Categories
AGENDA NASIONAL

Harga kit ujian kendiri mungkin turun lagi akhir tahun

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Kerajaan sedang mengkaji untuk menurunkan lagi harga kit ujian kendiri Covid-19 menjelang akhir tahun ini bagi membolehkan ia mudah diakses oleh semua orang.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti perkara itu.

“Bagi memperluas usaha pengujian, Kementerian Kesihatan telah mengiktiraf RTK Antigen dan meluluskan beberapa kit ujian kendiri Covid-19 yang boleh dibeli di farmasi di seluruh negara.

“Selain itu, untuk menjadikan kit ujian kendiri boleh diakses semua orang, KPDNHEP dan KKM telah menetapkan harga siling kit ujian ini bawah RM20,” katanya dalam ucapan khas semasa Sidang Kemuncak Pelan Pemulihan Negara yang diadakan secara maya hari ini.

Kerajaan telah menetapkan harga siling runcit bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 dijual pada harga RM19.90 setiap set manakala RM16 setiap set untuk harga borong, berkuat kuasa 5 September.

Tengku Zafrul berkata beberapa langkah baharu juga sedang dalam perancangan untuk dilaksanakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk menubuhkan pusat panggilan khusus untuk menawarkan bantuan segera dalam menangani hal berkaitan Covid-19, selain mengambil kira suntikan penggalak atau program vaksinasi berbilang tahun dalam protokol penjagaan kesihatan awam.

Selain itu, katanya bagi mengesan kehadiran dan penyebaran varian baharu dengan lebih baik, Penjujukan Genom Keseluruhan dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan, manakala teknologi dan data mudah alih dirancang untuk diperluaskan bagi meningkatkan pengesanan kontak.

“Kontak rapat yang berpotensi akan segera dikenal pasti dan dimaklumkan mengenai keperluan mengkuarantin diri mereka sendiri. Kes asimptomatik dan kes yang mempunyai gejala kecil kini tertakluk kepada Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO),” katanya.

Menyedari beberapa kemajuan besar telah dilihat setakat ini di bawah PPN, beliau bagaimanapun mengakui masih banyak yang perlu dilakukan terutama mengukuhkan kapasiti sistem penjagaan kesihatan dan meningkatkan pemulihan orang dan industri.

“Kita belum tahu sepenuhnya bagaimana ekonomi dan cara hidup kita akan berubah, tetapi apa yang boleh kita lakukan adalah untuk memberi tumpuan kepada minda dan tenaga kita untuk muncul daripada krisis ini sebagai sebuah negara dan Keluarga Malaysia yang lebih berdaya tahan,” katanya.

Tengku Zafrul juga melahirkan harapan bahawa PPN dan Belanjawan 2022 akan berfungsi sebagai templat bukan sahaja bagaimana untuk keluar daripada pandemik itu tetapi juga bagaimana untuk mengatasi cabaran lebih mendesak pada masa hadapan.

“Kami akan memanfaatkan data untuk membantu kami menjadi lebih tangkas dan responsif, menekankan semangat keterangkuman, untuk menuju ketahanan yang lebih baik dan kesejahteraan bersama.

“Untuk itu, saya menyeru semua pihak, kerajaan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil, untuk menamakan beberapa, untuk bersatu sebagai satu Keluarga Malaysia. Mari kita bersama-sama dan menang bersama,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Peniaga diberi seminggu patuhi harga maksimum kit ujian kendiri

KUCHING, 5 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memberi masa seminggu bermula hari ini kepada para peniaga untuk mematuhi harga maksimum RM19.90 untuk kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri).

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pasukan penguat kuasa akan melakukan pemantauan namun tidak akan mengeluarkan denda tetapi sebaliknya akan memberi peringatan kepada peniaga supaya mengikut arahan penjualan harga maksimum itu yang berkuat kuasa hari ini.

“KPDNHEP akan beri tempoh seminggu untuk peniaga membuat penyesuaian harga kit ujian tersebut.

“Ini bermakna kita juga prihatin terhadap peniaga tetapi penjualan itu harus mematuhi harga maksimum ditetapkan yang bermula hari ini,” katanya selepas membuat pemeriksaan harga kit tersebut di sebuah farmasi di sini, hari ini.

Selain itu, Nanta berkata KPDNHEP juga akan membuat pemeriksaan terhadap pemborong untuk memastikan harga maksimum RM16 dipatuhi kerana ia turut diwartakan.

