Categories
SELANGOR

KPDNHEP Selangor tahan tiga lelaki, rampas 279 tong gas

SHAH ALAM, 19 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menahan tiga lelaki serta merampas 279 tong gas dan 4,632 kilogram (kg) gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dalam satu serbuan semalam.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata serbuan kira-kira pukul 5 petang oleh sepasukan penguatkuasa KPDNHEP Selangor dan Putrajaya di sebuah premis di Bukit OUG Industrial Business Park, Kuala Lumpur itu dilakukan hasil risikan sejak dua minggu lepas.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis itu menemukan 279 tong LPG terdiri daripada 33 tong 12kg, 224 tong 14kg dan 22 tong 50kg disimpan di situ. Bagaimanapun hanya 151 tong berisi LPG manakala 128 tong lagi kosong.

“Semasa serbuan, terdapat tiga lelaki tempatan di dalam premis itu. Dua daripada mereka merupakan pekerja manakala seorang lagi mengaku premis itu miliknya. Kesemuanya kini ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, sebuah lori dua tan serta sejumlah invois transaksi pembelian dan penjualan LPG turut dirampas semasa serbuan melibatkan jumlah keseluruhan rampasan adalah RM 58,688 manakala nilai sitaan gas LPG sahaja sebanyak RM4,956.

Menurutnya, siasatan awal mendapati syarikat yang beroperasi di premis itu disyaki menyimpan tong LPG bersubsidi di tempat yang tidak dilesenkan dan dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

Muhamad Zikril Azan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang mana jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM1 juta bagi syarikat perseorangan manakala RM2 juta bagi pertubuhan atau penjara selama tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut memberi amaran tegas kepada peniaga supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan memastikan perniagaan berkaitan barang kawalan haruslah berlesen selain mengemaskini buku stok dengan baik.

“Kerajaan amat memandang serius isu penyelewengan LPG bersubsidi sebegini dan tindakan tegas pasti akan dikenakan kepada mana-mana peniaga bagi mengelakkan berlakunya ketirisan barangan kawalan seterusnya membendung kegiatan berkenaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP optimis jayakan kempen beli barangan buatan Malaysia

BIDOR, 14 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) optimis dalam menjayakan kempen Beli Barangan Buatan Malaysia di dalam dan luar negara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kempen itu secara langsung dapat menyokong barangan buatan semua kaum sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

“Bila sebut produk buatan Malaysia? Siapa yang buat? Yang buat itu Cina, Melayu, India, Kadazan, Iban, Dayak. Tidak kira asalkan ia buatan Malaysia mengikut tafsiran maka ia layak dipromosikan.

“Jadi kalau kita buka balik skop kita tentang perniagaan dan perdagangan, kita dapati kita perlu mengekalkan rentak kempen beli barangan buatan Malaysia kerana bila ia berjaya, maka semua kaum akan berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program menanam pokok dengan kerjasama Malaysia-Jepun bersempena ulang tahun yang ke-35 AEON Malaysia di Stesen Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini hari ini.

Saifuddin berkata beliau melalui kementeriannya akan ke Festival Halal Bosnia di Sarajevo pada 22 Sept dan Minggu Halal Africa di Capetown minggu depan untuk memperkenal serta mempromosikan barangan buatan Malaysia.

Beliau berkata, produk buatan Malaysia juga telah ditempatkan di semua pasar raya terkemuka termasuk AEON bagi memberi sokongan kepada kempen berkenaan.

“Ada pasar raya yang telah menempatkan sehingga 30 peratus produk buatan Malaysia dan ada juga yang mencapai 18 hingga 20 peratus. Ia semua dilakukan bagi memastikan kempen itu berjaya,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata kementeriannya juga telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta melalui belanjawan tahun ini yang bertujuan untuk mempromosikan barangan buatan Malaysia.

Katanya kerajaan kini kekal dengan polisi berkenaan dan beberapa inisiatif telah mula dilakukan melalui pameran dan pesta jualan yang dijalankan secara berkala di seluruh negara.

Selain itu, Saifuddin berkata pihaknya telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat e-dagang dan syarikat penerbangan bagi memasarkan produk buatan Malaysia.

“Kita telah bekerjasama dengan AirAsia, sebagai contoh bila kita naik pesawat mereka, ada beberapa menu produk buatan Malaysia yang dipasarkan dalamnya.

“Begitu juga dengan Lazada dan Shopee dan sebagainya, kementerian telah berkolaborasi dengan mereka dan ia sedang berjalan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

KPDNHEP Selangor lupus barangan tiruan bernilai RM1.29 juta

SHAH ALAM, 24 JUL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor melupuskan pelbagai barangan berjenama dan alat ganti kenderaan tiruan membabitkan 107 kes bernilai RM1.29 juta bermula Januari hingga kini.

