Categories
AGENDA NASIONAL

Tenpin boling tidak mahu terburu-buru sertai kejohanan antarabangsa

PETALING JAYA, 28 JULAI: Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) tidak mahu terburu-buru dan kemungkinan tidak menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa sepanjang tahun ini susulan kebimbangan terhadap penularan pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung MTBC Maradona Chok berkata skuad boling negara mematuhi sebarang keputusan yang dibuat dan tumpuan kini adalah kepada persediaan ke Kejohanan Asia di Hong Kong, tahun depan, yang menjadi kejohanan antabangsa pertama buat skuad negara.

Chok menegaskan kesihatan dan keselamatan atlet boling negara adalah menjadi keutamaan.

“Terdapat beberapa kejohanan dalam kalendar, contohnya Terbuka Sarawak dan Terbuka Thailand, tapi kami tidak mahu terburu-buru. Kami bukan sekadar hendak bertanding, kami perlu pastikan atlet negara selamat untuk bertanding.

“Melihat keadaan di seluruh dunia, wabak ini masih belum selesai. Pada masa ini, Kejohanan Asia adalah keutamaan kami, jika kami mesti melupakan semuanya untuk itu, kami akan lakukannya,” katanya kepada Bernama ketika sesi latihan skuad negara di Sunway Megalane hari ini.

Kejohanan Asia ke-26 dijadual berlangsung pada 4 hingga 14 Julai ditangguhkan ke 15 hingga 25 Januari tahun depan, susulan Covid-19.

Tanpa penyertaan di beberapa kejohanan antarabangsa sepanjang tahun ini, Chok yakin prestasi dan permainan atlet boling negara tidak terjejas kerana diadakan perlawanan ujian secara bulanan untuk memastikan pemain negara berada pada tahap terbaik apabila menyertai kejohanan pada masa depan.

“Jika kami ada kejohanan kebangsaan (belum ditentukan) ia sesuatu yang baik, sekurang-kurangnya kami dapat menilai prestasi pemain, tapi saya yakin pemain akan bersedia apabila tiba masa,” katanya.

Mengulas mengenai acara tenpin boling tidak disenaraikan pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, Chok berkata mereka sudah menjangkakan keputusan berkenaan kerana sukan itu tidak popular di negara tuan rumah.

“Semestinya kami mengharapkan boling disenaraikan, sekurang-kurangnya ada sesuatu untuk kami dan sesuatu yang istimewa untuk mewakili negara dalam temasya sukan. Kami sudah tidak tersenarai di Sukan Komanwel, kami juga tiada di Sukan Olimpik, kami terhad pada kejohanan tertentu sahaja,” katanya.

Malaysia membuat rayuan bagi 11 daripada 22 sukan untuk disenaraikan di Vietnam termasuk tenpin boling.

Sukan SEA Vietnam dijadual berlangsung pada 21 November hingga 2 Disember, tahun depan.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Bekas Setiausaha Agung MTBC, Sidney Tung meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Bekas Setiausaha Agung, Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Sidney Tung, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, hari ini.

Mendiang, yang berusia 74 tahun, mencurahkan khidmat bakti dalam sukan boling selama 35 tahun termasuk menjadi setiausaha agung persatuan itu dari tahun 1980 hingga 2003.

Isteri mendiang, Vicky Kok Yik Shin, 68, berkata, suaminya dimasukkan ke PPUM sejak 19 April lalu untuk rawatan jangkitan kuman dalam perut dan paru-paru dan meninggal dunia pada jam 1 tengah hari ini.

Beliau meninggalkan seorang balu dan dua anak perempuan, Vivian Tung Wei Wei, 42, dan Lisa Tung Pei Pei, 39.

“Upacara penghormatan terakhir akan diadakan selama dua hari bermula esok manakala upacara pengebumian akan diadakan pada Khamis jam 12 tengah hari di Nirvana Memorial Centre, Sungai Besi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mendiang merupakan pengasas Persatuan Tenping Boling Kuala Lumpur pada 1976 serta menjadi ahli Majlis Olimpik Malaysia (OCM) pada 1980, pengurus sukan boling pada temasya Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur dan dipilih sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bagi Kejohanan Tenping Boling Dunia pada 2003.

Mendiang juga dilantik sebagai naib presiden Persekutuan Boling Asia (ABF) pada 1997 dan Persekutuan Tenpin Boling Komanwel pada 2002.

Pada 2003, mendiang diberi Anugerah Khidmat Perpuji Mort Luby Jr oleh Penulis-Penulis Boling Dunia atas sumbangan beliau kepada sukan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok menyifatkan pemergian mendiang sebagai kehilangan besar buat dunia boling negara.

“Sumbangan mendiang kepada pembangunan dan perkembangan sukan peringkat negara adalah amat luar biasa.

“Usaha keras beliau dan presiden Datuk Dr P. S. Nathan merupakan asas kepada kejayaan MTBC selama ini. Mendiang sentiasa memperjuangkan nasib pemain dan kebajikan pemain sentiasa menjadi keutamaannya.

“Sukar untuk menilai kerana sumbangan mendiang kepada dunia boling sangat besar,” katanya. – BERNAMA