Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Sepang, Kota Samarahan kini kategori zon merah Covid-19

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Dua lagi kawasan dikategorikan sebagai zon merah Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 23 lokasi setakat ini, menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM).

Berdasarkan statistik yang dimuat naik di Twitter KKM hari ini, lokasi terbaharu itu membabitkan daerah Sepang, Selangor dengan 46 kes, serta Kota Samarahan, Sarawak, dengan 42 kes setakat 12 tengah hari semalam (7 April).

Daerah lain yang turut dikategorikan sebagai zon merah adalah Cheras, Kepong, Lembah Pantai dan Titiwangsa (Kuala Lumpur); Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang (Selangor); Batu Pahat, Johor Bahru dan Kluang (Johor) serta Seremban dan Rembau (Negeri Sembilan).

Wilayah Persekutuan Putrajaya; Hilir Perak dan Kinta (Perak); Jasin (Melaka), Kota Bharu (Kelantan); Jerantut (Pahang); Tawau (Sabah); dan Kuching (Sarawak).

Sementara itu, Lembah Pantai mencatatkan kawasan tertinggi positif Covid-19 iaitu sebanyak 412 kes, manakala Hulu Langat dan Petaling masing-masing mencatat 345 dan 306 kes positif Covid-19.

Zon merah dikategorikan bagi jumlah melebihi 41 kes, zon jingga (20-40 kes), zon kuning (1-19 kes) dan zon hijau tiada kes.

Setakat ini, Selangor masih mencatat bilangan kes paling tinggi positif Covid-19 iaitu sebanyak 1,020 kes, manakala Perlis kekal merekodkan kes terendah (17).

Dalam pada itu, Malaysia mencatatkan penurunan kedudukan dalam senarai negara dijangkiti pandemik Covid-19 di dunia, apabila negara menghuni tangga ke-30 semalam dengan 3,963 kes positif dan 63 kematian.

Berdasarkan statistik itu, kedudukan terbaharu itu menunjukkan perkembangan positif berbanding kedudukan pada 6 April, iaitu di tangga ke-29.

Negara jiran, Filipina di tangga ke-34 (3,660 kes), Indonesia (2,491 kes) dan Thailand (2,258 kes) pula masing-masing berada di kedudukan ke-38 dan ke-41, manakala Singapura (1,309) di tangga ke-54 senarai itu.

Sementara itu, Amerika Syarikat dengan 368,449 kes dan Sepanyol (136,675 kes) masing-masing berada di kedudukan teratas dengan jumlah paling ramai dan kedua dunia, diikuti Itali di kedudukan ketiga dengan 132,547 kes.

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 seluruh dunia dilaporkan sebanyak 1,351,011 kes, yang melibatkan 285,517 kes sembuh manakala 74,871 kematian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 di Hulu Langat meningkat, 1,685 penduduk disaring

SHAH ALAM, 6 APRIL: Jangkitan wabak Covid-19 di Hulu Langat semalam meningkat kepada 328 kes berbanding 314 hari sebelumnya.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, Kampung Sungai Lui kekal dengan 90 kes manakala baki 238 kes dari lokasi lain, meningkat 14 kes berbanding hari sebelumnya.

Seramai 1,685 orang penduduk daripada keseluruhan 1,797 orang disaring ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui sejak 30 Mac lalu.

Pola peningkatan turut ditunjukkan di dua lokasi PKPD Simpang Renggam, Johor dengan pertambahan 12 kes menjadikan jumlah kes positif keseluruhan 147 kes semalam.

Mengikut pecahan mukim, Ulu Benut merekodkan 124 kes, Kluang 18 kes manakala empat di Machap dan satu di Nyior.

Menara One City Plaza Kuala Lumpur pula sebanyak 24 kes direkodkan dengan satu kes luar kawasan selepas 1,893 daripada anggaran 5,000 penduduk disaring.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: 17 kawasan zon merah kekal, kawalan diperketat jika merebak

SHAH ALAM, 5 APRIL: Jumlah zon merah Covid-19 kekal di 17 kawasan seluruh negara dengan Lembah Pantai masih merekodkan lokasi tertinggi jangkitan iaitu 367 kes, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM memaklumkan dua kawasan lain yang mencatat jumlah jangkitan tertinggi ialah Petaling dengan 308 kes diikuti Hulu Langat 307 kes.

“Jika berlaku peningkatan kes secara mendadak di satu-satu kawasan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikenakan bagi mencegah jangkitan daripada merebak,” katanya menerusi Twitter.