Pengarahnya, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata, jumlah kes tersebut adalah berdasarkan kes berkaitan pelanggaran Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987, dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Kesemua kes terbabit sudah selesai menjalani proses mahkamah dan KPDNHEP Selangor mendapat kebenaran untuk melupuskan barangan berkenaan,” katanya kepada pemberita di pusat pelupusan barangan eksibit KPDNHEP di Kawasan Perindustrian Bukit Raja di sini, hari ini.

Tambah beliau, untuk hari ini, barangan rampasan tiruan membabitkan 19 kes bernilai RM188,664 terdiri daripada pakaian, produk kesihatan, alat ganti kenderaan serta kasut akan dilupuskan dan ia merupakan kali ketujuh pelaksanaan pelupusan dijalankan KPDNHEP Selangor.

Dalam pada itu, mengulas mengenai modus operandi peniaga barangan tiruan, Zikril Azan berkata, mereka biasanya menawarkan pelbagai promosi jualan secara dalam talian selain berselindung di sebalik premis yang menjadi tumpuan pembeli.

Justeru, beliau memberi amaran kepada mana-mana peniaga supaya tidak terlibat mahupun menjual barangan tiruan bagi mengelakkan tindakan tegas dikenakan.

“Pengguna juga dinasihatkan supaya tidak membeli barangan tiruan sebagai inisiatif melindungi harta intelek pemilik asal cap dagang selain produk tiruan itu kurang berkualiti,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pertemuan dengan pemegang taruh kongsi maklumat subsidi

JITRA, 12 JUL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengadakan pertemuan dengan pemegang taruh dan agensi media bagi menyampaikan maklumat berkaitan pelaksanaan subsidi petrol bersasar sebelum ia diperkenalkan tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara pemegang taruh itu ialah persatuan pengguna, pengusaha stesen minyak, syarikat minyak dan agensi lain seperti Bank Negara Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Penglibatan pemegang taruh ini telah dibuat dan sesi penerangan itu akan diteruskan dari semasa ke semasa. Kita sangat komited untuk sampaikan maklumat kepada mereka.

“Contohnya, sebelum ini kita berjumpa dengan senior editor agensi media di mana tujuan perjumpaan itu adalah supaya rakyat negara dapat memperoleh maklumat terkini, tepat dan sahih berkaitan pelaksanaan ini,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan pelaksanaan subsidi petrol bersasar di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak media juga diharap dapat memainkan peranan membantu memberi penerangan kepada rakyat apabila pelaksanaan subsidi bersasar itu diperkenalkan kelak.

Sesi penerangan kepada golongan sasar juga akan dimulakan dalam masa terdekat sebaik sahaja kertas kabinet berkaitan perkara itu diluluskan jemaah menteri.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, kementeriannya bersama Kementerian Kewangan dalam proses menyediakan kertas itu dengan menumpukan kepada keperluan dan cadangan yang menyeluruh bagi memastikan pelaksanaan itu dapat memberi manfaat kepada golongan sasar.

“Pelaksanaan subsidi bersasar ini sepatutnya sudah dimulakan pada suku kedua tahun ini tetapi kita sedikit lewat tetapi ingin dimaklumkan bahawa matlamat kementerian adalah bagi memastikan pelaksanaan pemberian subsidi ini kelak menyeluruh dan hanya mempunyai kecacatan yang minimum,” katanya.

Ditanya mengenai pelantikan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung PKR menyifatkan ia bukan ancaman besar Pakatan Harapan (PH).

“Tahniah kepada dia (Najib) atas pelantikan itu dan tahniah juga kepada BN kerana melihat beliau masih aset penting kepada parti.

“Pelantikan itu proses biasa dan ia bukan satu ancaman besar kepada PH dan saya rasa politik Malaysia akan jadi lebih meriah selepas ini dan kita akan bersaing dalam suasana politik yang sihat,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin Nasution melancarkan penjualan bahan api Infiniti Euro-5 Diesel di stesen minyak BH Petrol Jitra. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

44,832 barang tiruan disita penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur mengendalikan 47 kes yang berkaitan penjualan barangan berjenama tiruan di bandaraya dalam tempoh antara Januari dan Mei lepas, melibatkan sitaan 44,832 unit barangan yang nilainya dianggar berjumlah lebih RM1.6 juta.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Azeem Nazuri berkata, jumlah sitaan barangan itu mencatatkan peningkatan hampir 35 peratus tahun ini berbanding hanya 33,280 unit bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Nilainya pula meningkat sehingga tiga kali ganda berbanding tahun lepas yang mencatatkan jumlah hanya RM562,340, namun dari segi jumlah kes, kami berjaya mengendali 75 kes sepanjang tempoh itu tahun lepas,” katanya kepada Bernama di pejabat KPDNHEP Kuala Lumpur, di sini baru-baru ini.

