Categories
NASIONAL

Semua institusi pendidikan di Pasir Gudang ditutup esok hingga Khamis

JOHOR BAHRU, 24 JUN: Semua institusi pendidikan yang terletak di Pasir Gudang ditutup mulai esok hingga Khamis ini, demikian dimaklumkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, malam ini.

Pengarahnya, Azman Adnan berkata, ​​​​​​​penutupan itu melibatkan 111 buah sekolah rendah dan menengah kerajaan, tiga institusi pendidikan tinggi dan 14 buah sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 buah tadika swasta yang berdaftar dengan JPN Johor.

“Penutupan itu untuk membolehkan kerja-kerja berkaitan mengatasi isu bahan punca pencemaran dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Justeru, beliau meminta semua pengetua dan guru besar memaklumkan segera kepada semua murid, guru dan ibu bapa serta kakitangan dalam kawalan mereka dan mengambil tindakan susulan berkaitan penutupan itu.

Menurutnya, jabatan itu akan sentiasa membuat pemantauan rapi dan membantu sekolah-sekolah bagi memastikan kesejahteraan murid-murid berada dalam keadaan yang terbaik.

Beliau juga menyeru agar sama-sama berdoa agar insiden pencemaran itu akan dapat diatasi segera dan sekolah akan dapat beroperasi seperti biasa demi kebaikan para murid. – BERNAMA

FOTO EHSAN: FB MUHAMMAD SYAFIQ

Categories
NASIONAL

Zuraida: Pembersihan Sungai Kim Kim selesai sepenuhnya

SHAH ALAM, 24 JUN: Proses pembersihan sepenuhnya telah dilakukan di kawasan Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor yang sebelum ini tercemar akibat pembuangan sisa kimia.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya dimaklumkan berhubung perkara itu dan ia telah diselesaikan.

Katanya, berikutan maklumat terkini yang baharu diterima itu beliau ingin membetulkan beberapa fakta daripada kenyataan awal kepada media sebelumnya.

“Adalah dimaklumkan bahawa kawasan terbabit telah dibersihkan sepenuhnya dan sisa berbahaya yang terkumpul telah dibawa ke Pusat Pelupusan Kualiti Alam untuk dihapuskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan awal seperti dilaporkan Bernama, Zuraida berkata, kejadian pelajar sekolah di Pasir Gudang, Johor mengalami gejala sesak nafas Khamis lepas dipercayai berpunca daripada sisa bahan kimia dari Sungai Kim Kim yang tidak diurus dengan baik.

Categories
NASIONAL

Kes pencemaran di Pasir Gudang berbeza dengan Sungai Kim Kim

JOHOR BAHRU, 24 JUN: Kes pencemaran di Pasir Gudang kali ini, sehingga menyebabkan ramai yang sesak nafas dan muntah sejak Khamis lepas, disifatkan berbeza dengan pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim yang berlaku Mac lepas.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis berkata hal ini kerana bahan cemar yang disyaki itu, tersebar melalui pemeruapan akibat cuaca panas, keadaan topografi di Pasir Gudang dan arus angin monsun Barat Daya yang bertiup dari Selatan.

“Kes pencemaran kali ini memang sangat berbeza dengan Sungai Kim Kim, saya ingin maklumkan juga bahawa semua sisa-sisa dari sungai berkenaan sudahpun diproses melalui incinerator pada 8 April lepas.

“Jadi kita mahu kenal pasti dahulu. Kalau Sungai Kim Kim, kita dapat kenal pasti ‘ground zero’ pencemaran di mana dan bahan toksik dibuang di sungai dan mengalir, tetapi (pencemaran kali ini) masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat insiden berkenaan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan berita yang menyebut pencemaran terbaru ini berpunca daripada sisa bahan kimia yang tidak dilupuskan sepenuhnya ketika pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, tiga bulan lepas.

Ketika ditanya mengenai sama ada pihaknya telah mengenal pasti bahan kimia yang menyebabkan pencemaran itu, Isnaraissah berkata ia masih belum dikenal pasti.

