Categories
NASIONAL

Saksi: Penggeledahan dibuat selepas ada arahan siasat Ambank Group

KUALA LUMPUR, 17 APR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa penggeledahan dilakukan di bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan selepas terdapat arahan untuk menyiasat satu kesalahan yang disyaki dilakukan di bank berkenaan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Pengurus Bank Negara Malaysia (BNM) Ahmad Farhan Sharifuddin, 32, berkata, beliau diarah untuk menjalankan siasatan itu oleh Pengarah Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan BNM Abdul Rahman Abu Bakar.

“Arahan dikeluarkan untuk melakukan siasatan terhadap Ambank Group bagi satu kesalahan yang disyaki di Bahagian 4 akta berkenaan.

“Justeru itu, saya mengarahkan satu penggeledahan dibuat di bangunan Ambank dikendalikan pegawai penggeledah, Azizul Adzani Abdul Ghafar pada 6 Julai 2015,” kata saksi keempat pendakwaan itu yang berkhidmat di BNM sejak 15 April 2011.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim pada hari keempat perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Suhaimi: Bila kamu dapat tahu tentang rampasan yang dilakukan oleh Azizul Adzani?

Ahmad Farhan: Saya mengetahui mengenai rampasan itu pada 7 Julai 2015.

Ahmad Farhan, yang juga pegawai penyiasat, berkata pihak BNM telah menyita beberapa barangan dan dokumen susulan siasatan itu.

“Selain itu, ada juga dokumen berkaitan akaun yang disita melalui senarai carian pada 6 Julai 2015,” katanya.

Saksi pendakwaan keempat itu berkata, beliau juga menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 30 Mei 2018 untuk mengemukakan beberapa dokumen dalam simpanan Bank Negara.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung petang ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

SRC International: Mahkamah Persekutuan tolak tiga rayuan Najib

PUTRAJAYA, 10 APRIL: Datuk Seri Najib Razak sekali lagi gagal dalam percubaannya untuk mendapatkan perintah sekatan bagi menghalang media dan orang ramai daripada membincangkan merit kesnya serta mendapatkan dokumen tambahan untuk menyediakan pembelaannya.

Bekas perdana menteri berusia 66 tahun itu juga gagal dalam rayuannya berhubung prosedur yang diambil oleh Peguam Negara untuk memindahkan kes beliau dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum sebulat suara menolak ketiga-tiga rayuan itu.

Sementara itu, mahkamah turut menolak keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintah pendakwaan supaya mengemukakan surat pelantikan pendakwa ad hoc Sulaiman Abdullah kepada pihak pembelaan.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah berhubung rayuan Najib bagi mendapatkan dokumen tambahan, Hakim Tan Sri Idrus Harun, seorang daripada anggota panel hakim itu, berkata Parlimen telah meluluskan Seksyen 51 Kanun Tata Cara Jenayah (CPC) untuk mengawal apakah dokumen yang perlu dibekalkan kepada pembelaan sebelum perbicaraan dan perkara ini telah pun dipatuhi oleh pihak pendakwaan.

Beliau berkata Najib tidak berhak untuk mendapatkan sebarang dokumen tambahan lagi pada peringkat ini, dan menambah, jika permohonan (Najib) itu dibenarkan, ia akan sama seperti menyerahkan keseluruhan kertas siasatan kepada beliau.

Hakim lain dalam panel berkenaan ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Ramly Ali, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat serta Datuk Nallini Pathmanathan.

Mahkamah Rayuan pada Mac tahun ini turut menolak tiga rayuan Najib.

Najib, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan kes beliau bermula pada 3 April dan pendakwaan telah memanggil seorang saksi untuk memberi keterangan pada hari berkenaan. Perbicaraan akan bersambung dari 15 April hingga 10 Mei.
-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dana SRC: Perbicaraan Najib bermula Rabu

KUALA LUMPUR, 1 APR: Tanpa melengahkan masa, pihak pendakwaan diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas akan mula membentangkan kes terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana SRC International Sdn Bhd pada Rabu dan sudah bersedia dengan tiga saksi pertama yang akan memberi keterangan.