“Ini menunjukkan keberkesanan KPDNHEP Kuala Lumpur membanteras kegiatan menjual barangan tiruan ini dan berjaya meningkatkan kadar usaha membanterasnya pada skala lebih besar meskipun jumlah kes berkurangan tahun ini,” tambahnya.

Beliau berkata pihaknya pasti tidak akan mencapai kejayaan dengan nilai sitaan yang besar sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada pemilik cap dagang tulen yang banyak menyalurkan maklumat dan hasil risikan bersama.

Azeem berkata antara barangan tiruan disita adalah beg, kasut dan baju tiruan berjenama antarabangsa.

“Bagi tahun 2018, barangan paling banyak disita penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur ialah barang tiruan jenis aksesori seperti jam tangan jenama mewah bernilai lebih RM250,000. Untuk tahun ini, barang tiruan seperti barangan kulit iaitu beg tangan paling banyak disita dengan nilai menjangkau RM529,600,” katanya.

Beliau berkata ada antara para peniaga ini menjual barangan tiruan secara runcit di premis masing-masing, dan ada juga yang menjualnya secara borong.

“Kita percaya kesemua barangan tiruan yang disita yang ini diperoleh dari luar negara. Semua kes melibatkan yang barangan tiruan ini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPDNHEP cadang meter elektrik dikalibrasi pastikan ketepatan

PUTRAJAYA, 29 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mencadangkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) menggunakan meter elektrik yang telah dikalibrasi untuk memastikan ketepatan.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia penting untuk memperbaiki kelemahan serta memastikan kejadian bil elektrik tidak naik mendadak pada masa depan.

“KPDNHEP ada badan kawal selia untuk mengesahkan alat timbang diberi pensijilan. Alangkah baiknya, kalau sistem yang sama diguna bagi penggunaan meter elektrik dan air, jika ia belum ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Inspirasi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, isu kenaikan bil elektrik mendapat perhatian di mesyuarat Kabinet hari ini, di mana ia turut dibangkitkan sendiri oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin telah memberi penjelasan berhubung isu yang menjejaskan kira-kira 1.7 juta pemilik akaun.

“Yeo turut memaklumkan langkah-langkah pembetulan untuk keadaan itu serta sebab musabab dan punca. Beliau turut mengarahkan TNB mengatasi masalah itu,” katanya.

Dari segi perspektif pengguna, Saifuddin berharap TNB dapat memperbetulkan keadaan itu dengan segera.

“Saya percaya TNB punyai kaedah tertentu. Jika pengguna sudah bayar, saya harap TNB bagi rebat pada bil yang akan datang dan keluarkan bil baru bagi pengguna yang belum membayar,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada aduan kekurangan bekalan setakat ini

GEORGE TOWN, 25 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) setakat ini belum menerima sebarang aduan berhubung kekurangan bekalan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, melalui kerjasama beliau dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub, pihaknya memberi jaminan bahawa bekalan makanan mencukupi terutamanya item-item utama seperti ayam, daging dan telur.

“Setakat hari ini kita dah masuk 21 Ramadan, tinggal sembilan hari lagi sebelum hari raya. Pusat aduan KPDNHEP belum menerima apa-apa aduan berkait dengan kekurangan bekalan.

“Kalau ini (kekurangan bekalan) berlaku kesannya adalah aduan tentang peningkatan harga barang,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan bubur lambuk dan kurma kepada orang awam di Pasaraya Giant Bayan Baru, dekat sini hari ini.

Program anjuran Pusat Khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak itu telah menyediakan 10 periuk bubur lambuk untuk diedarkan kepada kira-kira 300 orang Islam dan bukan Islam yang berkunjung ke pasaraya itu.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata kementerian telah melaksanakan Skim Harga Maksimum sempena Hari Raya Aidilfitri sejak 21 Mei lepas dan ia dijangka berlangsung selama sebulan sehingga 19 Jun ini.

Menurutnya, ini adalah kali pertama pelaksanaan skim harga kawalan pada musim perayaan itu berlangsung dalam tempoh yang lama berbanding tahun lepas yang dijalankan selama 15 hari.

