Categories
AGENDA NASIONAL

131 rakyat Malaysia terkandas di Yaman tiba di tanah air

PUTRAJAYA, 2 OGOS: Kumpulan pertama rakyat Malaysia seramai 131 orang yang dilaporkan terkandas di Yaman sejak Mac lepas susulan pandemik Covid-19, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat sewaan khas Egypt Air pada 8.34 pagi tadi.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata kumpulan kedua seramai 17 orang pula dijadual tiba esok (3 Ogos) dengan penerbangan komersial Emirates pada jam 12.55 pagi.

Beliau berkata perjalanan kesemua 148 rakyat Malaysia tersebut bermula semalam (1 Ogos) dengan penerbangan dari Seiyoun, Yaman ke Kaherah, Mesir sebelum meneruskan perjalanan dengan dua penerbangan berasingan ke Malaysia.

“Rakyat Malaysia dari Yaman ini terdiri daripada pelajar persendirian yang telah menyatakan hasrat untuk pulang ekoran penularan pandemik Covid-19, serta pelajar yang telah tamat pengajian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kamarudin, yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar, berkata sebelum ini beberapa rancangan repatriasi oleh kerajaan Malaysia untuk membawa pulang kumpulan pelajar tersebut terpaksa ditunda atas sebab isu-isu logistik yang tidak dapat dielakkan.

“Namun demikian, pembukaan semula lapangan terbang dan penyambungan operasi penerbangan komersial oleh kerajaan Yaman membolehkan penerbangan sewaan khas repatriasi ini dilaksanakan. Kos repatriasi ini dibiayai secara bersama antara kerajaan Malaysia dengan penumpang yang rata-rata pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata kesemua rakyat Malaysia yang tiba akan menjalani ujian saringan Covid-19 setibanya di KLIA dan seterusnya dibawa menjalani proses kuarantin di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan untuk pemantauan lanjut.

Ia adalah susulan lanjutan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 21 Julai lepas mengenai prosedur kuarantin wajib selama 14 hari, katanya.

Kamarudin berkata Wisma Putra merakamkan penghargaan kepada kerajaan Yaman dan Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Oman yang membantu dalam usaha kepulangan rakyat Malaysia itu ke tanah air serta kerajaan Mesir di atas kerjasama diberikan dalam menjayakan usaha repatriasi rakyat Malaysia tersebut.

Beliau menegaskan Wisma Putra melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara akan meneruskan pemantauan situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang masih berada di luar negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

365 pelawat asing dihalang masuk semasa gangguan sistem KLIA

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Seramai 365 pelawat asing dikenakan arahan Notis Penolakan Masuk (NTL) ke negara ini oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semasa insiden kegagalan teknikal dan gangguan sistem operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ogos lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, JIM telah mengambil segala langkah kawalan sepanjang kegagalan Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang (TAMS) dan sentiasa memastikan kawalan pintu masuk negara tidak dibolosi dengan mudah demi keselamatan negara.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM tidak berkompromi dari aspek keselamatan dalam memastikan kawalan di pintu masuk sentiasa dipantau sepanjang insiden gangguan teknikal pada sistem di KLIA dan KLIA 2 pada Ogos lepas,” katanya pada sesi jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Azis menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) berhubung statistik kemasukan pelancong asing ke negara ini semasa insiden berkenaan.

Mohd Azis berkata, rekod Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menunjukkan 368,042 pelawat asing tiba di KLIA dan KLIA2 dari 21 hingga 25 Ogos, dan 347,981 pelawat asing berlepas keluar melalui dua lapangan terbang itu bagi tempoh sama. Kegagalan TAMS dilaporkan berlaku dalam tempoh masa itu.

Kegagalan TAMS itu menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Dalam pada itu, Mohd Azis berkata, adalah tidak benar dakwaan bahawa kerajaan memudahkan pemberian taraf kewarganegaraan kepada pelancong dari China dan Hong Kong.

