Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas atlet para kerja di stesen minyak tolak jawatan di MSN

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Majlis Sukan Negara (MSN) pernah menawarkan jawatan kepada bekas atlet olahraga para kebangsaan, Mohd Raduan Emeari yang tular dalam media sosial kerana bekerja di stesen minyak, namun ditolak bekas atlet itu.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata tawaran kerja di MSN untuk membantu skuad negara, ditolak oleh bekas atlet pecut yang pernah beraksi di Sukan Paralimpik Beijing 2008 itu atas alasan komitmen kepada keluarganya.

Menurut Ahmad Shapawi, setelah digugurkan daripada Program Podium pada penghujung 2017, Mohd Raduan juga tidak menyertai mana-mana kejohanan kerana ingin memberi fokus kepada keluarganya, memandangkan beliau mempunyai isteri dan seorang anak.

“Namun, beliau telah dilantik sebagai penggerak sukan olahraga para bermula pada 2020 hingga kini dengan bayaran sebanyak RM350 setiap bulan bagi membantu MSN mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan itu di Selangor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Shapawi berkata Mohd Raduan mula terlibat dalam program MSN secara separuh masa pada 2007 dengan kadar elaun bulanan sebanyak RM500, sebelum diserap sebagai atlet sepenuh masa bermula 2009 dengan elaun antara RM1,500 hingga RM2,500 sebulan bergantung kepada pencapaian prestasi semasa di temasya sukan hingga 2015.

“Bermula 2016, Mohd Raduan telah ditawarkan kemasukan ke Program Podium di bawah seliaan Institut Sukan Negara (ISN) dengan elaun berjumlah RM4,500 sebulan sehingga beliau tidak lagi berada dalam program atas faktor prestasi pada hujung 2017,” katanya.

Terdahulu, tular menerusi media sosial mengenai Mohd Raduan yang bekerja di sebuah stesen minyak di Kuala Selangor, yang turut mempersoalkan ketiadaan insentif penghargaan atau kerja untuk meneruskan kehidupan atlet selepas bersara.

Bekas pelari pecut berusia 39 tahun itu pernah mewakili negara di temasya Sukan Para ASEAN (APG) Filipina 2005, Korat 2007, Solo 2011, Naypyitaw 2013, Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017 telah menyumbangkan lima pingat emas.

Beliau juga pernah beraksi di Sukan Para Asia Guangzhou 2010 dan Incheon 2014, selain Paralimpik Beijing 2008.

Menurut Ahmad Shapawi lagi, pihak MSN juga bekerjasama rapat dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) untuk berjumpa dengan bekas atlet bagi sebarang bantuan yang ingin dipohon dalam lingkungan kemampuan MSN.

“Pihak Yakeb juga telah berjumpa dengan beliau semalam bagi menawarkan kursus asas perniagaan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan pihak Yakeb akan membantu sekiranya Mohd Raduan berminat untuk memulakan perniagaan.

“Pihak KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN melalui pihak Yakeb akan terus bersikap positif membuka ruang dan peluang terbaik yang boleh kami ketengahkan bersama pihak berkepentingan yang lain bagi terus membantu bekas-bekas atlet negara untuk meneruskan kelangsungan hidup setelah bersara daripada menjadi atlet negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Masuk surau, tandas di stesen minyak perlu daftar MySejahtera

SHAH ALAM, 10 NOV: Individu memasuki kedai di stesen minyak termasuk tandas dan surau kawasan berkenaan perlu mendaftar di aplikasi MySejahtera atau secara manual.

Menteri kanan (keselamatan) berkata langkah sama perlu dilakukan individu yang menghantar kenderaan ke bengkel di stesen berkenaan.

“Perintah sama juga ditetapkan kepada mereka yang menggunakan perkhidmatan cuci kereta secara manual,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub pada sidang media hari ini.

Menurutnya, individu yang membayar melalui lubang tingkap atau menggunakan transaksi kad debit, kad kredit dan secara dalam talian bagi membeli petrol tidak perlu berbuat demikian.

“Mereka yang mengisi angin tayar juga tidak perlu mendaftar melalui aplikasi My Sejahtera atau manual,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB Klang: Pasar, restoran dan stesen minyak boleh operasi

SHAH ALAM, 8 OKT: Restoran, stesen minyak dan pasar dibenar beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata waktu operasi pasar borong bermula jam 4 pagi hingga 2 petang, pasar biasa (6 pagi hingga 2 petang) dan pasar tani (6 pagi hingga 12 tengah hari).

“Restoran, kedai makan, gerai, warung, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenar beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 10 malam namun untuk pembelian secara pandu lalu atau beli dan makan di rumah serta penghantaran.

“Waktu operasi stesen minyak pula bermula jam 6 pagi hingga 11 malam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kerajaan memutuskan PKPB dikuatkuasa di mukim Klang mulai jam 12.01 pagi pada Jumaat ini.

Klang bertukar kepada zon merah semalam apabila mencatatkan 77 pesakit aktif yang sedang dirawat.

Categories
NASIONAL

Litar pintas punca stesen minyak di Sungai Buloh ditutup sementara

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Litar pintas menjadi punca stesen minyak Petronas Bukit Rahman Putra di Sungai Buloh, Selangor ditutup sementara lebih dua jam, semalam.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dalam satu kenyataan di laman Facebook berkata, kementerian membuat pemeriksaan ke atas stesen berkenaan selepas menerima aduan daripada pengguna.

Katanya, semasa pemeriksaan dijalankan, anggota penguatkuasa KPDNHEP Selangor mendapati stesen minyak terbabit telah kembali beroperasi dan semua pam berfungsi.

Pengurus stesen berkenaan memaklumkan, penutupan terbabit dibuat pada kira-kira jam 3.30 hingga 5.45 petang disebabkan berlaku litar pintas di stesen itu.

KPDNHEP juga mendapati stok bekalan semasa di stesen itu mencukupi ketika pemeriksaan dijalankan.

Justeru, KPDNHEP menasihatkan pengusaha stesen minyak agar meletakkan notis pemakluman yang jelas kepada pengguna jika berlaku sebarang penutupan.

Sebelum itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengambil maklum ciapan di Twitter Bernama Radio yang menyatakan bahawa stesen minyak itu tidak beroperasi selepas pengumuman perubahan harga petrol.

Beliau mengarahkan KPDNHEP Selangor untuk segera menyiasat dan memberikan laporan penuh ke atas penutupan stesen minyak berkenaan.

SUMBER: BERNAMA