Categories
AGENDA NASIONAL

Najib belanja RM606.51 juta dalam tempoh tiga tahun

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Seorang bekas ahli bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini yang mendengar perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd bahawa RM606.51 juta didepositkan dan dibelanjakan oleh bekas Perdana Menteri itu melibatkan tiga bank akaunnya dalam tempoh tiga tahun.

Bekas Pengurus Perhubungan di AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 48, berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaran berhubung jumlah wang yang digunakan oleh tertuduh antara 2013 dan 2015.

Menurut dokumen bank yang dikemukakan di mahkamah, jumlah tepat yang dikreditkan ke dalam itu adalah RM606,510,434.66.

Tiga akaun semasa itu adalah akaun Ambank dengan nombor 2112022011-898, 2112022011-906 dan 2112022011-880.

Sithambaram: Berdasarkan jumlah ini, jumlah keseluruhan dalam ketiga-tiga akaun ini, iaitu kredit dan debit, adalah RM606,510,434.66. Yu menjawab “Ya”.

Berdasarkan penyata bank yang dikemukakan di mahkamah, pecahan jumlah amaun yang dikredit adalah RM109,344,315.26 juta (akaun-898); RM205,200,913.36 juta (akaun-906); dan RM292,365,208.07 juta (akaun-880).

Ketika ditanya sama ada pemegang akaun berkenaan tahu tentang jumlah transaksi membabitkan akaun itu berdasarkan perspektif beliau dan penyata bank, Yu menjawab “Ya”.

Mahkamah turut diberitahu Najib menerima sejumlah RM212,367,697.57 wang asing dalam tempoh sama.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Suboh mengaku tandatangannya berbeza pada dokumen SRC

KUALA LUMPUR, 2 JUL: Seorang bekas pengarah bukan eksekutif SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa tandatangan pada dokumen SRC yang dikatakan ditandatanganinya adalah berbeza daripada tandatangannya sendiri.

Saksi ke-42 pihak pendakwaan itu memberitahu demikian apabila melihat sampel tandatangan, yang ditayangkan pada skrin menggunakan mesin projektor di mahkamah semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau memberi keterangan pada hari ke-31 perbicaraan Najib yang menghadapi pertuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Suboh, 68, juga bersetuju bahawa sampel tandatangan itu tidak serupa dengan tandatangan pada dokumen yang termasuk arahan kepada AmIslamic Bank untuk memindahkan wang antara SRC International, Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Muhammad Shafee: Perhatikan salinan kertas dan tandatangan anda (pada sampel) yang kami “superimpose”? Suboh menjawab “Ia berbeza.”

Muhammad Shafee: Ia sama sekali berbeza, anda setuju?

Suboh: Betul.

Muhammad Shafee: Sekarang anda bersetuju dengan saya bahawa seseorang telah menandatangan pada salinan kertas anda?

Saksi itu menjawab “Ya.”

Muhammad Shafee: Saya mahu membuat beberapa kesimpulan. Semua salinan yang diimbas, kebanyakannya, mengandungi tandatangan anda. Tetapi terdapat (salinan tandatangan anda) yang diimbas. Ada orang telah mencuri tandatangan anda, potong dan tampalnya pada dokumen, dan menghantarnya ke bank. Dokumen itu mengandungi tandatangan anda tetapi anda tidak menandatangani dokumen tersebut. 17 kali. Anda tidak boleh menandatangannya dengan serupa, anda setuju?

Suboh: Ya.

Muhammad Shafee: Anda tidak menandatangani salinan yang diimbas? Suboh menjawab “Ya.”

Muhammad Shafee: Ini bermakna (anda) tidak menandatangani mana-mana borang Rentas yang menjadi bukti dalam kes ini. Anda tidak menandatangani satupun borang itu?

Suboh menjawab “Ya.”

Muhammad Shafee: Siapakah yang meminta anda mengaku salinan kertas itu mengandungi tandatangan anda? Siapakah yang menyuruh anda? Berhati-hati dengan jawapan anda. Anda sekarang berada di mahkamah. Sekali lagi saya bertanya. Siapakah yang menyuruh anda? Mengapa anda mengaku?

