Categories
NASIONAL

Anwar mengalah demi Pakatan, kenapa tidak yang lain?

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 NOV: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering mengalah demi mempertahankan keutuhan perjuangan pakatan pembangkang bagi mengembalikan hak rakyat menerusi kemenangan dalam pilihan raya.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, berkata walaupun Anwar beralah dalam beberapa perkara, namun tidak semestinya beliau bersetuju dengan semua pandangan pihak terlibat.

“Kita banyak mengalah. Datuk Seri Anwar dahulu juga antara pimpinan utama yang sering diasak dari pelbagai sudut termasuk dalaman, tetapi beliau memahami musuh utama adalah Barisan Nasional (BN).

Nurul-Izzah“Walaupun kadangkala ada perbezaan, harus kita ingat dalam peperangan tiga penjuru hanya UMNO akan menang dan ini tidak bermaksud kita perlu bersetuju dengan pandangan semua parti lain termasuk pembangkang juga,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian pada Kongres Nasional Tahunan kali ke-11 KEADILAN di IDCC di sini, hari ini.

Nurul Izzah juga berharap politik moralisma dapat diterapkan ke segenap lapisan pemimpin parti pembangkang dan masyarakat akar umbi di negara ini.

Beliau berkata, KEADILAN membuka ruang kepada semua pihak mengemukakan pandangan masing-masing berbanding UMNO yang menyekat sebarang idea tidak menguntungkan pucuk pimpinan.

“Kita lihat Timbalan Presiden UMNO sendiri disekat untuk berucap.

“Kalau inilah demokrasi dibawa UMNO, bagaimana mereka mahu berikan demokrasi untuk rakyat biasa,” katanya.

-AA-

Categories
NASIONAL

Pewakilan: ‘Dah Izzah cantik, memanglah orang nak bergambar’

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 NOV: Isu Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bergambar denga anak perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III, Jacel H Kiram di Filipina baru-baru ini tidaklah menghairankan, kata Pengerusi Biro Srikandi, Siti Aishah Shaik Ismail.

Katanya, ini kerana Izzah memiliki keperibadian dan rupa paras cantik dan mampu menarik minat orang sekeliling merakamkan gambar kenangan bersama anak sulung Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu.

Siti-Aishah-Shaik-Ismail“Dah memang Nurul Izzah cantik memanglah orang berminat nak bergambar dengan dia. Lainlah kalau Najib tetapi Datuk Azlina tak boleh faham mengenai perkara ini,” kata Siti Aishah semasa sesi perbahasan pada Kongres Nasional Tahunan kali ke-11 KEADILAN di IDCC di sini, hari ini.

Kata-kata Siti Aishah yang mencuit hati itu menyebabkan suasana dalam dewan yang masih dipenuhi perwakilan gamat dengan gelak ketawa.

Siti Aishah turut melahirkan kehairanan dengan sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said yang gagal memahami situasi yang berlaku.

Sebelum itu, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua memberitahu kejadian bergambar dengan Jacel yang berlaku dalam lawatan ke Filipina itu terjadi selepas beliau dan Izzah tidak menyedari siapakah individu yang dijemput dalam pertemuan melibatkan beberapa individu dan organisasi di negara terbabit.

Nurul Izzah turut memfailkan saman terhadap beberapa individu lain yang mengaitkan gambar beliau itu dengan pembabitan pengganas bersenjata Sulu.

-nR-

Categories
NASIONAL

Kumpulan 5 berkecuali demi rakyat Pulau Pinang

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 NOV: Sikap berkecuali lima Adun KEADILAN dalam usul membabitkan isu alam sekitar di DUN Pulau Pinang adalah demi kepentingan rakyat di negeri itu.

Penjelasan dibuat perwakilan Pulau Pinang, Cheah Kah Peng itu mendapat sokongan hadirin dengan tepukan gemuruh memenuhi ruang dewan.

Bagaimanapun katanya, mereka berlima akhirnya menjadi mangsa hinaan sesetengah pihak ekoran keputusan tidak menyebelahi Kerajaan Pulau Pinang.

