Categories
AGENDA JENAYAH

Polis nafi minta sumbangan bantu sedia makanan harian PKPD Kota Damansara

KUALA LUMPUR 7 OGOS: Polis menafikan pasukan itu memohon sumbangan orang ramai bagi penyediaan makanan harian, di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Seksyen 4 Kota Damansara, Petaling Jaya, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima satu hantaran melalui aplikasi WhatsApp yang tular berkaitan kutipan sumbangan, bagi penyediaan makanan harian di kawasan PKPD, Gugusan Semarak semalam.

Beliau berkata, hantaran itu menyatakan pihak polis Kota Damansara meminta menyediakan makanan harian selama 10 hari di kawasan terbabit, dan mesej itu juga menyatakan sumbangan boleh dilakukan menerusi satu akaun Maybank bernombor 564801657304 di atas penama Bekind Malaysia.

“Polis menafikan mesej yang tular itu, kerana tiada sebarang bantuan diperlukan dari mana-mana pihak untuk PKPD yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya mengesyaki terdapat individu ataupun persatuan yang mengambil kesempatan dengan cuba membuat kutipan sumbangan, untuk kepentingan peribadi.

Beliau berkata mana-mana individu yang telah membuat bayaran ke akaun bank yang dinyatakan, diminta tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

“Orang ramai dinasihat agar jangan mudah terpedaya dengan sebarang ‘hantaran’ atau mesej yang tular melibatkan nama Polis Diraja Malaysia. Masyarakat juga dinasihat untuk membuat semakan dengan polis terlebih dahulu sebagai pencegahan awal, sebelum menjadi mangsa kes penipuan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tahan warga asing disyaki bunuh gelandangan

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Polis menahan seorang lelaki warga asing disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang gelandangan yang mayatnya ditemukan dalam kawasan semak berhampiran sebuah sekolah di Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan selepas jirannya membuat laporan polis pada kira-kira 2.50 petang berhubung keadaan lelaki berkenaan yang pulang ke rumah dalam keadaan cedera di muka dan badan serta berlumuran darah, disyaki terlibat dengan pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata siasatan terhadap lelaki itu membawa kepada penemuan mayat seorang gelandangan dengan kesan tetakan di kepala, dan polis turut menemui sebilah sabit dipercayai senjata yang digunakan dalam kejadian itu.

Beliau berkata lelaki asing itu mengaku bergaduh dengan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun yang juga seorang gelandangan yang tinggal di sebuah pondok di kawasan semak itu.

“Hasil semakan mendapati gelandangan itu mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kes curi kenderaan manakala suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki berkenaan direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Noridah Md Ayob di talian 019-6979891 atau balai polis berhampiran.

– BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Empat sekatan jalan raya di PJ kekal sepanjang PKP

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Polis Petaling Jaya akan mengekalkan empat sekatan jalan raya (SJR) di daerah itu susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor termasuk daerah Petaling bermula 6 hingga 17 Mei.

Di daerah Petaling Jaya, empat lokasi SJR yang dikekalkan ialah di SJR Tol Sungai Buloh, SJR Tol Kota Damansara, SJR Tol Damansara dan SJR Tol Subang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata pihaknya juga akan menambah kekuatan pasukan pemantauan tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang pelaksanaan PKP selain akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi SOP supaya jaringan wabak Covid-19 dapat diputuskan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Insiden cermin lapan kereta pecah disyaki perbuatan khianat – polis

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Cermin depan dan belakang lapan buah kenderaan yang didapati dipecahkan di kawasan tempat letak kenderaan Kota Damansara Driving Range, Petaling Jaya, dekat sini, semalam disyaki akibat perbuatan khianat.

Antara kenderaan terlibat seperti yang ditularkan di media sosial adalah kereta jenis Perodua Myvi, BMW dan Honda Civic.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, beberapa pemilik kenderaan terlibat telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Kota Damansara, hari ini.

Bagaimanapun Ku Mashariman berkata, barang milik peribadi pemilik kenderaan berkenaan tidak hilang meskipun cermin kereta mereka dipecahkan.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati, kawasan terlibat tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup dan kawasan parkir kereta itu tidak mempunyai pengawal keselamatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ku Mashariman berkata setakat ini, tiada butiran suspek yang diperoleh kerana tiada saksi yang melihat kejadian itu, namun usaha mengesan suspek terlibat sedang dibuat.

“Kami percaya kesemua kereta berkenaan dipecahkan menggunakan objek keras dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, kerana melakukan khianat dan kerosakan.

Semalam, tular sebuah video menerusi akaun Facebook Wan Mahusin Wan Zain, yang memaparkan cermin beberapa buah kenderaan dipecahkan individu tidak bertanggungjawab, di sebuah tempat letak kenderaan di Petaling Jaya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis PJ hulur sumbangan kepada ibu ditahan curi makanan, ubat untuk anak

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Seorang ibu kepada tiga anak yang mencuri ubat dan makanan untuk anak-anaknya, hari ini menerima kejutan apabila polis melawat dan menyampaikan sumbangan di kediamannya di Petaling Jaya, hari ini.