Kegagalan peniaga dan pemborong untuk mematuhi harga maksimum itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

Bagi individu, boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala untuk syarikat, boleh didenda maksimum RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Sementara itu, berhubung harga maksimum ujian Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen dan Ujian Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) yang dilakukan di klinik, Nanta berkata KPDNHEP sedang menunggu nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia serta akan melakukan perbincangan dengan wakil industri untuk pelaksanaan itu.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Negeri rancang jual kit ujian Covid-19 lebih murah berbanding pasaran

PETALING JAYA, 3 SEPT: Kerajaan Negeri berhasrat membantu rakyat memperoleh kit ujian kendiri Covid-19 dengan harga lebih murah berbanding pasaran.

EXCO Kesihatan Awam berkata menerusi kerjasama dengan Selcare, alat berkenaan akan diedarkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) dan orang ramai boleh membelinya di situ.

“Kalau ada permintaan dari rakyat, rakyat boleh membelinya dari PKM dengan cara Selcare akan membelinya dan menjualnya kepada kami dengan harga kos.

“Jadi kita akan dapat lebih murah dari farmasi. Bukan nak lawan farmasi tetapi untuk memberi peluang kepada rakyat kita,” kata Dr Siti Mariah Mahmud hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan kit ujian menggunakan sampel air liur kepada lima wakil rakyat di PKM DUN Bandar Utama di sini.

Siti Mariah juga mengalu-alukan langkah penetapan harga siling kit ujian kendiri yang diumum oleh kerajaan semalam.

“Memang patut kerana sebelum ini RTK (kit ujian pantas antigen), PCR (ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata) tiada kawalan harga.

“Situasi itu menyebabkan ada kalangan ADN (Ahli Dewan Negeri) yang membeli dan memberi subsidi untuk rakyat,” katanya.

Semalam, kerajaan menetapkan harga runcit maksimum bagi kit ujian kendiri Covid-19 pada kadar RM19.90 manakala RM16 pada harga borong, berkuat kuasa pada 5 September.

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan ujian kit kendiri Covid-19 perlu dilapor dalam MySejahtera

PUTRAJAYA, 23 JULAI: Sebarang hasil keputusan menerusi penggunaan ujian kit kendiri Covid-19 sama ada positif, negatif atau tidak sah (invalid) perlu dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) melalui aplikasi MySejahtera.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pengguna perlu bertanggungjawab untuk melaporkan keputusan sebenar dan tidak melakukan pemalsuan bagi mencegah implikasi jangkitan kepada orang lain.

Katanya, jika keputusan ujian kit kendiri positif, pengguna perlu hadir ke fasiliti kesihatan swasta, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) atau mana-mana Klinik Kesihatan (KK) untuk tujuan penilaian kesihatan, sebelum status kesihatan mereka dimuat naik dalam aplikasi MySejahtera.

“Sekiranya keputusan negatif tetapi individu berkenaan bergejala, mereka turut dinasihatkan hadir ke klinik swasta atau KK untuk penilaian sama, manakala untuk keputusan invalid, pengguna perlu ulang semula ujian,” katanya dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) secara maya bersama Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin hari ini.

Setakat Khamis lepas, KKM menerusi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah memberi kelulusan bersyarat kepada tiga jenis kit ujian kendiri Covid-19 untuk dijual dan diguna di negara ini.

Kit-kit tersebut adalah Kit Ujian Pantas Antigen Salixium Covid-19 buatan syarikat tempatan; Reszon Diagnostics International Sdn Bhd; Gmate® Covid-19 buatan Korea Selatan dan Beright Covid-19 Antigen Rapid Test Device (Oral Fluid) yang dibuat Hangzhou Alltest Biotech Co., Ltd.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham memberitahu penularan varian membimbangkan (VOC) Covid-19 di Malaysia kini mengalami trend peningkatan, terutama bagi varian Beta dan Delta.

Katanya setakat semalam, sebanyak 378 jangkitan dikesan bagi varian Beta dan Delta manakala bagi varian Alpha sebanyak 14 jangkitan dilaporkan.

“Jangkitan itu yang dikesan menerusi penjujukan genom penuh SARS-Cov-2 dilihat membimbangkan kerana VOC Delta terutamanya mempunyai kadar kebolehjangkitan dan kemudaratan tinggi berbanding VOC Beta dan Alpha.

“Bukti saintifik yang terbaharu juga menunjukkan individu yang dijangkiti varian Delta mempunyai bilangan virus dalam badan yang mampu mencecah 1,000 kali lebih tinggi daripada yang bukan Delta,” katanya.

– BERNAMA