Kah Peng“Kami mengambil keputusan berkecuali untuk mendengar satu lagi pendengaran awam kes alam sekitar, jadi demi kepentingan rakyat kami tidak mengundi, tetapi kami dihina pula,” katanya ketika membahaskan usul pada Kongres Nasional Tahunan kali ke-11 di IDCC di sini, hari ini.

Katanya, isu kumpulan lima kononya menyokong usul dibawakan BN juga tidak timbul.

Terdahulu, sidang DUN Pulau Pinang menolak usul Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) yang mencadangkan supaya semua projek penambakan tanah di laut bagi pembangunan tertakluk kepada perdebatan umum.

Speaker Datuk Law Choo Kiang menolak usul itu selepas 23 anggota dewan menentang, 10 menyokong dan lima berkecuali.

Usul itu juga disokong anggota DAP Teh Yee Cheu (DAP-Tanjung Bungah).

Lima ADUN PKR yang berkecuali itu adalah Ong Chin Wen (Bukit Tengah); Dr Norlela Ariffin (Penanti); Lee Khai Loon (Machang Bubuk); Cheah Kah Peng (Kebun Bunga) dan Dr T.Jayabalan (Batu Uban).

-AA-

Categories
NASIONAL

Ramai ‘pak lawak’ dalam Politik Malaysia bantu Zunar berkarya

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 NOV: Demi mempertahankan kuasa, pentadbiran Barisan Nasional (BN) sanggup melakukan apa sahaja termasuklah mengeluarkan kenyataan dan mengambil tindakan bodoh sehingga menjadi bahan jenaka rakyat negara ini.

Perwakilan Cabang Alor Gajah, Ginie Lim, berkata tingkah laku ‘pelawak’ politik ini menyebabkan kartunis terkenal, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque tidak kering ilham menghasilkan kartun lucu dengan sindiran tajam.

zunar 6“Politik di negara ini memang sangat lawak sebab itulah Zunar mudah dapat ilham nak melukis kartun yang lucu dengan sindiran tajamnya,” katanya.

Ginie berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional Tahunan kali ke-11 hari ini.

Sementara itu perwakilan lain pula menyifatkan kerajaan Umno-BN sengaja membiarkan golongan 40 peratus terbawah (B40) terus berada dalam kancah kemiskinan dan jahil isu semasa bagi memudahkan usaha memperbodohkan rakyat.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Umno termasuk bertaraf Menteri sering kali menjadi bahan lawak pengguna media sosial berikutan tindakan atau kenyataan bodoh yang dianggap tidak masuk akal.

-nR-

Categories
NASIONAL

Tatkala Umno curigai media, Kongres PKR tak cukup pass media

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 NOV: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) tetap mengalu-alukan kedatangan petugas media membuat liputan pada Kongres Nasional Tahunan kali ke-11 hari ini walaupun menyedari parti reformasi itu sering menjadi sasaran serangan media pro Umno-BN.

Tinjauan Selangor Kini mendapati, tempat duduk media dipenuhi pengamal media sehingga pass disediakan tidak mencukupi.

Seorang petugas kongres memberitahu Selangor Kini, seramai 98 petugas media mendaftar bagi membuat liputan tidak termasuk mereka yang tidak mendaftar di kaunter disediakan.

“Kami terpaksa beri pass jemputan khas kepada petugas media kerana pass tidak mencukupi.

“Kedatangan petugas media memang luar biasa untuk mengetahui perkembangan muktahir PKR,” kata petugas kongres yang diadakan di IDCC di sini, hari ini.

Keadaan ini berbeza dengan keputusan Umno yang awal-awal lagi tidak membenarkan pengamal media membuat liputan sepanjang Perhimpuan Agung Umno (PAU) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Bagaimanapun, selepas dikritik teruk, Umno mengubah keputusan dengan membenarkan beberapa media terpilih pro Umno membuat liputan perhimpunan terbabit.

-nR-