Categories
AGENDA NASIONAL

Lapangan terbang Subang sah diambil alih entiti swasta

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Malaysia Airports Holdings Bhd hari ini menjelaskan bukan sesuatu yang luar biasa bagi pasaran untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan mengenai pembangunan lapangan terbang baharu atau mengambil alih lapangan terbang sedia ada.

“Ini telah berlaku beberapa kali pada masa lalu dan sebagai sebahagian daripada proses itu, kerajaan akan mendapatkan input kami mengenai perkara berkenaan dan bersama-sama dengan Malaysia Airlines Group, kami telah memberikan pandangan awal kami,” kata pengendali lapangan terbang itu hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan berita yang tersebar mengenai pengambilalihan lapangan terbang Subang oleh sebuah entiti perniagaan swasta.

“Buat masa sekarang, kami belum diberikan butiran cadangan itu lagi dan belum ada perbincangan yang diadakan dengan kerajaan mengenai butirannya,” kata Malaysia Airports.

Ia juga menekankan bertapa penting untuk mendapatkan pandangan daripada pengawal selia seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia sebelum sebarang keputusan boleh dibuat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jemaah positif Covid-19, aktiviti masjid lapangan terbang Subang ditangguh

SHAH ALAM, 9 OKT: Semua aktiviti termasuk solat fardhu dan solat Jumaat di Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang ditangguhkan sementara berkuat kuasa petang semalam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata langkah itu dibuat susulan seorang jemaah solat Jumaat pada 2 Oktober lalu disahkan positif Covid-19.

“Berdasarkan rekod, seramai 1,310 jemaah lain turut bersolat Jumaat pada tarikh itu dan jemaah bergejala diminta melakukan saringan.

“Mereka yang tidak mengalami simptom perlu melakukan kawalan kendiri di rumah masing-masing,” kata Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan malam ini.

Susulan itu, beliau akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Penilaian Dan Pengawasan SOP (Tatacara Operasi Piawaian) masjid dan surau bagi membincangkan perkara itu dalam masa terdekat.

“Buat masa ini Jais hanya membenarkan tiga petugas dari kalangan pegawai atau ahli jawatankuasa untuk azan dan melaksanakan solat fardhu,” katanya sambil memaklumkan proses sanitasi dilakukan hari ini.

Categories
EKONOMI SELANGOR

Mutu ekosistem aeroangkasa boleh dipertingkat

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG, 12 JAN: Mutu ekosistem aeroangkasa di sekitar Lapangan Terbang Subang disifatkan baik dan mempunyai potensi cerah, namun perlu diperkemaskan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pusat latihan terbaik yang ditawarkan di situ juga berjaya menarik ramai pelatih dari dalam dan luar negara menjalani latihan, dengan lebih 26,000 jam latihan.

“Kita sedang melihat bagaimana kesemua syarikat yang berada di sini dapat memberikan perkhidmatan terbaik, meneruskan konsistensi serta kerelevanan kawasan ini sebagai hab aeroangkasa berdaya saing.

“Kebanyakan (perkhidmatan) ada di sini tetapi memerlukan penyusunan semula kerana kebanyakan kemudahan untuk industri ini sudah wujud.

“Kita sedang mengusahakan tanah dan ruang baru Kerajaan Negeri yang berkaitan dengan kawasan Lapangan Terbang Subang kerana di sini menjadi lokasi utama pesawat peribadi, pesawat ringan, helikopter serta penerbangan komersil seperti FireFly juga Malindo Air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meluangkan masa lebih sejam di PWN Excellence Sdn Bhd.

Ketibaan rombongan Kerajaan Negeri sempena Jelajah Maju Bersama 2019 Daerah Petaling, disambut Ketua Pegawai Eksekutif, Hazlee Jehan Hashim dan kakitangan.

Amirudin turut berpeluang merasai sendiri pengalaman memandu helikopter menerusi ruang simulator milik PWN Excellence.

PWN Excellence adalah Pusat Latihan Sintetik AW 139 Bertauliah AgustaWestland (ASTC) yang kini dipanggil Leonardo Helicopter.

Agensi ini adalah antara pusat latihan simulator bagi juruterbang melengkapkan jam latihan penerbangan, latihan operasi khas serta kejurulatihan pengendalian pesawat AW139.

Amirudin sebelum itu melawat Bahagian Pusat Kawalan Trafik Udara, Civil Aviation Authority Of Malaysia (CAAM), Subang dan mendengar taklimat disampaikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Nizar Zulfakar serta dibawa melihat sendiri operasi kawalan trafik udara.

Beliau kemudiannya meninjau Menara Kawalan Trafik Udara Lapangan Terbang Subang sambil diiringi Pengurusnya, Mohd Effendy Mansor.