“Bagaimanapun, radius pemantauan (daripada lokasi pertama insiden berlaku Sekolah Agama Taman Mawar) juga telah diperluaskan sehingga 15 kilometer,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes Pasir Gudang: Sembilan tabika perpaduan ditutup

JOHOR BAHRU, 24 JUN: Sembilan tabika perpaduan sekitar Pasir Gudang, dekat sini, antara yang diarah tutup berikutan pencemaran udara yang berlaku sejak lima hari lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik berkata, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Perpaduan) telah membuat pemantauan yang rapi mengenai kes sesak nafas dan muntah-muntah yang berlaku di beberapa sekolah di kawasan Pasir Gudang.

“Untuk memastikan keselamatan murid terutama di kawasan tercemar, saya mengarahkan Perpaduan Johor untuk menutup sementara tadika di kawasan terlibat.

“Ini selaras dengan arahan penutupan kelas oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi semua Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan, Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dan Tadika Kerajaan serta Swasta yang berada dalam radius kawasan pencemaran bermula 23 (Ahad) hingga 27 Jun 2019 (Khamis),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Anggota Parlimen Tanjung Piai itu, pihak jabatan akan terus membuat pemantauan rapi dan melihat perkembangan semasa mengenai perkara ini.

“Sekiranya terdapat keperluan, penutupan sementara pengoperasian kelas-kelas ini akan dilanjutkan dan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata Md Farid.

Tabika-tabika perpaduan (TP) yang terlibat ialah TP Taman Scientex A, TP Taman Scientex B, TP Zon Sentosa A, TP Zon Sentosa B, TP Taman Nusa Damai, TP Taman Tg Puteri Resort A, TP Taman Tanjung Puteri Resort B, TP Perjiranan 8A dan TP Perjiranan 8B. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bahan pencemaran tidak dibersih sepenuhnya punca kes Pasir Gudang berulang

PUTRAJAYA, 24 JUN: Kejadian pelajar sekolah di Pasir Gudang, Johor mengalami gejala sesak nafas Khamis lepas dipercayai berpunca daripada sisa bahan kimia dari Sungai Kim Kim yang tidak diurus dengan baik, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bahan kimia daripada sisa toksik yang diserahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kepada kontraktor pembersihan itu masih terbiar dan tidak dihapuskan sepenuhnya.

“Kita dapati bahan pencemaran yang dikenal pasti semasa kes Sungai Kim Kim (awal Mac lepas) yang telah diberikan kepada kontraktor untuk dibersihkan masih belum dihapuskan seratus peratus, masih terbiar di Pasir Gudang.

“Oleh kerana belum dihapuskan sepenuhnya, bahan yang terbiar di satu lokasi di Pasir Gudang itu telah dibawa oleh angin dan hujan, sekaligus menjadikan ia kembali merebak,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Jalinan Mesra Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama warga JBPM sempena Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.

Menurut laporan, kerajaan negeri Johor mengarahkan 17 buah sekolah, 69 tadika serta sebuah institusi pengajian tinggi yang melibatkan 20,108 pelajar ditutup selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis sebagai langkah berjaga-jaga.

Zuraida berkata pihaknya telah memaklumkan mengenai hal itu kepada Jabatan Alam Sekitar dalam usaha memastikan kerja-kerja membersih dan menghapuskan bahan tersebut dijalankan secepat mungkin.

Kerajaan negeri Johor juga telah dimaklumkan mengenai pelupusan bahan kimia itu untuk memastikan sisa pencemaran dilupuskan dengan sempurna, katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata siasatan pihaknya mendapati kualiti udara di kawasan tersebut masih berada pada tahap rendah meskipun berada jauh dari Sungai Kim Kim.

Beliau berkata bomba akan terus bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri untuk menangani situasi itu selain memaklumkan perkembangan terkini kes tersebut kepada khalayak umum. – BERNAMA