Beliau berkata selain itu, pihaknya turut menambah jumlah barangan dalam senarai harga kawalan kepada 27 item tahun ini termasuk kacang, kacang panjang dan ikan berbanding 21 item tahun lepas

“Apabila kita masukkan barangan dalam skim harga kawalan ini, kepatuhan peniaga sangat tinggi sedangkan tujuannya adalah untuk melindungi hak pengguna.

“Contohnya, pada perayaan Tahun Baru Cina lepas, apabila pasukan penguatkuasa sampai ke premis jualan kita cuma temui dua kes aduan sahaja berkaitan pelanggaran harga syiling sepanjang tempoh kawalan lebih kurang 12 hari.

“Hampir 70,000 premis yang mereka periksa dalam tempoh tersebut…kalau begitu banyak premis tetapi cuma dua kes pelanggaran harga syiling maknanya ianya sangat berkesan.

“Jadi, kita ambil keputusan menjelang Hari Raya ini, kebetulan ia bertindih dengan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai maka kita lanjutkan. Kita harap ini akan melegakan pengguna,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

KPDNHEP puas hati dengan trend harga barang

KULIM, 17 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berpuas hati dengan trend semasa harga barang keperluan di seluruh negara terutama ketika sambutan Aidilfitri bakal tiba tidak lama lagi.

Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kenaikan harga barangan setiap hari, namun sehingga kini tiada aduan mengenai kenaikan harga secara mendadak.

“Setakat ini, kita tidak menerima kenaikan barangan keperluan secara mendadak, lagipun tempoh bermula Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) akan bermula 21 Mei ini selama 30 hari.

“Setakat ini, sebelum menjelang 21 Mei kita tidak menerima laporan kenaikan luar biasa walaupun setiap hari kita terima aduan melalui sistem aduan kementerian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Hari Raya 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya ada aduan mengenai kenaikan mendadak harga sesuatu barang keperluan yang tersenarai di bawah SHMMP, pihaknya akan segera bertindak bagi menjaga kepentingan pengguna dan mengelakkan mereka ditindas.

Terdahulu pada majlis itu, 157 penerima terdiri daripada golongan asnaf termasuk daripada pesara tentera serta polis menerima sumbangan wang tunai, kerusi roda serta barangan makanan harian bagi membantu meringankan beban mereka.

Saifuddin Nasution, yang juga Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, turut melancarkan Klinik Khidmat Guaman Parlimen Kulim-Bandar Baharu sebagai inisiatif membantu rakyat di kawasan itu dalam bidang perundangan.

“Setakat ini kita berjaya kumpulkan empat peguam yang akan memberi khidmat mereka satu kali sebulan secara percuma, yang berkaitan pelbagai isu termasuk syariah namun pada permulaan ia hanya melibatkan kes sivil,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Serbuan terhadap peniaga warga asing langkah paling realistik

KUALA NERUS, 29 APR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus melakukan serbuan di pasar borong bagi mengekang lambakan peniaga warga asing.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, buat masa ini, tindakan itu adalah langkah paling realistik dan praktikal memandangkan pihaknya kekurangan anggota.

“Untuk cadangan letak anggota KPDNHEP di pasar borong misalnya, kita ada 2,294 anggota. Bolehkah kita letak terus 24 jam, 30 hari, 365 hari untuk jaga satu pasar borong sedangkan pada masa sama sempadan negara bolos dengan isu penyeludupan, barangan tiruan masih berlaku, lambakan yang perlu diambil tindakan?

“Jadi saya fikir tindakan yang lebih praktikal untuk banteras perkara ini ialah melakukan serbuan secara berjadual melibatkan penguat kuasa DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), polis, imigresen…laporan media juga kita alu-alukan sebagai maklum balas berhubung kehadiran peniaga warga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa 2019 dan Food Bank Siswa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

Isu peniaga warga asing di pasar borong Selayang terus mendapat perhatian kerajaan setelah didedahkan media pada awal tahun ini sehingga tertubuhnya satu jawatankuasa khas yang dianggotai empat kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Dalam Negeri, KPDNHEP serta Kementerian Wilayah Persekutuan pada 1 April lepas.

Mengulas lanjut, Saifudin berkata, setakat ini beberapa serbuan telah dibuat untuk mengatasi masalah itu dan mula menunjukkan hasil apabila jumlahnya dilaporkan berkurangan.

“Memang serbuan ada dibuat, rampasan ada, tangkapan ada, denda pun ada, namun tindakan ini tidak boleh terhenti setakat itu sahaja. Ia perlu sentiasa dibuat secara bersepadu melibatkan penguat kuasa beberapa agensi yang bertanggungjawab.