Suboh menjawab “Ya.”

Suboh: Saya tidak pernah menghadapi situasi sedemikian.

Muhammad Shafee: Adakah anda pasti?

Suboh menjawab “Ya.”

Muhammad Shafee kemudian bertanya kepada Suboh sama ada beliau memaklumkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa tandatangan itu tidak tulen.

Suboh berkata beliau tidak mengingatinya dan Muhammad Shafee mengingatkan Suboh supaya berhati-hati dalam memberikan jawapan dan cuba mengingatinya.

Saksi mengulangi jawapannya dengan menyatakan “saya tidak ingat.”

Muhammad Shafee kemudian memohon kepada mahkamah untuk merujuk Suboh kepada kenyataan yang dibuatnya kepada SPRM pada 2018.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan itu.

“Disebabkan permohonan saksi untuk membantunya untuk mengingati peristiwa itu dengan memberikan kenyataannya kepada SPRM, mengikut seksyen 159 (Akta Keterangan 1950) mengenai laporan kenyataan yang dibuat oleh saksi kepada pegawai, Saya membenarkan permohonan itu,” hakim memutuskan.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amana, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd fberjumlah RM42 juta.

Perbicaraan bersambung. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Saksi: Penggeledahan dibuat selepas ada arahan siasat Ambank Group

KUALA LUMPUR, 17 APR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa penggeledahan dilakukan di bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan selepas terdapat arahan untuk menyiasat satu kesalahan yang disyaki dilakukan di bank berkenaan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Pengurus Bank Negara Malaysia (BNM) Ahmad Farhan Sharifuddin, 32, berkata, beliau diarah untuk menjalankan siasatan itu oleh Pengarah Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan BNM Abdul Rahman Abu Bakar.

“Arahan dikeluarkan untuk melakukan siasatan terhadap Ambank Group bagi satu kesalahan yang disyaki di Bahagian 4 akta berkenaan.

“Justeru itu, saya mengarahkan satu penggeledahan dibuat di bangunan Ambank dikendalikan pegawai penggeledah, Azizul Adzani Abdul Ghafar pada 6 Julai 2015,” kata saksi keempat pendakwaan itu yang berkhidmat di BNM sejak 15 April 2011.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim pada hari keempat perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Suhaimi: Bila kamu dapat tahu tentang rampasan yang dilakukan oleh Azizul Adzani?

Ahmad Farhan: Saya mengetahui mengenai rampasan itu pada 7 Julai 2015.

Ahmad Farhan, yang juga pegawai penyiasat, berkata pihak BNM telah menyita beberapa barangan dan dokumen susulan siasatan itu.

“Selain itu, ada juga dokumen berkaitan akaun yang disita melalui senarai carian pada 6 Julai 2015,” katanya.

Saksi pendakwaan keempat itu berkata, beliau juga menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 30 Mei 2018 untuk mengemukakan beberapa dokumen dalam simpanan Bank Negara.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung petang ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Syarikat SRC International mempunyai modal terbitan RM1 juta – Pendaftar SSM

KUALA LUMPUR, 3 APR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa syarikat SRC International Sdn Bhd yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 7 Jan 2011, mempunyai modal terbitan sebanyak RM1 juta.

Penolong Pendaftar SSM, Muhamad Akmaludin Abdullah, 35, berkata, demikian ketika memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Saksi pertama pendakwaan itu berkata, syarikat persendirian yang mempunyai nombor pendaftaran syarikat 928868-V turut melantik beberapa individu termasuk Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Suboh Md Yassin sebagai pengarah SRC International.

“Bagaimanapun, Datuk Che Abdullah@Rashidi Che Omar dilantik sebagai pengarah pada 22 Ogos 2011,” katanya semasa membacakan penyataan saksinya.