“Adalah ditegaskan bahawa penganugerahan kewarganegaraan Malaysia adalah anugerah tertinggi dan hak eksklusif Kerajaan Persekutuan yang tidak diberikan sewenang-wenangnya,” kata timbalan menteri itu.

Beliau menjawab soalan Awang Hashim (PAS-Pendang) mengenai perkara itu.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

PM: Selidik punca gangguan di KLIA

HANOI, 28 OGOS: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) perlu menyelidik punca sebenar gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata gangguan sistem di lapangan terbang tidak seharusnya berlaku.

“Kita kena selidik kenapa (kita) mengalami ‘breakdown’… sepatutnya ia tidak berlaku kerana sistem yang sama turut digunakan di lapangan terbang yang lain dan mereka tidak mengalami masalah seperti kita,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia sebelum mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Hanoi di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, gangguan sistem di lapangan terbang semakin pulih namun operasi masih ‘tidak licin’.

Sejak Rabu, KLIA mengalami gangguan sistem dan menyebabkan penumpang beratur panjang di kaunter daftar masuk selain berlakunya pembatalan serta kelewatan penerbangan.

Gangguan sistem itu menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Semalam, MAHB membuat laporan polis berhubung gangguan sistem di KLIA sejak Rabu lepas dan polis berkata kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Seksyen 427 Kanun Keseksaan merujuk perbuatan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin dalam kenyataan berkata MAHB tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian di KLIA mulai Rabu lepas disebabkan perbuatan berniat jahat.

Jumaat lepas, MAHB dilaporkan berkata kegagalan rangkaian dikenal pasti sebagai punca gangguan sistem di KLIA dan pengendali lapangan terbang itu mengambil langkah untuk menggantikan peralatan rangkaiannya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gangguan sistem di KLIA tiada unsur salah laku atau rasuah

KUALA TERENGGANU, 26 OGOS: Gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak mempunyai kaitan dengan sebarang salah laku atau unsur rasuah, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.

Beliau berkata, setakat ini SPRM tidak menerima apa-apa aduan atau laporan berkaitan perkara itu yang boleh mengaitkannya dengan gangguan sistem teknikal di lapangan terbang tersebut.

“Setakat ini memang tiada…bagaimanapun SPRM bersedia menjalankan siasatan sekiranya terdapat aduan yang mengaitkan gangguan teknikal itu dengan salah laku atau unsur rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sesi Dialog Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Industri Perhotelan Terengganu Bersama Ketua Pengarah SPRM di sini, hari ini.

Gangguan teknikal pada Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang (TAMS) selama empat hari sejak Rabu lepas telah menyebabkan kelewatan penerbangan dan situasi itu sangat mengecewakan penumpang.

Gangguan itu juga melibatkan fungsi utama seperti penyambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter daftar masuk, dan sistem pengendalian bagasi.

Bagaimanapun, situasi di KLIA pulih dengan penumpang dapat mengetahui status penerbangan pada FIDS, yang telah diperbaiki dan proses daftar masuk telah kembali normal.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tubuh jawatankuasa siasat kegagalan sistem di KLIA

PUTRAJAYA, 26 OGOS: Kementerian Pengangkutan hari ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan Total Airport Management System (TAMS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan insiden gangguan sistem di lapangan terbang itu.

Kegagalan sistem TAMS di KLIA dikesan pada 21 Ogos (Rabu) hingga menyebabkan pembatalan dan kelewatan penerbangan serta ketidakselesaan kepada penumpang selama empat hari ini, dan sistem itu distabilkan pada 24 Ogos (Sabtu).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jawatankuasa yang ditubuh secara pentadbiran itu adalah bagi menyiasat punca sebenar insiden dan mencadangkan langkah penambahbaikan bagi mengelak insiden itu berulang pada masa hadapan.

“Jawatankuasa ini diberi tempoh satu bulan untuk menyiapkan laporan terperinci kepada jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Mohd Khairul Adib Abdul Rahman akan mempengerusikan jawatankuasa enam anggota itu.