“Jadi saya fikir ini (serbuan) adalah tindakan yang lebih praktikal dan kerajaan sentiasa berusaha membanteras kehadiran mereka yang memberi impak dari segi harga kepada peringkat akhir iaitu pengguna,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

LIMA 2019: KPDNHEP pastikan tiada kenaikan harga barangan, makanan

PUTRAJAYA, 25 MAC: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berperanan memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan dan makanan secara tidak terkawal sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa (LIMA) 2019 yang berlangsung di Langkawi.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz berkata, pihaknya akan melaksanakan operasi dan pemantauan ke atas setiap premis perniagaan di Langkawi untuk menangani kenaikan harga yang tidak berpatutan.

Beliau berkata, KPDNHEP memberi perhatian serius dan sentiasa mengambil langkah bagi memastikan harga barangan dalam negara adalah berpatutan demi kesejahteraan pengguna.

“Tindakan pelaksanaan operasi dan pemantauan dijalankan melalui pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan di semua lokasi perniagaan di sekitar Langkawi dengan memberi tumpuan kepada tindakan terhadap ketidakpatuhan ke atas undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kementerian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Antara kesalahan yang boleh dikenakan tindakan ialah perbuatan mencatut atau mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, serta penandaan harga bagi barangan jualan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit) 1993, katanya.

“(Yang lain) ialah petunjuk atau gambaran yang mengelirukan harga di bawah Seksyen 14 Akta Perihal Dagangan 2011 dan Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999; pengeluaran resit atau invois belian jika diminta oleh pengguna di bawah Sekyen 140 Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya.

Muez berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang mengeksploitasikan apa-apa keadaan untuk menaikkan harga secara tidak munasabah.

Katanya, kementerian turut menyediakan pelbagai saluran aduan yang lain iaitu di portal rasmi KPDNKK, emel http://eaduan.kpdnkk.gov.my, talian tol bebas KPDNHEP 1800-886-800, aplikasi telefon pintar EzAdu KPDNKK serta di media sosial Twitter dan Facebook KPDNKK.

“Sebarang aduan itu mestilah jelas seperti butiran nama, alamat tempat yang diadu, butiran barangan dan harga serta resit pembelian untuk memudahkan kita membuat siasatan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Barang tiruan lebih RM14,000 disita

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Lebih 1,500 pelbagai barang tiruan bernilai lebih RM14,000 disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur dalam operasi bersama cap dagang, di sini semalam.

KPDNHEP dalam kenyataan berkata, operasi bermula 12 tengah hari itu disertai sembilan pegawai dan anggota di Plaza TAR di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan di Lorong Haji Taib, Jalan Raja Laut.

Beliau berkata, antara barang dirampas dalam operasi di tiga premis itu ialah 623 selipar, 258 dompet dan 312 topi pelbagai jenama mewah seperti Puma, Michael Kors dan Tommy Hilfiger.

“Ketika serbuan, terdapat pekerja dan pemilik warga tempatan di premis berkenaan namun tiada tangkapan dilakukan,” kata kenyataan itu.

Beliau berkata, kesemua barang yang disita disimpan di stor eksibit KPDNHEP dan pengecaman juga telah dibuat wakil cap dagang.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Skim Kawalan Harga Musim Perayaan: 108 kesalahan direkod

SHAH ALAM, 4 FEB: Sebanyak 108 kesalahan direkodkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam pemeriksaannya sejak perlaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2019 di seluruh negara sehingga semalam.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, jumlah berkenaan membabitkan sebanyak 69 kes kesalahan gagal menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu dan 39 kesalahan membabitkan kegagalan meletakkan tanda harga.

“Kesalahan ini membabitkan 106 peruncit dan dua pemborong, barangan berjumlah RM12,977.10 turut dirampas sementara kompaun berjumlah RM12,700 dikeluarkan kepada peniaga yang terbabit.

“Sehingga semalam, 15,617 premis perniagaan telah diperiksa di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di dua buah pasar raya di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Penguatkuasaan KPDNHEP Selangor, Azman Adam.

Iskandar Halim berkata, pihaknya akan terus giat mengadakan pemeriksaan di seluruh negara bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan sempena musim perayaan ini dan mematuhi harga yang ditetapkan.

Skim itu berkuatkuasa selama 10 hari bermula 31 Januari hingga 8 Februari di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.​​​​​​​

Antara barangan yang diletakkan di bawah skim berkenaan ialah bayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import, bawang putih (China), ikan bawal putih, udang putih besar serta babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

SUMBER: BERNAMA