Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Nasib 17 keluarga pekerja ladang dibela

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 MAC: Nasib ai 17 keluarga pekerja di Ladang Semenyih milik Sime Darby, di sini, dibela selepas 13 tahun hilang mata pencarian apabila bakal menerima rumah yang akan dibina bulan depan berdekatan rumah ladang yang mereka duduki kini.

Setiap keluarga bekas pekerja ladang itu diberi rumah teres kos rendah satu setengah tingkat, bernilai RM40,000.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, Kerajaan Negeri komited membantu bekas pekerja ladang yang dinafikan hak mereka.

GANA LADANG (2)Katanya, sebelum ini, pihaknya membuat beberapa siri perbincangan dengan Sime Darby Properties & Plantations.

“Kerajaan Negeri menyatakan pendirian untuk menyelesaikan isu perumahan pekerja ladang dahulu. Jika tidak selesaikan, kami tak akan meluluskan permohonan mereka untuk membangunkan (kawasan ladang).

“Akhirnya, mereka dapat menawarkan beberapa tawaran. Tawaran awalnya hanya wang saguhati bukan perumahan,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menolak tawaran asal daripada pemaju sebelum ini yang mahu memberikan mereka sebuah pangsapuri.

Sementara itu, bekas pekerja ladang terbabit turut akan diberikan pampasan faedah selepas diberhentikan kerja oleh Sime Darby, sejak 2004.

Bekas pengerusi Kesatuan Pekerja Ladang Semenyih, M Subramaniam berkata, pihaknya gembira dengan penyelesaian itu.

“Sebelum ini, rumah mereka di ladang itu menerima bekalan air tidak bersih oleh pihak tidak bertanggungjawab. Elektrik juga pernah tak ada sehari, kita buat laporan polis baru ada elektrik,” katanya.

-NFN-