Muhamad Akmaludin, yang bertugas di Unit Pengurusan Akaun Pengguna Bahagian Pemasaran dan Pembangunan SSM turut memaklumkan pada 7 Jan 2011, SRC mempunyai dua unit saham, masing-masing dipegang oleh Nik Faisal dan Vincent Beng Huat Koh yang mana setiap unit saham itu bernilai 100 sen.

“Semakan terhadap pemegang syer juga mendapati semua 1 juta syer dipegang oleh Menteri Kewangan (diperbadankan). Malah, maklumat gadaian juga menunjukkan terdapat tiga gadaian dengan jumlah cagaran tidak dinyatakan,” katanya.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup, saksi itu turut mengesahkan beberapa dokumen asal berhubung pendaftaran syarikat SRC dengan SSM.

Beliau juga mengesahkan dokumen pendaftaran syarikat lain yang akan dirujuk pada perbicaraan kes itu antaranya syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Terdahulu semasa membacakan penyataan saksinya, Muhamad Akmaludin berkata, modal terbitan SRC adalah RM1 bilion, bagaimanapun beliau telah membetulkan jumlah itu kepada RM1 juta.

Ditanya Manoj, bagaimana beliau memperoleh jumlah RM1 juta, saksi itu berkata, ianya berdasarkan salah satu borang syarikat yang menyatakan nilai sebenar modal itu adalah RM1 juta.

Manoj: Adakah jumlah RM1 bilion itu betul?

Muhamad Akmaludin : Tidak

Manoj : Apa jumlah sebenar?

Muhamad Akmaludin : RM1 juta

Semasa pemeriksaan balas peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Najib berhubung bidang tugasnya, saksi itu memaklumkan tugasnya adalah membekalkan dokumen berkenaan syarikat kepada agensi kerajaan dan orang awam.

Harvinderjit: Berapa lama kamu bekerja di SSM?

Muhamad Akmaluddin: Saya mula berkerja di SSM pada 2007.

Harvinderjit: Adakah kamu tahu tentang pemfailan atau penyerahan dokumen kepada SSM?

Muhamad Akmaludin: Sekadar tahu.

Harvinderjit juga turut meminta saksi berkenaan supaya membuat carian berhubung Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) bagi mendapatkan butir-butir semua pengarah yang pernah memegang jawatan sebagai pengarah di syarikat itu dan Muhamad Akmalaudin menjawab,”boleh”.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salahguna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 15 April hingga 10 Mei.

Terdahulu sebelum mahkamah menetapkan tarikhnya, Thomas mencadangkan supaya perbicaraan disambung pada 15 April atau pada mana-mana tarikh bebas di mana mahkamah memiliki ruang masa bagi tujuan itu.

Muhammad Shafee kemudiannya membacakan jadualnya yang ketat pada bulan April dan memaklumkan bahawa beliau ada beberapa kes di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, yang tidak boleh ditangguhkan.

“Diari saya ditulis dengan dakwat hitam dan merah, tapi banyak dalam dakwat merah yang bermakna kes-kes ini tidak boleh ditangguh,” katanya, yang mencetuskan gelak ketawa orang ramai dalam mahkamah.

Beliau berkata, Peguam Negara tidak seharusnya meminta mahkamah menetapkan satu tarikh yang dia sendiri (Thomas) boleh hadiri, tetapi ia tidak dapat dihadiri oleh pasukan pembelaan.

“Peguam Megara seharusnya lebih tahu, kerana sebelum dia menjadi Peguam Negara, dia juga adalah peguam biasa,” kata Muhammad Shafee.

Thomas kemudiannya bangun dan berkata “Ya, saya adalah pengamal undang-undang yang tidak pernah meminta sebarang penangguhan”.

Hakim Mohd Nazlan selepas mendengar hujah kedua-dua pihak berkata, selepas membuat pertimbangan bahawa kes ini berkepentingan awam, dan bagi memastikan kecekapan prosiding, mahkamah menetapkan 15 April sehingga 10 Mei untuk meneruskan perbicaraan.

SUMBER: BERNAMA