Categories
NASIONAL

Tajuddin tak wajar guna perkataan kasar

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 2 OKT: Tidak wajar bagi seorang pemimpin kerajaan menggunakan perkataan kasar ketika berucap walaupun dalam nada bergurau terutama jika bertujuan memberi amaran atau menggertak sesebuah kaum di negara ini.

Bekas Naib Ketua Pemuda Umno Wangsa Maju, Shahbudin Husin, berkata tidak salah untuk menyelitkan unsur politik dalam ucapan, namun jangan melampaui batasan.

812shahbudin_new-buku_penulis“Apakah tidak boleh peringatan itu disampaikan dalam bentuk ucapan biasa sahaja tanpa menyebut perkataan ‘lempang’ dan sebagainya?

“Bak kata orang Perak, ‘dah kuat bebenor ke berbanding orang Cina?’,” katanya di dalam blog.

Kenyataan itu merujuk kepada tindakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang memberi amaran akan melempang rakyat Cina di negara ini jika mengadu masalah kepada pihak luar.

Beliau juga meminta rakyat Cina berhenti berangan bahawa ada pihak luar yang akan membela nasib mereka.

datuk seri tajuddin rahmanSehubungan itu, Shahbudin berkata, imej Barisan Nasional (BN) akan bertambah buruk ekoran tindakan Tajuddin yang gagal menunjukkan contoh baik sebagai pemimpin.

Katanya, kewibawaan Ahli Parlimen Pasir Salak itu juga tercalar kerana tidak mampu mengawal situasi yang mengganggu emosi.

“Kalau dalam ucapan boleh begitu, bagaimana pula bila berdepan dengan pihak yang tidak sebulu dengannya di mesyuarat atau perundingan?

“Apakah mungkin akan berlaku fail melayang atau kerusi berterbangan?,” katanya.

-NFN-