Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kursus kemahiran percuma ditawar kepada penduduk kampung tradisi

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kerajaan Negeri menawarkan kursus kemahiran percuma kepada penduduk kampung tradisi yang berusia 17 sehingga 45 tahun, kata EXCO pembangunan luar bandar.

Borhan Aman Shah berkata kursus yang ditawarkan adalah asas baik pulih kasut, penyelenggaraan telefon bimbit, jahitan dan melukis pola pakaian, mengurut serta menjaga ibu selepas bersalin (wanita sahaja).

“Kursus ini bertujuan membimbing peserta agar lebih mahir dalam setiap bidang yang diceburi di samping menggalakkan mereka menjana pendapatan dengan berniaga.

“Tujuan utama program ini juga adalah untuk merancakkan ekonomi kampung tradisi dengan mempelbagaikan kegiatan perniagaan setempat dan mempergiat sosioekonomi komuniti kampung,” katanya menerusi Facebook.

Beliau mengalu-alukan individu yang berminat atau berpotensi dibantu menyertai program ini dengan syarat telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Menariknya, peserta berpeluang dicalonkan Anugerah Usahawan Desa Cemerlang Selangor dan memperoleh beberapa insentif menarik dari Kerajaan Negeri jika berjaya membuka perniagaan selepas kursus,” katanya.

Untuk pendaftaran atau pertanyaan boleh melayari laman sesawang https://usahawankampung.my/ sebelum 17 September ini atau hubungi 012-367 5152 (Ayu) dan 014-245 9264 (Mahadi).

Categories
SELANGOR

Kursus kemahiran jana pendapatan masyarakat desa

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 15 OKT: Seramai 300 peserta dari sembilan daerah seluruh Selangor menyertai Kursus Kemahiran Jangka Pendek untuk masyarakat desa yang berminat menceburkan diri dalam dunia perniagaan selain peluang meningkatkan pengetahuan dalam bidang kemahiran.

Kursus itu dikendalikan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) di bawah Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi dengan kerjasama Kolej INPENS.

Antara kursus yang ditawarkan adlah program membaiki motosikal, dandanan rambut, penyejukbekuan dan penyamanan udara serta jahitan dan dandanan.

KURSUS KEMAHIRANIa juga membabitkan urusetia dari UPEN dan Pejabat Jawatankuasa di bawah portfolio Exco negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Program itu juga diharapkan dapat meningkatkan taraf sosial rakyat ke arah kesejahteraan negeri dan menjadi medium bertukar pandangan serta idea bagi melancarkan aktiviti keusahawanan.

Kesinambungan daripada program itu, satu lagi program industri komuniti kampung iaitu Kursus Kemahiran Jangka Sederhana selama lima hingga tujuh hari oleh Kolej INPENS dan ITKAU sebagai modal permulaan dalam bentuk peralatan secara mobil dan bahan guna habis untuk memulakan operasi.

Selain itu, peserta perlu menubuh dan mendaftarkan syarikat bagi memudahkan operasi perniagaan dan hanya yang lulus temuduga akan dipanggil mengikuti kursus itu.

-NFN-