Categories
AGENDA NASIONAL

Insiden SUKE: Penghuni bantah pemaju tutup laluan ke kondominium

CHERAS, 2 APRIL: Penduduk Kondominium Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai di sini membantah penutupan laluan utama ke kediaman mereka sejak 12 hari lepas.

Wakil penduduk, Patrick Cheah berkata pemaju projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) menutup laluan tersebut susulan kejadian maut melibatkan tiga pekerjanya.

Wakil penduduk, Patrick Cheah bercakap kepada media di laluan sementara ke Kondominium Puncak Banyan pada 2 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Tindakan pemaju, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menghalang satu-satunya laluan keluar masuk menyebabkan penduduk meletak kenderaan di luar pagar kondominium.

“Kami berjalan kira-kira 10 minit melalui laluan sementara disediakan pemaju, keadaan lebih teruk jika bawa barangan berat atau anak kecil,” katanya mewakili seramai 388 penduduk ketika ditemui SelangorKini hari ini.

Sementara itu tinjauan wartawan mendapati jarak lokasi insiden struktur kren terjatuh dengan laluan utama ke kondominium hanya kira-kira 100 meter.

Pada 22 Mac, tiga pekerja warga asing maut manakala seorang pengguna jalan raya cedera parah dalam insiden struktur kren terjatuh di tapak pembinaan SUKE, Persiaran Alam Damai.

Susulan kejadian, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengarahkan projek terbabit dihentikan sehingga persekitaran pembinaan disahkan selamat.

Pembinaan SUKE sepanjang 24.4 kilometer setakat ini mencapai 88.8 peratus siap dan dijadualkan siap pada akhir tahun ini.