Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Bantu belia pengajian luar Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 OGOS: Program pembangunan belia negeri turut tertumpu kepada anak-anak Selangor yang melanjutkan pengajian di luar Selangor, kata Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.

Beliau berkata, aspek kebajikan pelajar Selangor di luar negeri turut diberi perhatian menerusi pelbagai dasar kebajikan dan tawaran biasiswa pendidikan diperkenalkan Kerajaan Negeri.

“Di bawah portfolio pendidikan, sudah ada dasar kebajikan memberi perhatian kepada belia Selangor berada di luar negeri.

“Contohnya Kerajaan Negeri menawarkan biasiswa Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan tawaran bantuan lain yang diumumkan di peringkat negeri sebelum ini,” katanya.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri juga komited membantu mahasiswa Selangor yang melanjutkan pelajaran di luar negara.

Beliau berkata, ia dibuktikan menerusi delegasi Kerajaan Negeri ke luar negara menyampaikan bantuan pendidikan kepada mahasiswa Selangor di Institut Pengajian Tinggi (IPT) luar negara.

“Bukan sekadar itu, kita juga turut membantu anak-anak Selangor yang melanjutkan pengajian di IPT awam yang berada di dalam Selangor,” katanya.

Terdahulu, Amirudin bercakap pada Townhall Session sempena penganjuran Kongres Mahasiswa Selangor 2017 di Dewan Raja Muda Seksyen 7, semalam.

Dalam perkembangan itu, mahasiswa turut diberi pendedahan berhubung gerak kerja dan pelaksanaan dasar yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dalam membantu golongan itu.

Ia turut dihadiri wakil mahasiswa Selangor dari seluruh negara melibatkan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

=EZY=