Kawasan lain yang dikategorikan sebagai zon merah adalah Seremban (146), Johor Bharu (137), Kluang (135), Kepong (104), Klang (88), Titiwangsa (86), Kinta (82), Kota Bharu (82), Gombak (77), Hilir Perak (61), Jerantut (58) dan Batu Pahat (47)

KKM melabelkan mana-mana kawasan atau daerah sebagai zon merah apabila mempunyai lebih 40 kes Covid-19.

Setakat semalam, Malaysia merekodkan 3,483 kes positif Covid-19 dengan 57 kematian.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM dapatkan alat ujian cepat, 75-80 peratus tepat

SHAH ALAM, 2 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mendapatkan alat ujian cepat yang beri ketepatan saringan Covid-19 antara 75 hingga 80 peratus, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia susulan kadar ketepatan yang dilakukan menggunakan alat ujian cepat dari Korea Selatan hanya mencapai 56 peratus sahaja.

Tambah Dr Noor Hisham pihaknya juga berdepan masalah logistik bagi proses penghantaran peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan topeng muka di fasiliti kesihatan terutama Sabah dan Sarawak.

“Ini menyebabkan sesetengah hospital tidak mempunyai bekalan PPE dan topeng muka mencukupi. Kita berusaha atasi masalah itu dalam minggu ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Selangor catat 22 kes baharu

SHAH ALAM, 1 APRIL: Selangor catat 22 kes baharu Covid-19 daripada 142 kes seluruh negara sehingga 12 tengah hari tadi berbanding 32 kes semalam.

Bagaimanapun penurunan itu menyaksikan Selangor masih merekodkan bilangan kes kumulatif tertinggi di Malaysia dengan 726 kes daripada jumlah keseluruhan 2,908 kes.

Berdasarkan bilangan kes mengikut negeri, Sarawak merekodkan angka tertinggi dengan 32 kes diikuti Kuala Lumpur dengan 25 kes.

Perlis yang mempunyai 12 kes keseluruhan tidak merekodkan sebarang kes hari ini bersama Putrajaya dan Labuan.

Setakat ini Malaysia merekodkan 45 kes kematian dengan dua kes terbaru di Hospital Kuala Lumpur membabitkan wanita berusia 80 tahun dan lelaki berusia 62 tahun.

Seramai 102 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 66 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Perkhidmatan kesihatan ibu hamil, anak operasi seperti biasa – KKM

SHAH ALAM, 27 MAC: Kementerian Kesihatan memaklumkan perkhidmatan kesihatan ibu hamil dan anak beroperasi seperti biasa walaupun Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan susulan Covid-19, kata ketua pengarahnya.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata anggota kesihatan juga akan melaksanakan perkhidmatan lawatan ke rumah kepada ibu lepas bersalin bagi memastikan ibu dan anak dalam keadaan sihat.

“Manakala, bagi ibu hamil dan ibu bapa yang berada di luar kawasan, boleh mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan kerajaan atau swasta yang berdekatan dan mengikut tarikh temu janji diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata perkhidmatan imunisasi kepada bayi dan kanak-kanak juga diteruskan seperti biasa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kini uji 3,500 kes, bulan depan KKM boleh saring 16,000 kes sehari

PUTRAJAYA, 22 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangka berupaya melakukan 16,000 ujian pengesanan Covid-19 sehari menjelang April berbanding 3,500 ujian pada masa ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada masa ini ujian tersebut dikendalikan oleh 18 makmal KKM dan lima makmal swasta.

“Institut Penyelidikan Perubatan akan melatih beberapa makmal lain termasuk di hospital angkatan tentera dan hospital universiti bagi meningkatkan keupayaan Malaysia menjalankan ujian pengesanan Covid-19,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di KKM di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata KKM akan menempatkan jururawat ke negeri-negeri yang mempunyai jumlah pesakit Covid-19 yang tinggi seperti Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Katanya pihaknya juga akan mengambil langkah memanggil doktor pakar dan jururawat yang sudah bersara untuk berkhidmat semula.

Selain itu, KKM kini bekerjasama dengan hospital swasta dalam menangani masalah kesihatan negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Waktu operasi klinik kesihatan primer KKM tidak berubah

SHAH ALAM, 22 MAC: Waktu operasi fasiliti kesihatan primer Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membabitkan klinik kesihatan serta klinik kesihtan ibu dan anak tidak berubah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, kata ketua pengarahnya.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata waktu operasi klinik desa yang mempunyai kedatangan melebihi 20 kes sehari juga tidak berubah kecuali waktu operasi 8 pagi hingga 1 tengahari bagi kedatangan kurang 20 kes sehari.