Perbicaraan ditetapkan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menarik balik penangguhan prosiding yang dibenarkan Mahkamah Rayuan kepada Najib yang pada 8 Februari memfailkan permohonan bagi menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung rayuan “interlocutory” untuk didengar.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, yang mengetuai panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan, berkata Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian dan dengan itu, memerintahkan Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh perbicaraan.

Perbicaraan kes Najib membabitkan dana SRC itu mulanya dijadualkan berlangsung dari 12 Februari hingga 29 Mac lalu tetapi ditangguhkan sebanyak dua kali selepas Mahkamah Rayuan pada 11 Februari dan 21 Mac membenarkan penangguhkan prosiding sementara menunggu untuk mendengar rayuan-rayuan berkaitan.

Menurut sumber-sumber dari Jabatan Peguam Negara, pihak pendakwaan akan membentangkan kes dengan Thomas membacakan kenyataan pembukaan.

“Selepas itu saksi pertama akan dipanggil untuk memberi keterangan. Kami bersiap sedia dengan tiga orang saksi tetapi ia bergantung bagaimana perbicaraan berlangsung pada hari itu.

“Kami juga telah menyediakan kenyataan saksi-saksi dan selepas saksi membaca kenyataan, pihak pembelaan akan memulakan pemeriksaan balas ke atas mereka , ” kata sumber-sumber ketika ditanya mengenai prosiding semasa perbicaraan.

Sumber-sumber memberitahu bahawa ketiga-tiga saksi itu adalah pegawai kerajaan dan pengusaha bank yang telah disapina oleh pihak pendakwaan pada Jumaat lepas.

“Pihak pendakwaan telah menampilkan lebih 60 saksi untuk memberi keterangan dalam kandang saksi pada perbicaraan ini,” kata sumber itu.

Najib, 66, perdana menteri Malaysia yang keenam, adalah perdana menteri pertama diheret ke mahkamah.

Pada 4 Julai 2018, Najib, yang juga Anggota Parlimen Pekan, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Bagi pertuduhan pertama, Najib didakwa, sebagai seorang penjawat awam dan ejen, iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC International befrjumlah RM4 billon, telah melakukan pecah amanah jenayah sejumlah RM27 juta.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di Kuala Lumpur antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta di tempat dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM10 juta di tempat sama antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan keempat, Najib didakwa, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila dia mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Pertuduhan itu, mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 8 Ogos, bekas perdana menteri itu mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima wang yang sama RM42 juta yang merupakan hasil aktiviti haram ke dalam dua akaunnya empat tahun lalu, milik SRC International Sdn Bhd.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, Najib didakwa telah menerima, masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, yang merupakan hasil aktiviti haram, yang dipindahkan mengikut Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) ke dalam akaun miliknya di AmIslamic Bank Berhad menggunakan nombor akaun 2112022011880 dan 2112022011906.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan, di sini, antara 26 Disember 2014, dan 10 Februari 2015.

Pertuduhan-pertuduhan itu difailkan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang memperuntukkan penalti mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama.

Perbicaraan akan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Selain Thomas, pasukan pendakwaan juga terdiri daripada Datuk Sulaiman Abdullah dan Datuk V. Sithambaran yang dilantik sebagai timbalan pendakwa raya dan timbalan pendakwa raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, Manoj Kurup, Budiman Lutfi Mohamed dan Muhammad Izzat Fauzan.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan dan dibantu oleh Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Rahmat Hazlan dan Syahirah Hanapiah.

– BERNAMA

 

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Siasat segera isu RM9.5 juta

OLEH DATO’ DR MUJAHID YUSOF RAWA

Pendedahan Sarawak Reports bahawa Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak telah menyalurkan sejumlah RM9.5 juta ke akaun peguam kanan Tan Sri Shafee Abdullah sebelum kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dibicarakan amat mengejutkan semua pihak.

Saya melihat budaya ‘zipped-mouth’ telah menjadi budaya politik Najib dan UMNO, mana-mana kes yang melibatkan rasuah dan salah gunakuasa mereka, mereka akan senyap seribu bahasa.

