah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KKM: Semua pemilik premis bakal wajib guna Mysejahtera

PUTRAJAYA, 4 OGOS: Kerajaan akan mewartakan pengunaan aplikasi MySejahtera di setiap premis seluruh negara melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata langkah itu perlu kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdepan masalah mengesan kontak rapat di premis yang tidak mempunyai rekod maklumat pelanggan sekiranya ada kes positif Covid-19.

“Cabaran kementerian untuk mengesan kontak rapat sebab pertama premis tidak menggunakan MySejahtera atau aplikasi lain.

“Kedua, premis tiada mempunyai rekod pelanggan. Sepatutnya premis perlu ada rekod pelanggan termasuk nombor telefon pelanggan yang masuk ke premis tersebut,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di sini, hari ini.

Menjawab soalan mengenai tindakan KKM mengesan kontak rapat di premis yang tidak menggunakan aplikasi MySejahtera, Dr Noor Hisham berkata KKM telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) di kawasan terlibat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan Pejabat Peguam Negara akan mewartakan penggunaan aplikasi MySejahtera di setiap premis di seluruh negara dengan pengecualian dibenarkan di kawasan luar bandar, bandar kecil yang tidak mempunyai capaian Internet.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menasihati masyarakat agar tidak mengambil tindakan berupa ancaman fizikal terhadap pesakit Covid-19 kes index 8937, yang menjadi punca jangkitan kepada Kluster PUI Sivagangga.

“Individu tersebut memang telah melanggar kepatuhan dan kita telah denda individu itu. Jangan kita menjalankan atau mengambil undang-undang di tangan kita. Biarkan penguatkuasaan jalankan dan gunakan Akta 342 dan akta lain yang berkaitan,” katanya.

Mengenai Kluster Bukit Tiram, beliau berkata KKM tidak menolak kemungkinan jangkitan kluster itu berpunca daripada seorang daripada dua penuntut rakyat tempatan yang kembali dari Filipina.

Katanya, KKM menjalankan saringan sasaran bagi komuniti Roman Katholik di Johor sebagai tindakan proaktif bagi mengesan dan pemantauan, sebagaimana yang dilakukan semasa kes sekolah tahfiz dan jemaah tabligh.

Kluster Bukit Tiram mula dikesan pada 25 Julai selepas mengenal pasti dua kakitangan bukan warganegara pusat keagamaan di Taman Bukit Tiram, Johor yang dilaporkan positif.

Pada Sabtu lalu, KKM mengesan kes positif Covid-19 pertama di luar Johor bagi Kluster Bukit Tiram membabitkan bukan warganegara di Selangor.

Setakat semalam, dilaporkan 142 saringan telah dijalankan dan dari jumlah itu 10 kes adalah positif yang mana empat melibatkan bukan warganegara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Dua kes baharu, 20 pesakit pulih

SHAH ALAM, 30 JUN: Hanya dua kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 8,639 kes, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata satu kes import mendapat jangkitan dari Mesir manakala kes tempatan dikesan di Hospital Kota Belud, Sabah ketika melakukan saringan pra-rujukan.

“Sehingga jam 12 tengah hari tadi, 20 pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah keseluruhan sembuh 8,354 kes iaitu 96.7 peratus dari keseluruhan.

“Sebanyak 165 aktif dengan kebolehjangkitan telah diasing dan diberi rawatan manakala empat pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan seorang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, tiada kes kematian baharu dilaporkan dan jumlah kekal sebanyak 121 kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kluster persidangan gereja di Kuching berjaya ditamatkan

SHAH ALAM, 23 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya menamatkan kluster persidangan di sebuah gereja di Kuching, Sarawak yang juga antara kes Covid-19 terawal di negara ini, kata ketua pengarahnya.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster tersebut yang dikesan pada 15 Mac merekodkan 191 kes melibatkan lima generasi dengan tiga kematian.

“Sejak kluster ini dikesan KKM telah menyaring seramai 2,751 individu. KKM mengucapkan syabas kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak serta semua petugas yang memberikan perkhidmatan berkaitan kluster ini,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Berikut perincian kematian membabitkan kluster tersebut:
– Kematian ke-2 (iaitu kes ke-358)
– Kematian ke-37 (iaitu kes ke-2,471)
– Kematian ke-67 (iaitu kes ke-2,864)

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Kadar sembuh pesakit umur 16 hingga 18 tahun tinggi

SHAH ALAM, 23 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 346 positif Covid-19 dalam kalangan individu berumur 16 hingga 18 tahun setakat hari ini, kata ketua pengarahnya.