“Berikutan arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, ia tidak menjejaskan pihak KKM dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang baik kepada rakyat,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Waktu operasi klinik kesihatan dari Isnin hingga Khamis bermula 8 pagi hingga 4.30 petang kecuali Jumaat, 8 pagi hingga 12.15 tengah hari dan bersambung 2.45 hingga 4.30 petang.

Klinik komuniti pula beroperasi lewat satu jam bermula 9 pagi hingga 6 petang manakala klinik UTC ditutup buat masa ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Jangan bersenam, bawa anak ke taman permainan

SHAH ALAM, 19 MAC: Orang awam diminta tidak menjalankan aktiviti senaman di taman rekreasi perumahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Melalui hantaran Facebook, KKM juga meminta orang awam supaya tidak membawa anak atau ahli keluarga bermain di taman permainan.

“Sila patuhi Perintah Kawalan Pergerakan sepanjang tempoh ditetapkan,” katanya.

Pada 16 Mac lalu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac bagi memastikan penularan wabak Covid-19 gelombang kedua dapat diatasi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Perintah Kawalan Pergerakan bantu KKM tangani penularan wabak

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan diharap dapat membantu Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memantapkan kawalan bagi menangani penularan Covid-19 yang melanda negara ketika ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata melalui perintah di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967, pihak KKM dapat melaksanakan sekatan pergerakan untuk mengelak rangkaian penularan penyakit itu seperti di perhimpunan awam.

“Nasihat untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan menjaga kebersihan telah lama disaran oleh KKM tetapi orang ramai masih tidak melaksanakan amalan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Malam tadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan bahawa Malaysia akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Setakat 12 tengah hari semalam, sebanyak 125 kes positif baharu dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif di Malaysia meningkat kepada 553 kes.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas KKM bertungkus-lumus buat saringan di Masjid Sri Petaling

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Petugas Kementerian Kesihatan bertungkus-lumus menjalankan saringan Covid-19 di Masjid Sri Petaling, di sini sejak dua hari lepas setelah seorang peserta perhimpunan tabligh yang diadakan di masjid itu pada 28 Februari disahkan positif virus itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pasukan kementerian telah mendapat kerjasama penuh daripada semua pihak iaitu peserta, petugas dan pelajar.

“Pegawai kesihatan kami dari Lembah Pantai disokong oleh petugas dari negeri lain untuk mengesan dan menjejaki semua peserta.

“Ia sememangnya tugas yang besar dan menakutkan, namun kita perlu bersedia untuk berkongsi tanggungjawab kerana semua orang dapat membantu melindungi diri mereka dan masyarakat,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata masjid itu akan ditutup buat sementara untuk kerja-kerja disinfeksi.

Dr Adham juga menggesa mereka yang menyertai perhimpunan itu supaya segera diuji jika mereka mula mengalami gejala virus itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Misi bawa pulang rakyat Malaysia di Hubei diaktifkan

PUTRAJAYA, 30 JAN: Sebuah jawatankuasa khas bagi misi bantuan kemanusiaan membawa pulang rakyat Malaysia dari wilayah Hubei, China diaktifkan hari ini susulan penularan jangkitan 2019 novel koronavirus di wilayah berkenaan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata jawatankuasa itu diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama dengan Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

“Jawatankuasa itu bertujuan mengatur proses membawa pulang warga Malaysia dan keluarga mereka dari kota Wuhan di wilayah Hubei, China.

“Gerak misi bantuan sedang diatur dengan Wisma Putra, bagi mengumpul jumlah sebenar rakyat Malaysia untuk dibawa pulang,” katanya pada sidang media perkembangan terkini isu koronavirus di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata Wisma Putra turut meneruskan perbincangan dengan pihak berkuasa China berhubung misi itu.

Katanya turut menganggotai jawatankuasa itu adalah syarikat penerbangan AirAsia dan Malaysia Airlines Berhad.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian akan menerima tambahan 25 mesin pengimbas suhu badan yang akan ditempatkan di 61 pintu masuk antarabangsa di seluruh negara.

Dr Dzulkefly turut menjelaskan transmisi sesama manusia berhubung kes ketujuh positif koronavirus, tidak melibatkan transmisi kepada warga tempatan setakat ini.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan jangkitan itu melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau turut menolak tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa KKM kurang efisien dalam menangani masalah koronavirus.

Tegasnya, KKM telah mengambil langkah proaktif, menjangkau saranan WHO.

Setakat ini, lapan individu disahkan positif koronavirus di negara ini, dengan kesemua kes itu melibatkan warganegara China.

– BERNAMA