Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Tetapkan harga siling saringan, elak swasta caj mahal

RAWANG, 22 MEI: Kerajaan perlu menetapkan harga siling ujian Covid-19 di klinik swasta seluruh negara bagi membantu golongan kurang mampu mendapat perkhidmatan itu.

Ahli Dewan Negeri Rawang berkata kos saringan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dan ujian pantas polimerase masa nyata (RT-PCR) yang dikenakan ketika ini membebankan rakyat.

Chua Wei Kiat menjelaskan saringan bagi mengesan virus satu keperluan susulan kadar jangkitan wabak dalam negara semakin meruncing sejak kebelakangan ini.

“Harga RTK-Ag yang ditawarkan swasta buat masa ini lebih RM100 sedangkan kos sebenar jauh lebih rendah, justeru kerajaan tidak patut cipta keuntungan melalui cara berkenaan.

“Kerajaan sepatutnya buat harga kawalan misalnya sekitar RM60 hingga RM70 supaya lebih ramai mampu bayar dan ambil inisiatif sendiri untuk membuat saringan,” katanya¬† selepas meninjau program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Batu 17 di sini, kelmarin.

Sementara itu, Wei Kiat berkata program saringan besar-besaran secara percuma sejak awal bulan ini mendapat maklum balas positif.

“Rata-rata masyarakat memaklumkan antara faktor utama mereka datang berikutan harga saringan di klinik swasta amat tinggi dan tidak mampu bayar.

“Mereka beri contoh jika kos yang dikenakan sebanyak RM150 seorang, maka hampir RM1,000 harus dibelanjakan sekiranya memiliki enam ahli keluarga,” katanya lagi.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh negeri mulai 8 Mei hingga 10 Jun.