Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia pantau situasi tegang di Asia Barat

PUTRAJAYA, 9 JAN: Malaysia kini memantau rapat perkembangan di Asia Barat secara 24 jam sebelum membuat keputusan memindahkan rakyat Malaysia di Iran dan Iraq, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Ketegangan di Asia Barat kian meruncing susulan kematian Qassem Soleimani, komander tertinggi tentera elit Iran, yang terbunuh dalam serangan dron oleh Amerika Syarikat (AS) berhampiran lapangan terbang Baghdad pada awal pagi Jumaat lalu.

“Pemindahan itu belum lagi…kita dah mula mesyuarat antara agensi dan yang berkaitan dan pantau 24 jam apa yang berlaku di sana.

“Malawakil (Pejabat Perwakilan Malaysia) kita di Tehran juga sentiasa berhubung dengan kita, begitu juga Malawakil kita yang berdekatan contohnya di Jordan, sentiasa memberi laporan kepada kita,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan ketegangan AS dan Iran.

Saifuddin berkata demikian dalam sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama antara Wisma Putra dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang akademik, kebudayaan dan penyelidikan, di sini, hari ini.

“Pemindahan nampak mudah…tapi pastinya tidak seperti pergi untuk lawatan dan lebih-lebih lagi kita tidak boleh umum rancangan kita demi keselamatan rakyat kita namun kita melakukan semua persediaan yang diperlukan,” katanya.

Saifuddin berkata Wisma Putra telah mengeluarkan nasihat perjalanan dan berharap rakyat Malaysia di Iran dan Iraq serta yang ingin membuat perjalanan ke sana perlu mengambil langkah keselamatan.

Terdapat 163 rakyat Malaysia di Iraq yang kebanyakannya adalah kakitangan Petronas dan beberapa orang pensyarah, manakala 73 orang di Iran pula berdaftar dengan Malawakil di Tehran.

Berikutan ketegangan itu, kerajaan Filipina semalam mengarahkan pemindahan mandatori pekerja Filipina dari Iraq dan Iran dan menghantar sebuah kapal pengawal pantai ke Asia Barat bagi membawa rakyatnya sekiranya keadaan bertambah buruk.

Dilaporkan ketegangan antara AS dan Iran reda selepas Presiden Donald Trump memberikan kenyataan berkaitan serangan Iran terhadap pangkalan tentera AS di Iraq, Selasa lalu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan siap sedia pindahkan rakyat Malaysia di Iran, Iraq

PUCHONG, 8 JAN: Kerajaan bersiap sedia memindahkan 220 rakyat Malaysia yang berada di Iran dan Iraq susulan ketegangan yang tercetus di Asia Barat.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin bersama pelbagai agensi bagi membincang dan menilai perkara berkaitan konflik di negara tersebut, hari ini.

Beliau berkata antara agensi terlibat ialah Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Jabatan Perdana Menteri dan Polis Diraja Malaysia.

“Kami membuat persiapan sekiranya perlu diadakan pemindahan…pada masa ini, kita ada 58 rakyat Malaysia yang berada di Iran yang separuh daripada mereka adalah pelajar.

“Seramai 162 orang lagi di Iraq, majoritinya adalah kakitangan Petronas dan beberapa orang pensyarah,” katanya kepada pemberita selepas menyertai lawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke SMK Pusat Bandar Puchong 1, Pusat Bandar Puchong di sini, hari ini.

Saifuddin berkata mesyuarat seumpama itu akan kerap diadakan bertujuan mengemas kini sebarang perkembangan dari semasa ke semasa sebelum dihebahkan kepada rakyat negara ini.

Beliau berkata kementeriannya juga telah mengarahkan kedutaan yang berhampiran dengan negara konflik berkenaan untuk bersiap sedia sekiranya perlu mengadakan proses pemindahan.

“Sesiapa yang berada di sana harus sentiasa berhubung dengan kedutaan,” katanya sambil menasihatkan rakyat di negara ini menangguhkan rancangan sekiranya mahu melawat negara terbabit.

Ketegangan di Asia Barat kian meruncing susulan kematian Qassem Soleimani, komander tertinggi tentera elit Iran, yang terbunuh dalam serangan dron oleh Amerika Syarikat berhampiran lapangan terbang Baghdad pada awal pagi Jumaat.

– BERNAMA