Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Alami pengalaman menarik berkhemah di puncak Gunung Machincang

LANGKAWI, 2 JAN: Gunung Machincang, lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai kerana memiliki antara sistem kereta kabel tercuram di dunia, bakal terus mengujakan pelancong menerusi program berkhemah pada ketinggian 708 meter dari aras laut di puncak gunung berkenaan yang akan ditawarkan tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Operasi Panorama Langkawi Sdn Bhd (PLSB) Rohizat Hashim berkata menerusi program ‘One Night @ 708m Machincang Mountain’ pengunjung akan berkhemah di South Platform, satu daripada dua platform yang terletak di puncak gunung.

Beliau berkata PLSB, pengendali Langkawi SkyCab telah mengadakan tiga siri percubaan termasuk pada malam sambutan tahun baharu 2021 melibatkan 40 peserta sebelum program itu dapat dilancarkan, dijangka sekitar pertengahan bulan ini.

Dua peserta program ‘One Night @ 708m Machincang Mountain’ kelihatan sibuk memasang khemah di South Platform, Gunung Machincang, pada 1 Januari 2021. Foto: BERNAMA

“Apabila Langkawi SkyCab turut terjejas akibat pandemik Covid-19, pihak pengurusan cuba mencari alternatif selain jualan tiket kereta kabel sahaja, dan tampil dengan idea untuk memberi peluang kepada pengunjung dengan bayaran RM150 untuk berkhemah serta bermalam di puncak Gunung Machincang.

“Menerusi program ini, pengunjung dapat menikmati keindahan Langkawi dari puncak gunung selain melihat matahari terbenam dan matahari terbit yang pastinya mengujakan. Selain itu program turut diisi dengan solat berjemaah dan bacaan yasin,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Rohizat berkata PLSB, anak syarikat Lembaga Pembangunan Langkawi merancang untuk mengadakan program itu dua kali sebulan pada hujung minggu serta pada cuti umum.

Pemandu pelancong, Zaidi Mohamad, 48, berkata peluang tidur di puncak Gunung Machincang pada malam sambutan tahun baharu 2021 memberi satu lagi pengalaman menarik kepadanya, dan beliau yakin program ditawarkan bakal mendapat sambutan.

Pengunjung kelihatan berswafoto semasa matahari terbenam di Pantai Chenang, antara lokasi wajib singgah sekiranya bercuti ke Langkawi. Foto: BERNAMA

“Pengalaman amat menakjubkan, dapat lihat matahari terbenam dan terbit selain berdepan tiupan angin dari Laut Andaman serta cuaca sejuk.

“Pengisian program juga baik, peserta saling bantu-membantu memasang khemah selain hidangan makanan dan sarapan juga sesuai. Sebagai pemandu pelancong, saya akan uar-uarkan program ini kepada pelancong yang datang ke Langkawi,” katanya.

Suri rumah, Azizah Mohd Isa, 38, berkata dia bersama suami serta anak lelakinya tidak melepaskan peluang untuk turut menyertai program perkhemahan itu.

“Sebelum ini saya pernah mendaki sehingga ke puncak Gunung Machincang, jadi apabila dengar PLSB buka untuk penyertaan, kami sekeluarga terus beri nama untuk turut serta sebab dah jangka pengalaman serta pemandangan pasti menakjubkan.

“Pengalaman sangat mengujakan, dapat lihat pemandangan yang sangat cantik dari atas puncak gunung ini. Malam tadi angin kencang, tetapi tidak apa itu semua pengalaman, In sha Allah saya akan sertai lagi pada masa akan datang,” katanya yang berasal dari Langkawi.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Langkawi SkyCab bawa 22,270 pelancong dalam tiga hari

LANGKAWI, 7 FEB: Langkawi SkyCab, kereta kabel yang merupakan antara tarikan pelancongan utama di pulau peranginan ini, dikunjungi 22,270 pelancong dalam tempoh tiga hari cuti sempena Tahun Baharu Cina.

Pemangku Ketua Pegawai Operasi, Panorama Langkawi Sdn Bhd, Abu Hashim Abd Rahman berkata kiraan itu dibuat untuk tempoh sehari sebelum sambutan iaitu pada 4 Februari dan hari pertama (5 Februari) serta hari kedua sambutan (6 Februari).

“Langkawi SkyCab menerima kunjungan 22,270 orang pelancong, melebihi jumlah 19,811 yang dicatatkan bagi tempoh sama pada sambutan tahun lepas.

“Setiap tahun, cuti sambutan Tahun Baharu Cina merupakan tempoh waktu paling sibuk buat Langkawi SkyCab kerana jumlah pelancong yang datang akan bertambah kerana pengunjung mengambil kesempatan menaiki kereta kabel antara tarikan utama di pulau ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Abu Hashim berkata, Langkawi SkyCab beroperasi setiap hari bermula 8.30 pagi hingga 7.00 malam dengan 60 gondola yang mampu menampung kapasiti maksimum hingga 10,000 orang sehari.

Panorama Langkawi adalah pengendali Langkawi SkyCab, kereta kabel yang menghubungkan Oriental Village di Teluk Burau dengan Gunung Mat Chinchang yang tingginya 713 meter.

“Berikutan jumlah pengunjung yang ramai, Langkawi SkyCab melaksanakan sistem ‘boarding time’ bagi mengelakkan masa beratur panjang kepada pengunjung.

“Sistem boarding time ini akan memudahkan pergerakan pengunjung di sekitar Oriental Village. Pengunjung boleh menikmati beberapa produk lain seperti 3D Art Langkawi, SkyDome, SkyRex dan beberapa lagi produk lain sebelum giliran mereka menaiki Langkawi SkyCab tiba,” katanya.

Sementara itu, Abu Hashim berkata, sepanjang tempoh cuti sambutan Tahun Baru Cina, pihaknya juga melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Program CSR Food Bazaar ini diadakan bermula 1 hingga 10 Februari bagi membantu komuniti di sekitar Langkawi terutama peniaga-peniaga kecil berniaga di Oriental Village.

“Pelbagai jenis juadah dijual seperti kuih-muih, air minuman dan makanan bergoreng,” katanya.

*Sumber: BERNAMA