Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga pekerja asing maut insiden struktur besi kren jatuh

SHAH ALAM, 22 MAC: Tiga pekerja asing maut manakala seorang pengguna jalan raya cedera parah dalam insiden struktur kren terjatuh dekat tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) di Persiaran Alam Damai, Cheras hari ini.

Pemaju projeknya, Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Kelang Sdn Bhd (Prolintas) memaklumkan punca kejadian masih dalam siasatan.

“Melalui siasatan awal, tiga pekerja pembinaan warga China meninggal dunia manakala seorang pengguna jalan raya warga tempatan cedera dalam kejadian ini.

“Kejadian difahamkan berlaku apabila salah satu komponen kren gantri terjatuh dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, susulan kejadian itu, pasukan ‘Emergency Response Team’ Suke bersama anggota bomba menutup laluan trafik di kedua-dua hala dan kerja menyelamat mangsa sedang dijalankan.

Terdahulu, dua pekerja binaan dilaporkan terbunuh sementara dua lagi dipercayai cedera parah selepas struktur kren menghempap sebuah kereta di tapak pembinaan itu.

Pemandu kereta yang juga seorang rakyat tempat cedera parah manakala dua pekerja binaan jatuh pada ketinggian 36 meter (120 kaki) dari tapak pembinaan dan maut di tempat kejadian.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua maut, dua lagi parah struktur besi kren jatuh di Cheras

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Dua maut manakala dua cedera parah dalam kejadian struktur besi kren pembinaan lebuh raya jatuh berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras, pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kuala Lumpur dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 8.45 pagi.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi mendapati struktur besi kren launcher pembinaan lebuh raya jatuh dan menghempap sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

“Seorang warga tempatan yang merupakan pemandu kereta mengalami kecederaan parah kerana kereta mangsa dihempap struktur besi kren berkenaan.

“Tiga lagi mangsa merupakan pekerja projek pembinaan tersebut dan dipercayai dua daripada mereka jatuh setinggi 120 kaki dan disahkan meninggal dunia,” demikian menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan seorang lagi mangsa masih tersangkut di landasan pembinaan lebuh raya dan kerja-kerja menyelamat mangsa sedang dijalankan oleh anggota bomba.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Wanita nyaris maut kereta dihempap besi menara kren

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Seorang wanita nyaris maut selepas kenderaan dipandunya dihempap besi menara kren yang terjatuh dari sebuah treler di Jalan SS2/24, Petaling Jaya, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata dalam kejadian pada 5.45 petang itu, mangsa berusia 25 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

“Ketika melalui tempat kejadian, tiba-tiba muatan besi menara kren dari sebuah treler jatuh menimpa kenderaan mangsa.

“Akibat kejadian itu, bumbung, cermin hadapan dan beberapa bahagian lain kereta itu rosak namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Nik Ezanee berkata siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada bahagian hadapan treler yang membawa bahan muatan menara kren berkenaan tersangkut pada kabel telefon menyebabkan dua tiang telefon tumbang dan kabel telefon merentangi Jalan SS2/24.

Menurutnya, mangsa telah membuat laporan polis manakala pemandu treler belum tampil membuat laporan setakat ini.

“Anggota polis bergegas ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan awal kepada mangsa dan mengawal keadaan lalu lintas yang pada ketika itu sesak teruk.

“Kertas siasatan dibuka di bawah Peraturan 19 Kaedah Lalulintas 166/59 kerana muatan yang dibawa atas kenderaan jatuh dan mengakibatkan kemalangan,” katanya.

-BERNAMA