Namun Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kadar sembuh kumpulan itu lebih tinggi dengan tiada kes rawatan di unit rawatan rapi dan kematian berbanding kumpulan umur lain.

“Kesimpulan tersebut dibuat hasil penelitian KKM yang menunjukkan kes Covid-19 dalam lingkungan umur ini mempunyai kadar penyembuhan lebih baik.

“Secara keseluruhan KKM merekodkan 1,712 kes Covid-19 melibatkan mereka berumur 18 tahun ke bawah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Malaysia merekodkan tiga kes baharu Covid-19 dan sembilan kes pulih hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes aktif Covid-19 turun, jumlah semua 986

SHAH ALAM, 14 JUN: Kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan di Malaysia menurun kepada tiga digit apabila merekodkan 986 kes hari ini berbanding dengan 1,014 semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes baharu wabak berkenaan juga turun kepada lapan kes hari ini menjadikan jumlah kesleuruhan 8,453.

“Daripada lapan kes baharu, dua membabitkan kes import, empat warga asing iaitu dari kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur dan dua lagi kes membabitkan penduduk tempatan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat satu kematian menjadikan jumlah kematian 121 melibatkan warga asing di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, sementara terdapat empat kes positif Covid-19 masih dirawat di unit rawatan rapi,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Sehingga kini terdapat 35 kes pulih menjadikan jumlah keseluruhan 7,346.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Jangkitan warganegara meningkat, satu kes ziarah Aidilfitri

SHAH ALAM, 13 JUN: Malaysia mencatatkan 43 kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah positif sebanyak 8,445, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes dalam kalangan warganegara meningkat kepada 15 hari ini dan salah satunya berpunca dari kontak rapat ziarah Aidilfitri, pada hari raya pertama lalu.

“Daripada 43 kes baharu yang dilaporkan, lima kes adalah kes import sementara 38 kes penularan di dalam negara dengan 23 kes adalah bukan warganegara,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, sebanyak empat kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu satu lagi kematian berkaitan Covid-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 120 kes,” katanya.

Berikut perincian bagi 15 kes penularan dalam negara membabitkan warga tempatan :
– Satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu survelan kes Influenza Like Illness (ILI) di sebuah Klinik Kesihatan sentinel
– Empat kes di Selangor iaitu dua di pusat tahfiz dan dua lagi kes saringan pasukan barisan hadapan di Sabak Bernam
– Lima kes di Negeri Sembilan
– Satu kes di Sabah melibatkan kematian di dalam komuniti yang dibawa ke hospital
– Satu kes di Pahang
– Satu di Perak melibatkan pusat tahfiz
– Dua di Melaka melibatkan kes saringan pusat jagaan warga emas di Melaka dan tahfiz

Categories
SELANGOR

Selangor catat enam kes baharu Covid-19

SHAH ALAM, 26 APRIL: Selangor mencatatkan pertambahan enam kes baharu Covid-19 daripada jumlah keseluruhan 38 kes di seluruh negara hari ini.

Mengikut data Kementerian Kesihatan, jumlah kes baharu tertinggi pula direkodkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 16 kes diikuti Sarawak tujuh kes sementara empat kes di Johor.

Pulau Pinang mencatatkan dua kes baharu manakala satu kes pula dicatatkan di Negeri Sembilan, Melaka dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Tiada sebarang kes direkodkan di Perlis, Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sehingga 12 tengah hari tadi.

Secara keseluruhan Selangor kekal mencatatkan jumlah kes kumulatif tertinggi dengan 1,394 kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1,170 kes) dan 659 kes di Johor manakala Wilayah Persekutuan Labuan terendah dengan 16 kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM saring 60 peniaga Pasar Pagi Taman Megah

SHAH ALAM, 26 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyaring 60 peniaga Pasar Pagi Taman Megah selepas terdapat satu kes disyaki positif Covid-19 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tindakan menutup operasi pasar juga dilakukan bagi membolehkan saringan dibuat segera.

“Kita berharap dapat kesan sesiapa yang berkaitan. Berdasarkan pengalaman kita, kadar jangkitan kontak rapat sekitar 30 peratus,” katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin memaklumkan ahli keluarga dan individu berhubung rapat dengan pesakit perlu menjalani saringan manakala peniaga berdekatan juga digalakkan berbuat demikian.

