Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kadar positif kes PUI Sivagangga 1.46 peratus

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Kadar positif terkini bagi kes Covid-19 melibatkan kluster PUI (pesakit dalam siasatan) Sivagangga di Kedah adalah 1.46 peratus, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata bagi kadar positif wabak itu di Kuching sehingga semalam sebanyak 2.64 peratus melibatkan sembilan kluster aktif.

“Bagi Kluster PUI Sivagangga sehingga semalam, 1,647 individu telah disaring dan daripada jumlah ini 24 kes dikesan positif Covid-19.

“Di Kuching, seramai 2,541 individu disaring dan 67 kes adalah positif,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai status kes Covid-19 di Kedah dan Kuching serta langkah kementerian untuk mencegah gelombang seterusnya termasuk jumlah saringan yang dibuat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KKM terus aktif jejak kluster Sivagangga

SHAH ALAM, 5 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) terus aktif mengesan kluster pesakit di bawah siasatan (PUI) Sivagangga yang mencatatkan tiga lagi kes Covid-19 hari ini.

Ketua pengarah kesihatan berkata kesemua kes yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah dikenal pasti melalui saringan kontak rapat membabitkan generasi kedua.

“Dua daripada kes berkenaan (kes ke-9,021 dan kes ke-9,022) adalah anak kepada kes ke-9,000. Seorang daripadanya mengalami gejala saluran pernafasan pada 30 Julai lalu, namun tidak mendapat rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Katanya, kes ketiga pula membabitkan kontak rapat kes ke-8,976 yang mengalami gejala demam dan saluran pernafasan pada 2 Ogos lalu serta mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Taman Selasih, Kulim.

Dr Noor Hisham memaklumkan seramai 1,647 individu disaring setakat ini dengan 24 daripadanya positif, 754 negatif manakala 869 masih menunggu keputusan.

“Pecahan kes positif bagi kluster ini adalah 19 warganegara dan lima warga asing,” katanya lagi.

Kluster Sivagangga menular akibat jangkitan import selepas seorang pemilik kedai nasi kandar di Napoh yang juga pemastautin tetap pulang ke Malaysia dari India pada 13 Julai lalu.

Dia dilaporkan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) KKM dengan tidak menjalani kuarantin di rumah sebaliknya ke premis berkenaan dan menyebar jangkitan.

Susulan itu, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan secara pentadbiran di empat mukim di Kedah bermula 3 hingga 30 Ogos ini.