Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Sungai Gong: Reman empat pengurus kilang disambung lima hari lagi

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Tempoh tahanan reman terhadap empat pengurus kilang yang merupakan adik-beradik berhubung siasatan kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang disambung lima hari lagi.

Perintah lanjutan tahanan reman yang bermula esok itu dikeluarkan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan di Mahkamah Majistret Selayang ke atas kesemua suspek lelaki berumur dalam lingkungan 50 hingga 60 tahun sehingga 15 September ini.

Terdahulu, kesemua mereka dibawa ke Kompleks Mahkamah Selayang pada 9.15 pagi. Mereka sebelum ini ditahan reman selama enam hari sejak Sabtu lepas.

Di mahkamah sama, seorang lagi pekerja lelaki sebuah kilang berusia 30-an direman enam hari berhubung siasatan kes yang sama bermula hari ini selepas ditangkap di Gombak, semalam.

Kesemua mereka ditahan reman bagi siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada Isnin lepas, dua pekerja lelaki sebuah kilang direman enam hari mulai 7 September berhubung kejadian sama.

Ekoran pencemaran minyak dari kilang itu pada Khamis lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Sultan titah penjara mandatori buat pesalah cemar bekalan air

SHAH ALAM, 8 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mahu hukuman penjara mandatori dikenakan kepada pesalah yang mencemar sumber air negeri ini.

Baginda melalui utusan surat kepada Dato’ Menteri Besar turut menitahkan individu terbabit dikenakan denda maksimum selain pihak berkuasa diminta meroboh rumah dan kilang haram beroperasi di tebing sungai yang berpotensi mencemarkan sungai.

“Sultan Selangor telah lama menitahkan Kerajaan Negeri menubuhkan jawatankuasa khas memantau dan memastikan air sungai tidak tercemar dengan bahan kimia atau sampah sarap yang boleh menjejaskan bekalan air mentah kepada loji rawatan air.

“Baginda khuatir rakyat akan memberontak dan menyebabkan ketegangan hingga menjejaskan keharmonian sekiranya masalah air ini berterusan,” kata Selangor Royal Office melalui Facebook hari ini.

Menurut kenyataan, baginda Sultan turut berdukacita melihat kesan ditanggung rakyat susulan insiden pencemaran sungai.

“Baginda tidak berkenaan adanya unsur campur tangan politik dalam penguatkuasaan berkaitan alam sekitar dan pencemaran air sungai,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Seri Amirudin Shari menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan, dekat sini berhubung masalah bekalan air bersih yang berlaku sekali lagi.

Khamis lalu, seramai 1.2 juta pemegang akaun di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Gangguan itu melibatkan Kuala Lumpur, Petaling, Klang-Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.