Categories
SELANGOR

Doakan Nur Amirah selamat, jangan buat andaian bukan-bukan

Oleh: HAFIZAN TAIB

PELABUHAN KLANG, 30 DIS: Keluarga amat terkesan dengan kehilangan Nur Amirah dan berharap polis mampu menyelesaikannya dengan segera.

Nur Amirah Atirah Abdul Majid , 14, dikatakan dilarikan pihak tertentu pada petang Ahad lalu (27 Disember) dengan sebuah van putih di satu kawasan berhampiran taman perumahan didiami keluarga berkenaan.

Berita menimpa dirinya kini menjadi viral di media sosial dan ramai menyatakan simpati selain bersedia membantu keluarganya sekiranya diperlukan.

Bapanya, Abdul Majid Landu, 40, seorang eksekutif operasi di Pelabuhan Kuantan, berkata perkara menimpa anak sulungnya itu amat mengejut dan membimbangkan.

Abdul Majid“Doa saya semoga dia berjaya diselamatkan dan pulang semula dengan selamat.

“Tiada apa yang mampu saya katakan hanya berharap semua pihak bersama membantu,” katanya kepada Selangor kini di sini, semalam.

Beliau mendakwa, Nur Amirah Atirah berjaya menghubungi keluarganya dalam tempoh singkat dan menjelaskan dirinya diculik dua lelaki serta ditempatkan di satu lokasi seperti gudang di selatan tanah air.

Laporan polis sudah dibuat keluarga kira-kira jam 8.00 malam Isnin lalu.

Katanya, perkara itu amat menyedihkan kerana sebahagian persiapan untuk sesi persekolahan yang baharu sudah dibuat.

“Baju sekolah untuknya semua sudah dibeli dan hanya tunggu untuk belikan buku sahaja,” katanya.

Asmah MamaiIbunya, Asmah Mamai, 33, berharap Nur Amirah Atirah berjaya diselamatkan dan akan pulang segera.

“Cuma harapan saya jangan dibuat andaian yang bukan-bukan terhadap anak saya.

“Diharap pihak berkuasa bertindak cepat menyelamatkannya,” kata ibu empat anak itu.

-nR-

Categories
NASIONAL

Lagi kes culik bersenjata di Sabah, dua lelaki jadi mangsa

SEMPORNA, 16 JUN: Dua lelaki – seorang penjaga pusat ternakan ikan dalam sangkar dan seorang suku kaum Suluk – dilarikan oleh dua lelaki bersenjata di Kampung Sapang, barat Pulau Timbun Mata, di Semporna, Sabah, tengah malam tadi.

Menurut laporan awal, penjaga pusat ternakan itu dipercayai bernama Chan Sai Chiun, 32, berasal dari Perak dan lelaki Suluk itu yang hanya dikenali sebagai Mazlan berumur sekitar 20-an.

tembak-01Mereka dikatakan diculik kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi di pusat ternakan ikan milik syarikat Davel Bay di Semporna.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Omar Mamah mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi Bernama.

Ini merupakan kes penculikan ketiga di kawasan pantai timur Sabah tahun ini.

Pada 6 Mei, lima lelaki bersenjata menculik seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China di Pulau Baik di Lahad Datu, sebulan selepas seorang pelancong wanita warga China diculik di sebuah resort di Semporna.

Sementara itu dalam perkembangan terkini, salah seorang daripada dua orang yang diculik oleh lelaki bersenjata Filipina dari pusat ternakan ikan dalam sangkar berhampiran Kunak di pantai timur Sabah awal Isnin telah berjaya melarikan diri.

Mstar Online melaporkan, pekerja yang hanya dikenali sebagai Maslan itu bertindak terjun dari bot laju kumpulan lelaki bersenjata, manakala penternak ikan Chan Sai Chiun dari Perak masih tidak diketahui nasibnya.

Maslan dipercayai melarikan ketika bot itu memecut dan berenang naik ke darat untuk membuat laporan polis.

Kumpulan lelaki bersenjata itu telah menculik Chan dan Maslan kira-kira pukul 12.45 pagi dari pusat ternakan di Kampung Sapang di Kunak kira-kira 60km dari sini.