Categories
SELANGOR

Pamer logo halal dibatalkan, KPDNHEP sita produk minuman

SHAH ALAM, 8 DIS: Sebuah syarikat memproses minuman di kawasan perindustrian Bandar Pinggiran Subang, dekat sini mengalami kerugian RM45,000 apabila produk keluaran syarikat tersebut disita penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, semalam.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata serbuan yang dilaksanakan sekitar 11.45 pagi itu dijalankan susulan syarikat tersebut masih menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang telah dibatalkan.

“Maklumat awal berdasarkan pemantauan KPDNHEP sejak sebulan lepas mendapati, syarikat berkenaan masih menggunakan logo halal Jakim yang dibatalkan atas alasan operasi premis tersebut gagal mematuhi standard pemegang sijil halal yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Antara kegagalan syarikat tersebut ialah keadaan premis yang kotor dan bahan mentah diletakkan di atas lantai kilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad Zikril Azan berkata ketika serbuan dijalankan, pasukannya telah menemukan sejumlah 830 botol minuman kordial menggunakan logo halal Jakim yang telah dibatalkan penggunaannya.

“Turut ditemukan ialah sejumlah 4,100 kotak pembungkus dan hampir 700 gulung pelekat atau label produk yang menggunakan logo halal yang telah dibatalkan penggunaan oleh Jais,” katanya.

Muhamad Zikril Azan berkata pasukannya juga telah menemui wakil syarikat tersebut dan dikatakan premis itu telah membuat permohonan rayuan ke atas penarikan sijil halal berkenaan.

Namun, Muhamad Zikril Azan berkata permohonan itu ditolak oleh JAIS berikutan terdapat teguran-teguran yang gagal diambil tindakan sewajarnya oleh syarikat itu dalam tempoh yang ditetapkan.

Jelasnya, kes tersebut disiasat di bawah Perenggan 4 Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Peraturan 4 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Kesalahan tanda harga, dua premis dikenakan tindakan

SHAH ALAM: Dua pemilik premis perniagaan di Kajang dan Seri Kembangan masing-masing dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atas kesalahan berkaitan tanda harga, hari ini.

Menurut KPDNHEP Selangor sebuah premis dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana gagal mempamerkan serta menyelenggara tanda harga barangan di premis perniagaannya dan dikenakan kompuan RM1,000 serta-merta.

Sebuah lagi premis dikenakan tindakan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana harga yang mengelirukan.

Operasi itu dijalankan oleh pasukan penguat kuasa KPDNHEP Kajang.

Sementara itu, pemeriksaan di Pasar Borong Selangor mendapati bekalan barangan asas mencukupi dan tiada kenaikan harga yang tidak munasabah.

“Peniaga diingatkan sentiasa mengamalkan etika perniagaan yang baik serta mematuhi peraturan dan undang-undang, manakala pengguna perlu bijak berbelanja,” katanya menerusi kenyataan.

Categories
NASIONAL

Litar pintas punca stesen minyak di Sungai Buloh ditutup sementara

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Litar pintas menjadi punca stesen minyak Petronas Bukit Rahman Putra di Sungai Buloh, Selangor ditutup sementara lebih dua jam, semalam.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dalam satu kenyataan di laman Facebook berkata, kementerian membuat pemeriksaan ke atas stesen berkenaan selepas menerima aduan daripada pengguna.

Katanya, semasa pemeriksaan dijalankan, anggota penguatkuasa KPDNHEP Selangor mendapati stesen minyak terbabit telah kembali beroperasi dan semua pam berfungsi.

Pengurus stesen berkenaan memaklumkan, penutupan terbabit dibuat pada kira-kira jam 3.30 hingga 5.45 petang disebabkan berlaku litar pintas di stesen itu.

KPDNHEP juga mendapati stok bekalan semasa di stesen itu mencukupi ketika pemeriksaan dijalankan.

Justeru, KPDNHEP menasihatkan pengusaha stesen minyak agar meletakkan notis pemakluman yang jelas kepada pengguna jika berlaku sebarang penutupan.

Sebelum itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengambil maklum ciapan di Twitter Bernama Radio yang menyatakan bahawa stesen minyak itu tidak beroperasi selepas pengumuman perubahan harga petrol.

Beliau mengarahkan KPDNHEP Selangor untuk segera menyiasat dan memberikan laporan penuh ke atas penutupan stesen minyak berkenaan.

SUMBER: BERNAMA