Anggota lain jawatankuasa ialah Pengerusi Eksekutif, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) Dr Nungsari Ahmad Radhi; anggota Suruhanjaya MAVCOM, Datuk Seri Long See Wool; anggota Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), Afzal Abdul Rahim; Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Ahmad Nizar Zolfakar; Ketua Eksekutif, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir Md Shah Nuri Md Zain.

Bahagian Udara, Kementerian Pengangkutan akan bertindak selaku sekretariat.

Loke berkata, pihak kementerian merakamkan penghargaan kepada para penumpang di atas kesabaran serta berterima kasih kepada para petugas yang membantu semasa insiden itu.

“Segala kesulitan yang dihadapi oleh penumpang KLIA dalam insiden ini amatlah dikesali,” katanya.

Pada Jumaat (23 Ogos) ketika sistem di KLIA masih mengalami gangguan, Loke telah meninjau keadaan di lapangan terbang itu sebelum berlepas ke Pulau Pinang.

Beliau berjaya tiba di destinasi untuk menghadiri program rasmi di Pulau Pinang walaupun penerbangannya dilaporkan mengalami kelewatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen nafi kemasukan tiga juta warga China semasa gangguan sistem KLIA

PUTRAJAYA, 26 OGOS: Jabatan Imigresen hari ini menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial mengenai kemasukan tiga juta warga China dan kemasukan tidak teratur warga asing ke Malaysia semasa gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan hari ini berkata, semasa sistem Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) di KLIA mengalami ganguan, proses pemeriksaan kemasukan warga asing oleh jabatan itu dilakukan secara manual.

Semua pelawat asing juga perlu mematuhi syarat serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan pelawat asing.

“Selain itu, semua langkah keselamatan turut dipertingkatkan termasuk melakukan pemantauan berterusan oleh pasukan pemantau dan penguatkuasa di balai ketibaan dan perlepasan antarabangsa serta kawasan satelit,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, sistem telah mula beroperasi secara berperingkat mulai semalam dan semua proses pemeriksaan masuk pelawat asing berjalan seperti biasa.

Justeru, Khairul Dzaimee menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu tentang kesahihan sesuatu berita sebelum membuat sebarang perkongsian dan menjadikan ia tular.

Sistem rangkaian di KLIA yang mengalami gangguan sejak Rabu malam (21 Ogos) dilihat semakin pulih sejak Sabtu, selepas MAHB melakukan penggantian perkakasan rangkaiannya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi KLIA kembali normal

SEPANG, 25 OGOS: Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali normal pagi ini selepas mengalami kegagalan peralatan rangkaian sejak Rabu lepas.

Tinjauan Bernama mendapati sehingga 9.30 pagi ini, penumpang kelihatan berurusan seperti biasa, proses mendaftar masuk lancar dan Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS) pulih dengan memaparkan maklumat terkini.

Keadaan yang semakin baik itu berikutan penggantian peralatan rangkaian pada 23 Ogos lalu seperti yang diumumkan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Bagaimanapun, jurucakap MAHB berkata, sistem itu dilihat ada kemajuan positif selepas penggantian itu, tetapi pasukan masih memantau kestabilannya kerana beberapa isu berkala.

Keadaan terminal lapangan terbang KLIA yang masih terkawal walaupun mengalami gangguan sistem pada 22 Ogos 2019. Foto BERNAMA

Difahamkan, MAHB akan mengeluarkan kenyataan media petang ini mengenai status terkini keadaan di lapangan terbang itu.

Gangguan teknikal terhadap Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang (TAMS) sebelum ini menyebabkan penerbangan tertangguh, penumpang terpaksa beratur panjang dan berasa kecewa.

Ia juga menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, FIDS, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Jumlah Duta Airport CARE juga dilihat berkurangan berbanding sebelum ini. Mereka bekerja sejak gangguan itu berlaku bagi memastikan keselesaan penumpang dan turut mengedarkan makanan kepada penumpang yang beratur panjang.

