Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kempen 11.11: Jualan laris sehingga pembekal tidak dapat tampung bekalan

SHAH ALAM, 18 JAN: Basikal, peralatan sukan dan barangan elektrik laris dijual sepanjang kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega yang berlangsung Oktober hingga Disember tahun lalu.

EXCO Industri dan Perdagangan Datuk Teng Chang Khim berkata susulan itu ada pembekal yang tidak dapat menampung permintaan tinggi pelanggan.

“Aksesori telefon bimbit, barangan rumah serta barangan kesihatan dan kecantikan juga antara kategori popular menjadi pilihan pelanggan.

“Ini membuktikan usaha Kerajaan Selangor ke arah digitalisasi membuahkan hasil. E-dagang, pembayaran digital dan logistik semakin berkembang walaupun dalam keadaan yang penuh dengan cabaran ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam talian ketika majlis mengumumkan kejayaan kempen berkenaan semalam. Pengumuman dilakukan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Chang Khim berkata kempen yang bermula 26 Oktober hingga 15 Disember membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas ekoran penularan Covid-19 menjana pendapatan baharu yang lebih tinggi.

“Saya beri contoh penjual pakaian muslimah, Zaharah Aris. Kedainya Az Zara sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) hanya catat jualan RM2,000 sebulan namun selepas sertai Selangor e-Bazar, jualan mencecah RM50,000 sebulan.

“Pembelian barangan dalam talian semakin berkembang. Ia bukan hanya meningkatkan jualan peniaga sebaliknya membantu ekonomi penghantar makanan serta menyenangkan pelanggan,” katanya.

Kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega dengan peruntukan RM2 juta merupakan program beli-belah dalam talian membabitkan kerjasama Shopee dan Lazada bagi membantu peniaga berdepan krisis ekonomi berikutan penularan Covid-19.

Sepanjang kempen itu, sebanyak RM1.04 bilion jualan dicatatkan termasuk RM32.06 juta diraih melalui jualan terus.