Categories
AGENDA NASIONAL

KKM keluar 2,312 notis kesalahan merokok

SHAH ALAM, 6 JAN: Sebanyak 2,312 notis kesalahan merokok dengan nilai kompaun RM554,400 dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam tempoh lima hari sejak dikuatkuasakan 1 Januari lalu.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham berkata, 1,702 daripadanya membabitkan kesalahan merokok di tempat makan dibawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

“Hasil pemeriksaan di 29,903 premis tempat makan seluruh negara, sebanyak 400 notis kesalahan di bawah Peraturan 12 (1)(a) iaitu Tuan Punya Premis gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan 92 notis kesalahan di bawah Peraturan 12(1)(b) iaitu Tuan Punya Premis menyediakan kemudahan merokok.

“KKM juga mengeluarkan 118 notis kesalahan di bawah Peraturan 13(1) iaitu larangan berkenaan merokok dan sebagainya kepada golongan orang belum dewasa iaitu di bawah usia 18 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata, jumlah notis yang dikeluarkan pegawai penguatkuasa pada hari pertama sehingga ketiga menunjukkan trend menurun daripada 708 kepada 366 setiap hari.

“Namun, jumlah tersebut meningkat pada hujung minggu 4 dan 5 Januari iaitu masing-masing sebanyak 404 serta 441 notis kesalahan. Bagaimanapun, penguatkuasaan yang dijalankan selama lima hari menunjukkan penurunan kepada keseluruhan notis kesalahan yang dikeluarkan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya masih menerima aduan berkaitan larangan merokok itu dan pegawai penguatkuasanya kini sedang dalam tindakan untuk meneruskan siasatan.

Categories
NASIONAL

Kempen henti merokok dapat sambutan – Dr Dzulkefly

PUTRAJAYA, 5 MAC: Seramai 143 perokok mendaftar bagi mendapatkan perkhidmatan bimbingan berhenti merokok ‘mQuit’ disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sejak Januari hingga minggu kedua Febuari lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kesedaran dalam kalangan perokok tersebut adalah berikutan pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok yang berkuatkuasa 1 Januari lalu.

“Ini merupakan sambutan luar biasa dan saya merasakan pewartaan tempat makan sebagai tempat larangan merokok adalah satu langkah positif, bagi meningkatkan tahap kesihatan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya percaya larangan tersebut yang bersifat prohibitif, apabila digabungkan dengan program mQuit yang bersifat promotif membantu membudayakan amalan tidak merokok sekali gus membantu usaha mencapai sebuah negara bebas amalan merokok,” katanya lapor BERNAMA.

Sehingga kini, perkhidmatan berhenti merokok itu ditawarkan di 731 klinik kesihatan, 46 hospital kerajaan dan 164 fasiliti swasta yang diberikan akreditasi.

Mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan bimbingan berhenti merokok sama ada di fasiliti awam mahupun swasta boleh mendaftarkan diri di laman sesawang jomquit.moh.gov.my.

Ditanya mengenai terdapat perokok yang masih merokok di premis makanan sehingga kini, Dr Dzulkefly berkata ia hanya melibatkan 12 peratus perokok, sementara 88 peratus akur dengan larangan yang dikeluarkan.

– BERNAMA