Categories
AGENDA NASIONAL

Harga siling baharu kit ujian kendiri Covid-19 ditetap pada November

PUTRAJAYA, 8 OKT: Kerajaan akan menetapkan satu paras harga siling borong dan runcit baharu bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri) bulan depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang membuat penilaian di peringkat industri sebelum menentukan harga siling borong dan runcit baharu bagi kit berkenaan.

“Kerajaan telah menerima maklum balas daripada industri berhubung paras harga yang wajar dipertimbangkan supaya dapat menjamin bekalan yang mencukupi dan berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan sebelum ini menetapkan harga runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri) pada RM19.90 bagi setiap set manakala harga borong ditetapkan RM16 satu set, berkuat kuasa 5 Sept.

Semalam Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata harga siling kit ujian pantas antigen Covid-19 akan diturunkan tidak lama lagi, sebagai galakan untuk orang ramai membuat pemeriksaan sendiri setelah kebenaran rentas negeri dibenarkan.

Nanta berkata terdapat kira-kira enam juta kit ujian pantas antigen Covid-19 berada di pasaran.

Menurut beliau KPDNHEP juga sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membolehkan lebih banyak premis menjual kit berkenaan di pasar raya, yang dijangka dapat dilaksanakan menjelang akhir bulan ini.

“KPDNHEP akan memantau harga dan persaingan kesan daripada peluasan penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 selain daripada farmasi dan klinik,” katanya.

Beliau berkata mengambil kira semangat Keluarga Malaysia dan kepentingan kit ujian itu kepada masyarakat, KPDNHEP amat menggalakkan supaya peniaga menawarkan harga yang lebih rendah dan munasabah tanpa kerajaan menentukan paras harga yang baharu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kit ujian kendiri Covid-19 dijual lebih murah sebelum sekolah mula

KUALA BERANG, 25 SEPT: Harga kit ujian kendiri Covid-19 akan diturunkan lebih murah menjelang akhir bulan ini untuk memudahkan ibu bapa membuat ujian saringan, sebelum anak mereka memulakan sesi persekolahan pada 3 Okt depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata pengumuman harga terbaharu itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Penjualannya juga tidak hanya terhad di farmasi dan klinik seperti sekarang, sebaliknya akan diperluaskan ke premis perniagaan yang lain seperti pasar raya besar dan pasar mini.

“Ini akan memudahkan rakyat kerana bukan sahaja harganya lebih murah, tapi ia juga mudah untuk didapati. Walaupun penurunan harga itu belum dimuktamadkan lagi, namun jumlahnya nanti mampu dimiliki dan tidak membebankan rakyat berbanding harga sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses vaksinasi 327 Orang Asli di Kampung Sungai Berua yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Kasemani Embong di sini hari ini.

Bermula 5 Sept, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri Covid-19 pada harga RM19.90 manakala harga borong pula RM16.

Mengulas lanjut, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan wakil beberapa persatuan pengusaha farmasi dan mereka bersetuju untuk menurunkan harga kit ujian tersebut seperti yang dihasratkan kerajaan.

“Harga sekarang walaupun sudah murah, namun agak membebankan ibu bapa terutama yang anak mereka masih ramai bersekolah.

“Jika ada lima anak, harga kit ujian kendiri yang perlu dibeli sudah mencecah RM100..harga baharu ini nanti tidak akan membebankan lagi dan yang penting buat ujian untuk pastikan anak sihat sebelum kembali ke sekolah,” katanya.

– BERNAMA