Bayaran jutaan ringgit tersebut menimbulkan pelbagai persepsi negatif terhadap integriti pihak Pendakwaan dan kebebasan badan Kehakiman kerana Tan Sri Shafee adalah peguam yang dilantik Peguam Negara terdahulu bagi mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rayuan pertuduhan liwat 2.0 terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana beliau telah disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 5 tahun.

Isu yang sebegini serius harus disiasat pihak Polis kerana Tan Sri Shafee mempunyai percanggahan kepentingan dalam kes tersebut dan ia menimbulkan spekulasi negatif kerana dibimbangi boleh mencemar ketelusan dan keadilan keputusan rayuan tersebut.

Saya pada bersetuju dengan Faiz Fadzil bahawa Bar Council perlu mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Tan Sri Shafee berhubung dakwaan ini bagi membersihkan nama baik profesion ulung ini. Menjunjung prinsip bahawa keadilan perlu dilihat dilaksanakan, peluang untuk Tan Sri Shafee untuk memberikan penjelasan yang positif dan konkrit harus diberikan.

dr-mujahidBukti bertulis yang didedahkan Peguam Negara pada 27 Januari 2016 bahawa Perdana Menteri telah menerima wang daripada SRC International adalah kes prima facie wujudnya salahlaku jenayah pecah amanah oleh Perdana Menteri.

Sewajarnya pihak Polis, SPRM dan Peguam Negara mengambil langkah segera agar siasatan dapat dijalankan di bawah pelbagai undang-undang jenayah termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 terhadap semua individu atau organisasi yang telah dibayar oleh Perdana Menteri daripada wang SRC ini.

Jika siasatan tidak dibuat dengan segera, maka keyakinan rakyat terhadap badan-badan semak-imbang ini akan tersu terhakis, kredibiliti Malaysia juga akan terhakis. Bertindak segera atas laporan SR.

*Dr Mujahid adalah Ahli Parlimen Parit Buntar

Categories
NASIONAL

Najib digesa jawab RM27 juta masuk akaun peribadi

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta memberikan jawapan berkenaan isu pemindahan wang RM27 juta dari Putra Perdana Construction (Putra Perdana) ke akaun peribadinya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berkata perkara terbabit perlu dijawab Najib selaku Menteri Kewangan ekoran ia dibangkitkan sendiri Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali.

“Najib kata tiada keperluan menjawab kerana ia ditimbulkan media, tetapi ia tidak benar kerana perkara ini dinyatakan Peguam Negara sendiri.

tony-pua“Beliau sudah menunjukkan carta aliran wang kepada semua pihak bahawa RM27 juta dari SRC International disalurkan kepada Putra Perdana dan akhirnya masuk ke akuan peribadi Najib.

“Keengganan Najib menjawab perkara ini menimbulkan keraguan terhadap pembayaran itu,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata, persoalan itu berbangkit apabila pertanyaan diajukan kepada Menteri Kewangan semalam berkenaan pembayaran RM170 juta oleh SRC International kepada Putra Perdana termasuk kewajarannya.

Katanya, Najib mengatakan bahawa pembayaran itu dibuat untuk satu ‘turnkey project’ tetapi tidak menjelaskan nama projek berkenaan dan mungkin ini kali pertama sebuah syarikat kerajaan membuat pembayaran untuk projek dibatalkan serta pembayaran penuh dipulangkan kepadanya semula.

“Perkara ini sama ada boleh dipercayai atau tidak kerana soalan saya apakah projek dan pembayaran ini adalah yang pertama dengan maksud ia jauh lebih besar daripada RM170 juta yang mana kalau ia adalah bayaran 10 peratus maka projek itu bernilai RM1.7 bilion.

“Kenapa tidak pernah didengar pada 2014 terdapat sebarang projek ditawarkan anak syarikat kerajaan terutamanya SRC International kepada Putra Perdana bernilai beratus juta atau melebihi RM1 bilion?” soalnya.

Pua berkata, persoalan timbul berkenaan pembayaran Putra Perdana ke akaun peribadi Najib berjumlah RM27 juta yang dipercayai membawa maksud syarikat itu menerima bayaran keseluruhan RM197 juta tetapi dipulangkan semula kepada SRC International hanya RM170 juta.

-AA-