Wanita itu dikatakan gagal membayar barangan iaitu Kool Fever patch, sosej dan kek, yang keseluruhannya bernilai RM58 untuk anaknya-anaknya yang seorang daripadanya mengalami demam ketika ditahan pengawal keselamatan sebuah pasar raya, di Petaling Jaya pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sumbangan yang diserahkan adalah barangan yang gagal dibeli wanita itu untuk anak-anaknya semalam, dan makanan serta keperluan harian lain yang disumbangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Saya terpanggil untuk datang memberikan sumbangan ini selepas mengetahui kejadian itu, apabila pasar raya berkenaan membuat laporan polis pada hari yang sama.

“Saya turut berpesan kepadanya supaya memohon bantuan zakat, datang ke masjid atau datang ke balai polis, jika benar-benar perlu bantuan pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama.

Nik Ezanee juga berkata berkata wanita itu diberi nasihat supaya tidak mengulangi perbuatannya dan kes itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Wanita ini turut terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 dan sekarang adalah masa bagi semua anggota masyarakat untuk saling bantu membantu,” katanya.

Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya turut membuat hantaran mengenai ziarah berkenaan, dan mendapat maklum balas positif daripada pengguna laman sosial itu.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Wanita nyaris maut kereta dihempap besi menara kren

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Seorang wanita nyaris maut selepas kenderaan dipandunya dihempap besi menara kren yang terjatuh dari sebuah treler di Jalan SS2/24, Petaling Jaya, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata dalam kejadian pada 5.45 petang itu, mangsa berusia 25 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

“Ketika melalui tempat kejadian, tiba-tiba muatan besi menara kren dari sebuah treler jatuh menimpa kenderaan mangsa.

“Akibat kejadian itu, bumbung, cermin hadapan dan beberapa bahagian lain kereta itu rosak namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Nik Ezanee berkata siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada bahagian hadapan treler yang membawa bahan muatan menara kren berkenaan tersangkut pada kabel telefon menyebabkan dua tiang telefon tumbang dan kabel telefon merentangi Jalan SS2/24.

Menurutnya, mangsa telah membuat laporan polis manakala pemandu treler belum tampil membuat laporan setakat ini.

“Anggota polis bergegas ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan awal kepada mangsa dan mengawal keadaan lalu lintas yang pada ketika itu sesak teruk.

“Kertas siasatan dibuka di bawah Peraturan 19 Kaedah Lalulintas 166/59 kerana muatan yang dibawa atas kenderaan jatuh dan mengakibatkan kemalangan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kanak-kanak mati dipercayai didera, teman lelaki ibu ditahan – Polis

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun mati dipercayai akibat didera teman lelaki ibunya, di Pangsapuri Vista Perdana di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kanak-kanak itu ditemui terbaring tidak sedarkan diri di rumahnya semalam dan hasil siasatan awal mendapati, ada kecederaan di belakang kepala kanak-kanak itu.

Sehubungan itu katanya, polis menahan seorang pemandu e-hailing, yang dikatakan orang terakhir bersama kanak-kanak itu.

Beliau berkata lelaki berusia 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis ketika sedang berehat dalam keretanya di Jalan PJS 9/1 Subang Jaya dekat sini, kira-kira 12 tengah hari ini.

“Polis telah pergi ke kawasan itu dan membuat pengesanan ke atas suspek dan tangkapan dibuat setelah membuat pemantauan selama 30 minit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Nik Ezanee berkata, lelaki itu difahamkan telah bertengkar dengan ibu mangsa dan merupakan orang terakhir bersama kanak-kanak itu, sebelum ibunya meninggalkan rumah untuk membeli makanan.

Katanya, apabila ibu mangsa yang berusia 23 tahun itu kembali ke rumah, dia mendapati anaknya dalam keadaaan terbaring dan tidak sedarkan diri.

Beliau berkata kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

21 warga tempatan ditahan disyaki terlibat judi haram

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Polis menahan 21 warga tempatan disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian (mahjong) dalam Op Dadu di sebuah rumah di Jalan 20/7 Taman Paramount, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata serbuan pada kira-kira 4 petang itu membawa kepada penahanan 16 lelaki dan lima wanita warga tempatan, berumur 35 hingga 77 tahun, termasuk seorang lelaki yang dipercayai pemilik premis.

“Pemeriksaan mendapati individu-individu berkenaan sedang leka berjudi mengunakan batu mahjong di atas sebuah meja dengan mempertaruhkan beberapa keping wang ringgit, serta cip yang boleh ditukarkan dengan nilai wang.

“Polis merampas pelbagai jenis barang yang disyaki digunakan untuk aktiviti perjudian (mahjong) dan wang tunai lebih kurang RM3,413,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata semua suspek disiasat di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Mereka juga dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang kerana kesalahan di bawah Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 7) 2020,” katanya

– BERNAMA