Categories
NASIONAL SELANGOR

223 ekar hutan terbakar berjaya dikawal

KUALA LANGAT, 28 OGOS : Kebakaran hutan seluas 223 ekar di Tanjung 12 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam  terkawal dan sebahagian kawasan yang terbakar berjaya dipadam.mdkl 4

Timbalan Penguasa Bomba Zon Selangor Selatan Mohd Helmi Abu Husin berkata pihaknya sedang giat menjalankan pembasmian menyeluruh di 147 kawasan yang menunjukkan tompok asap aktif.

“Bomba akan meneruskan operasi ini tempoh dua minggu lagi bagi memastikan kawasan kebakaran benar-benar selamat. Tempoh operasi juga bergantung kepada cuaca, dan hujan akan membantu mempercepatkan operasi,” jelasnya.

Tiga jentera dengan kekuatan 10 anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat di Banting, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Shah Alam dikerah ke kawasan operasi sejak 9 Ogos lepas. Pihak Paya Indah Wet Land dan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Selangor turut membantu.

Kaedah ‘Fire Break’ dengan mengali tanah dan membuat parit kecil di sekeliling kawasan kebakaran menghasilkan keputusan yang memberangsangkan. Helmi berkata antara misi Bomba adalah menghalang api merebak ke kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

– HM

 

Categories
SELANGOR

Banyak Papan Iklan Di Sepang Tidak Ikut Reka Bentuk Yang Diluluskan

SEPANG 31 JULAI : Pemilik papan tanda elektronik (billboard) di daerah ini perlu mendapatkan kelulusan reka bentuk struktur rangka pembinaan papan iklan mereka dari Majlis Perbandaran Sepang (MPS).

Yang Dipertua MPS, Sayuthi Bakar berkata ada pemilik yang hanya mendapatkan lesen bagi iklan sahaja tetapi mengabaikan ciri-ciri struktur yang dibenarkan.

Katanya, kebanyakkan syarikat ini mempamerkan papan iklan mereka di lebuhraya menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Biasanya pemilik yang terlibat ini mempamerkan iklan seperti perkhidmatan, ucapan dan tajaan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan.

Sayuthi turut mengingatkan supaya pemilik papan tanda itu memperbaharui lesen iklan dengan segera.

Selain itu, MPS akan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor kutipan sampah yang tidak mengikut spefikasi yang ditetapkan sebelum ini.

Jelasnya, MPS sentiasa memantau kerja-kerja mereka dari masa ke semasa.

“Bagi tahun ini, sebanyak satu kontraktor yang telah ditamatkan kontrak mereka.

“Kita juga akan terus memantau pembuangan sampah domestik dan industri yang membuang sampah secara haram. Tindakan menyita lori yang terlibat akan diambil,” katanya.