Categories
AGENSI SELANGOR

Selgate lapor kes Covid-19 setiap hari, setuju kompaun pihak ingkar

SHAH ALAM, 2 FEB: Lewat melaporkan keputusan saringan Covid-19 menyukarkan pihak berwajib mengesan jumlah sebenar jangkitan wabak dalam negara.

Justeru, ketua pegawai eksekutif Selgate Corporation (Selgate) setuju klinik dan hospital swasta yang lewat melaporkan keputusan saringan Covid-19 dikenakan kompaun.

“Kami (Selgate) memang melaporkan kes harian setiap hari menggunakan Sistem Makmal Kesihatan Awam (Simka).

“Menjadi tanggungjawab pengamal perubatan seperti kami buat laporan ini dan saya akan pastikan di peringkat Selgate laporan dihantar setiap hari,” kata Noor Hisham Mohd Ghouth ketika dihubungi.

Pada 30 Januari, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor akan mengenakan kompaun kepada klinik atau hospital swasta yang tidak melaporkan kes positif secara terus pada hari sama.

Keputusan bersama dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri bagi Kawalan Covid-19 Selangor kelmarin.

KKM berkata peningkatan mendadak kes pandemik melebihi 5,000 beberapa hari lalu disebabkan kelewatan kes dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) termasuk jangkitan tahun lalu.

Jangkitan Covid-19 kekal melebihi 5,000 kes tiga hari berturut-turut iaitu 5,298 kes pada Ahad, Sabtu (5,728) dan Jumaat (5,725).

Categories
SELANGOR

Tesco Extra Seksyen 13 tutup, beri laluan IJN-SELGATE dibina

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 FEB: Pasaraya Tesco Extra di Seksyen 13 bersebelahan pusat membeli belah Aeon akan mengakhiri operasi mereka bagi memberi laluan kepada pembangunan Bandar Perubatan SELGATE di tapak itu.

Ketua Pegawai Eksekutif SELGATE, Noor Hisyam Mohd Ghouth berkata, Tesco sudah memaklumkan pengosongan bangunan akan dibuat sehingga hujung bulan ini.

“Pelan pembangunan pusat perubatan pakar dalam perawatan jantung dan penjagaan kesihatan itu akan mula dihantar pada suku tahun ketiga 2018,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pusat perubatan pakar Hospital Pakar IJN-SELGATE itu bakal dibina dalam kerangka pembangunan Bandar Perubatan SELGATE di atas tanah seluas 4.6 hektar dengan kos pembangunan sekitar RM250 juta dan dijangka mula beroperasi menjelang 2020.

Inisiatif kerjasama antara IJN Holdings dengan SELGATE Corporation Sdn Bhd itu turut menawarkan perkhidmatan pada kos berpatutan dengan mensasarkan masyarakat berpendapatan sederhana dan rendah.

Penutupan operasi Tesco Extra cawangan itu dimaklumkan menerusi gegantung yang dipasang di kawasan sekitar selain netizen berkongsi foto berkenaan di laman sosial.

“Terima kasih. Kami akan berpindah kelak, 28 Februari 2018,” katanya.

Pengguna masih boleh terus membeli belah cawangan Tesco Shah Alam, Seksyen 13 berhampiran Bulatan Kayangan selain menerusi atas talian di tesco.com.my.