Tweet daripada Khyun0409 pada 7.45 pagi menyatakan: “Dah okay dah. Me lining up to get ticket now. Klia2 not sure. Klia already back to normal” (Sudah okey. Saya beratur untuk mendapatkan tiket sekarang. Klia2 tidak pasti. KLIA sudah kembali normal).

Seorang lagi pengguna Twitter gunaseelank menulis pada 9 malam tadi :”#MYairportsupdates it’s looking pretty calm and peaceful at KLIA. Just checked in to KLM flight. Thanks @MY_Airports for working hard to get things slowly back to normal” (#MYairportsupdates kelihatan tenang di KLIA. Baru mendaftar masuk ke penerbangan KLM. Terima kasih @MY_Airports kerana bekerja keras dan memastikan operasi kembali normal).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gangguan sistem KLIA, KLIA2: Tiada insiden serangan siber dikesan

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Tiada insiden serangan siber dikesan setakat ini dalam gangguan sistem rangkaian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sejak gangguan itu mula dikesan pada 21 Ogos lalu.

Menurut kenyataan dari Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) malam tadi, dapatan awal oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) menunjukkan bahawa gangguan disebabkan kegagalan kelengkapan rangkaian.

“Pada masa ini, semua usaha difokuskan untuk memastikan operasi di KLIA dan KLIA2 kembali pulih sepenuhnya. MAHB telah mengambil dan akan terus mengambil semua langkah yang perlu untuk mempercepat proses itu kembali pulih, ” kata kenyataan tersebut.

NASCA akan terus memantau dan menjalankan siasatan lanjut dengan semua agensi berkaitan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gangguan sistem: Kaunter informasi KLIA jadi tumpuan

SEPANG, 22 OGOS: Kaunter informasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi tumpuan hari ini dan dihujani dengan pelbagai pertanyaan berikutan gangguan sistem yang melanda lapangan terbang itu.

Keadaan tenang di terminal utama KLIA pada waktu pagi bagaimanapun berubah sibuk menjelang pukul 12 tengah hari berikutan jumlah penumpang ke lapangan terbang itu semakin bertambah.

Tinjauan Bernama mendapati walaupun bertali-arus didatangi penumpang dari pelbagai latar belakang, Ambassador CARE Airport atau Duta CARE, tenang dan sentiasa melemparkan senyuman melayani pertanyaan demi pertanyaan.

Pengurus Khidmat Pelanggan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd, Rosmawati Mohamad Saufi berkata, keadaan masih terkawal dan bilangan duta CARE yang bertugas juga ditambah berbanding biasa.

“Kami menempatkan tenaga kerja di tempat penting untuk membantu penumpang-penumpang dan petugas tambahan pun sudah ditambah sejak pukul 3 pagi tadi.

“Soalan yang kerap ditanya penumpang ialah di mana nak daftar masuk, pukul berapa penerbangan, di mana di pintu berlepas dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, ini merupakan kali pertama masalah melibatkan sistem pengurusan lapangan terbang, Total Airport Management System, mengalami masalah.

“Setakat ini tiada penumpang yang marah-marah dan mereka memahami masalah yang sedang kita hadapi.

“Proses nak daftar masuk mengambil masa sedikit. Biasa lebih kurang 10 minit, tetapi hari ini lama sedikit kerana segalanya manual,” katanya.

Sementara itu, seorang penumpang yang akan ke Australia, Mahdi Ebadi, 32, tidak mengetahui mengenai masalah teknikal itu.

“Saya baru datang dan tidak tahu ada gangguan sistem tetapi saya lihat semuanya OK.

“Paparan penerbangan tidak berfungsi sekarang, penerbangan saya tidak dipaparkan di bahagian informasi dan saya perlu ke kaunter untuk mendapatkan maklumat terkini,” katanya.

Jurutera Mekanikal berbangsa Iran itu turut memuji kecekapan Duta Care yang mesra, ramah dan sangat membantu menyelesaikan masalahnya.

