Categories
AGENDA NASIONAL

Pembenihan awan di Semenanjung Malaysia bermula esok

GEORGE TOWN, 15 SEPT: Proses pembenihan awan bagi mengurangkan keadaan jerebu telah dijadualkan esok di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Timbalan Menterinya, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, proses itu lebih menumpukan perhatian kepada Selangor dan Johor yang masih mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi.

“Untuk pembenihan awan di Selangor esok, pesawat akan berlepas dari Lapangan Terbang Subang dengan kerjasama TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) dan Jabatan Meteorologi Malaysia. Operasi ini akan dimulakan dengan taklimat pada jam 8.30 pagi dan pembenihan awan akan dimulakan pada jam 11 pagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow untuk merasmikan Program Larian Warisan 110 anjuran Jabatan Kimia Malaysia di Padang Kota Lama di sini, hari ini.

Acara sempena menyambut 110 tahun penubuhan jabatan itu turut disertai Ketua Pengarah Kimia Malaysia, Mohamed Zaini Abdul Rahman melibatkan 1,115 orang peserta dari seluruh negara.

Isnaraissah berkata, pembenihan awan yang dijalankan di Sarawak Khamis lalu telah berjaya menurunkan bacaan IPU di negeri itu selepas menjadi negeri yang paling terjejas akibat jerebu daripada kebakaran terbuka yang berlaku di Kalimantan.

“Pembenihan awan hanya akan dapat dilakukan sekiranya keadaan atmosfera dan awan yang sesuai. Mudah-mudahan esok keadaan lebih membantu supaya proses pembenihan awan lebih efektif untuk dijalankan,” katanya.

Menurutnya, selain punca pembakaran terbuka di Kalimantan, data ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) juga menunjukkan keadaan jerebu di Semenanjung Malaysia adalah ekoran pembakaran terbuka di Sumatera.

Katanya, Malaysia menerusi Menteri MESTECC, Yeo Bee Yin sudah menawarkan bantuan kepada Indonesia untuk memadam kebakaran di negara itu tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas.

“Paling penting kita perlu fokus kepada sumber yang betul-betul menyebabkan jerebu. Kalau buat (pembenihan awan) di tempat kita (Malaysia), ianya hanya boleh mengurangkan jerebu untuk sekejap sahaja, nanti asap datang lagi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes pencemaran di Pasir Gudang berbeza dengan Sungai Kim Kim

JOHOR BAHRU, 24 JUN: Kes pencemaran di Pasir Gudang kali ini, sehingga menyebabkan ramai yang sesak nafas dan muntah sejak Khamis lepas, disifatkan berbeza dengan pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim yang berlaku Mac lepas.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis berkata hal ini kerana bahan cemar yang disyaki itu, tersebar melalui pemeruapan akibat cuaca panas, keadaan topografi di Pasir Gudang dan arus angin monsun Barat Daya yang bertiup dari Selatan.

“Kes pencemaran kali ini memang sangat berbeza dengan Sungai Kim Kim, saya ingin maklumkan juga bahawa semua sisa-sisa dari sungai berkenaan sudahpun diproses melalui incinerator pada 8 April lepas.

“Jadi kita mahu kenal pasti dahulu. Kalau Sungai Kim Kim, kita dapat kenal pasti ‘ground zero’ pencemaran di mana dan bahan toksik dibuang di sungai dan mengalir, tetapi (pencemaran kali ini) masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat insiden berkenaan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan berita yang menyebut pencemaran terbaru ini berpunca daripada sisa bahan kimia yang tidak dilupuskan sepenuhnya ketika pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, tiga bulan lepas.

Ketika ditanya mengenai sama ada pihaknya telah mengenal pasti bahan kimia yang menyebabkan pencemaran itu, Isnaraissah berkata ia masih belum dikenal pasti.

“Bagaimanapun, radius pemantauan (daripada lokasi pertama insiden berlaku Sekolah Agama Taman Mawar) juga telah diperluaskan sehingga 15 kilometer,” katanya. – BERNAMA