Beliau berkata, peniaga tersebut difahamkan bukan penduduk setempat dan hanya berniaga di pasar berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penggunaan meningkat, KKM perlukan lebih peralatan perlindungan peribadi

PUTRAJAYA, 13 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) masih menggalakkan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menderma peralatan perlindungan peribadi (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan dalam merawat pesakit Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bekalan PPE bagi melindungi petugas barisan hadapan masih diperlukan kerana ia antara peralatan pakai buang yang digunakan setiap hari.

“Penggunaan PPE juga meningkat daripada dua hingga 10 kali ganda berbanding dengan keadaan normal,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu bekalan PPE yang dilaporkan masih kekurangan sehingga ia terpaksa dijahit sendiri oleh petugas KKM.

Dr Noor Hisham menjelaskan penggunaan PPE adalah setiap hari, berbeza dengan ventilator yang mencukupi setakat ini.

“Ventilator kita cukup, ada 956 unit, dah cukup tidak perlu ada pertambahan ventilator lagi. Tetapi tidak dengan PPE, NGO kalau nak derma, dermalah PPE kat kita (KKM). Kita masih terima PPE,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata KKM mempunyai sistem pemeriksaan stok PPE di negeri-negeri dan hospital di seluruh negara.

Beliau berkata perolehan PPE adalah melalui tiga kaedah iaitu secara pukal dari negeri-negeri dan pusat, perolehan di peringkat negeri dan secara derma daripada NGO.

“Apa yang penting ialah kita kena berterusan untuk mendapatkan PPE daripada perolehan. Setakat ini, PPE ada, sekurang-kurangnya dua minggu kita boleh bertahan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata KKM masih terus mendapatkan PPE daripada perolehan dan akan mengaturkan pengagihan kepada setiap negeri dan hospital.

Mengenai jumlah pesara kakitangan kesihatan yang menyertai barisan hadapan KKM, Dr Noor Hisham berkata setakat ini 65 pakar perubatan dan lebih 1,000 jururawat sudah berbuat demikian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

‘Kluster Bali’ jangkiti 20 individu, rekod satu kematian

PUTRAJAYA, 13 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengenal pasti satu lagi kluster baharu iaitu ‘kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Bali’ yang melibatkan golongan pesakit dan beberapa anggota kesihatan dari sebuah pusat perubatan di Kuantan, Pahang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster itu melibatkan kes ke-4,684 yang mempunyai sejarah perjalanan ke Bali, Indonesia serta merupakan kontak rapat kes ke-1,575 (abang).

Beliau berkata kes ke-1,575 (meninggal dunia pada 3 April) telah menjangkiti sebanyak tujuh kes generasi kedua dan 11 kes generasi ketiga.

“Sehingga hari ini, 20 orang telah dikenal pasti dalam kluster ini iaitu 14 orang sedang dirawat di wad L Tengku Ampuan Afzan, Pahang; dua orang telah sembuh; tiga orang dirawat di unit rawatan rapi dan seorang telah meninggal dunia (kes ke-1,575),” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah keseluruhan kluster itu, tiga kes melibatkan petugas kesihatan.

Beliau berkata kluster itu dikesan hasil aktiviti tertumpu yang dijalankan KKM melalui proses pengesanan, penyaringan dan ujian ke atas kumpulan sasar berisiko tinggi.

“Seramai 339 kontak rapat telah dikenal pasti dan ujian saringan Covid-19 telah dijalankan, termasuk 202 anggota kesihatan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini, terdapat 25 kluster dan subkluster Covid-19 di Malaysia, dengan kluster perhimpunan Sri Petaling merekodkan 40 peratus daripada jumlah kes jangkitan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM harap dapat hasilkan vaksin Covid-19 dalam tempoh satu tahun

SHAH ALAM, 13 APRIL: Penyelidik Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berusaha menghasilkan vaksin merawat Covid-19 yang diharap dapat disiapkan dalam tempoh satu tahun, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya menjalinkan kerjasama bersepadu dengan negara lain di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak lain bagi menghasilkan vaksin itu.

“Kita berharap aktiviti-aktiviti penyelidikan itu dapat mengenal pasti vaksin dalam tempoh satu tahun.

“Kita juga sedang membuat penyelidikan bagaimana untuk mencari vaksin berkesan merawat Covid-19,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata penyelidik dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) kini sedang menganalisa plasma darah didermakan 12 bekas pesakit wabak berkenaan untuk tujuan rawatan.

“Ia masih dalam penyelidikan awal untuk mengatakan untuk (merawat) pesakit tetapi sekiranya ada keperluan untuk digunakan di hospital, boleh digunakan untuk pesakit tahap lima yang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.