Seorang penumpang tempatan, Mohd Hafiz Zulkifli, 25, yang akan ke Kedah bersama tiga ahli keluarganya berkata memang sudah menjadi kebiasaan untuk dirinya datang lebih awal ke lapangan terbang.

“Saya tak tahu pun ada masalah teknikal dan kebiasaanya memang saya akan daftar masuk menggunakan kiosk.

“Jadi bila perkara seperti ini berlaku, ia tidak mendatangkan masalah buat saya,” katanya.

Pengendali lapangan terbang itu, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam kenyataan memaklumkan kira-kira 500 petugas ditempatkan untuk membantu penumpang di lapangan manakala sistem berkenaan sedang dipulihkan oleh pasukan teknikal.

“Kami amat mengesali kesulitan yang dihadapi penumpang disebabkan gangguan ini. Kami berusaha untuk memberikan bantuan kepada penumpang dan syarikat penerbangan,” menurutnya.

MAHB menjelaskan bahawa semua pihak berkepentingan seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam dan juga wakil-wakil syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pengendali Syarikat Penerbangan telah diberi taklimat tentang perkembangan terkini dan rancangan pengurangan masalah.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Salur RM1.9 juta, naik taraf laluan alternatif Hulu Chuchoh-KLIA

OLEH NORHAYATI UMOR

SEPANG, 14 SEPT: Sejumlah RM1.9 juta diperuntukkan bagi menaiktaraf laluan alternatif di Kampung Hulu Chuchoh ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, laluan alternatif itu kini menjadi laluan utama penduduk kerana dapat menjimatkan masa hampir 30 hingga 45 minit.

Katanya, peruntukkan itu termasuk pengambilalihan tanah dan dijangkakan akan bermula pada tahun hadapan.

“Kita mengambil maklum lalauan ini merupakan jalan pintas yang menjimatkan masa penduduk sekitar.

“Saya dimaklumkan jika menggunakan laluan biasa 20 hingga 30 kilometer, dengan jalan pintas ini kita dapat kurangkan masa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Insiatif Peduli Rakyat di Dewan Orang Ramai Kampung Hulu Chuchoh, di sini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, sebanyak 10 projek dengan peruntukkan RM382,000 dilaksanakan membabitkan projek menaiktaraf jalan dan longkang di daerah Sepang pada tahun ini.

Terdahulu, Amirudin mengadakan lawatan kerja ke Jalan Bypass Hulu Chuchoh – KLIA.

Sebelum ini, penduduk di Daerah Sepang menggunakan laluan alternatif dari Kampung Hulu Chuchoh ke KLIA selepas

Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) membenarkan laluan itu digunakan oleh pengguna kenderaan ringan sahaja selepas kerja-kerja naik taraf laluan sepanjang tiga kilometer dilakukan.

Categories
SELANGOR

Walaupun hanya menunggu, polis tetap saman

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 16 JAN: Kenderaan awam atau persendirian yang diparkir secara haram dan menunggu di tepi jalan berhampiran sebuah stesen minyak berhampiran susur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 akan ditunda ke balai polis, selain dikenakan saman.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, tindakan tegas itu berkuatkuasa serta-merta susulan masih ramai pemandu masih berdegil tanpa memikirkan keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Malaysia Airport Berhad (MAB) sudah menyediakan tempat parkir kenderaan secara percuma untuk menunggu atau ambil penumpang, namun masih ramai menunggu di tepi jalan, khususnya berhampiran stesen minyak itu.

“Saya mengeluarkan arahan agar polis mengambil tindakan agresif menyaman dan memasang kamera litar tertutup (CCTV) secara sulit di situ supaya tiada lagi pemandu yang menjejaskan keselamatan jalan raya pemandu lain.

“Selain saman ke atas pemandu yang menunggu di tepi jalan, mana-mana pemandu yang parkir kenderaan di tepi jalan terbabit akan terus ditunda dan dibawa ke balai polis,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, pagi tadi.

Mazlan berkata, kompaun maksimum sebanyak RM300 akan dikenakan ke atas pemandu yang didapati bersalah atas kesalahan menghalang lalu lintas dan meletakkan kenderaan secara haram.

“Sejak tahun lalu, setiap hari, kira-kira 30 saman dikeluarkan kepada pemandu yang meletakkan atau menunggu di situ dan penguatkuasaan akan ditingkatkan.

“Saman yang dikeluarkan ini membabitkan semua kenderaan termasuk pemandu teksi, pengendali perkhidmatan e-hailing serta kenderaan persendirian.

“Pemandu kenderaan yang hendak ke KLIA sepatutnya menggunakan kemudahan disediakan MAB kerana terdapat surau dan tempat makan berhampiran parkir itu,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pelajar Selangor di Mesir lega tiba di tanah air

halimah 2

SEPANG, 28 OGOS : Sekumpulan 31 penuntut Selangor di Mesir yang dibawa pulang secara berperingkat melalui penerbangan komersil dalam Ops Piramid 2 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

Mereka yang tiba di tanah air dengan menaiki pesawat Etihad 0416 itu disambut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Kumpulan berkenaan adalah sebahagian daripada lebih 800 pelajar Selangor di Mesir yang sedang dibawa pulang secara berperingkat melalui penerbangan komersial dalam Ops Piramid 2 mulai 22 Ogos lalu.

Bagi pelajar jurusan Perubatan di Universiti Al azhar, Mesir, Nur Atikah Zulkifli, ketibaannya ke tanah air dapat mengurangkan kebimbangan ahli keluarga mengenai keselamatannya di negara yang sedang bergolak itu.

Menceritakan pengalaman berada di sana, Atikah yang berada di bawah tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata, keadaan asrama anak Selangor di sana rata-ratanya masih berada dalam keadaan selamat.

“Sebenarnya semasa hari kejadian, saya tidak berada di situ tetapi ada dikalangan rakan-rakan yang dapat melihat gas pemedih mata dilepaskan kerana rumah kami memang berhampiran dengan tempat kejadian.

“Pihak keselamatan di sana sentiasa memantau keadaan pelajar. Kalau ikutkan, pelajar tidak mengalami sebarang masalah di sana, tetapi demi keselamatan lebih baik kami dihantar pulang ke tanah air,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Ahmad Muizuddin Muhammad Kamaruzzaman berkata, tidak semua tempat di Mesir yang terlibat dengan pergolakan itu, namun tempiasnya masih dapat dirasakan.

Beliau berkata, langkah membawa pulang pelajar ke Malaysia adalah tindakan bijak kerana kebanyakan ibu bapa bimbangkan keselamatan anak-anak mereka di sana.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak tertentu yang telah membawa kami pulang kerana kalau lihat keadaan sekarang, memang elok kami balik ke Malaysia,” katanya.halimah 2

Sementara itu, Dr Halimah ketika ditemui mengharapkan supaya semua pelajar Malaysia di Mesir dapat pulang ke tanah air sehingga keadaan kembali tenang di sana.

Beliau turut menghargai usaha Kerajaan yang memperuntukkan dana untuk memastikan kesemua pelajar selamat pulang ke negara ini.

“Kita khuatir kerana keadaan dijangka teruk dan ada dikalangan pelajar yang tidak dapat keluarkan duit.

“Bila tidak dapat keluarkan duit, maknanya sara hidup, makan minum agak sukar. Jadi adalah lebih baik jika mereka pulang ke kampung halaman sehingga keadaan tenteram.

“Kita akan tengok sama ada mereka boleh melanjutkan pelajaran ke Mesir atau bagaimana,” ujarnya.

Selasa lalu, kerajaan memutuskan untuk membawa pulang 3,300 pelajar Malaysia di Mesir menggunakan pesawat komersial berikutan pergolakan di negara itu yang dilaporkan semakin tidak menentu.

Proses membawa pulang pelajar dijangka akan berlangsung sehingga Jumaat ini.