Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC II curi satu mata, rencat misi Sarawak United

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Sarawak United terlepas peluang merampas kedudukan Liga Premier apabila mencatat keputusan seri 1-1 dengan Selangor FC II pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras malam tadi.

Satu mata dikutip Sarawak United menyaksikan mereka kekal di tangga ketiga berkongsi 28 mata bersama Terengganu FC II di kedudukan kedua, dengan mengekori rapat Negeri Sembilan FC yang menerajui takhta liga dengan 29 mata.

Pada aksi tersebut, kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan baik apabila saling berbalas serangan, dengan kedua-dua barisan pertahanan pasukan dipaksa bekerja keras menangkis percubaan ke arah pintu gol.

Selangor FC II yang gagal mencatat kemenangan dalam dua aksi terakhir hampir membuka jaringan pada minit ke-19, namun percubaan rembatan deras pemain tengah import Alexander Agyarkwa Ameyaw terkena tiang.

Tersentak dengan serangan itu, Sarawak United pantas melancarkan gerakan balas sebelum penyerang import dari Korea Selatan Lee Chang-hoon terlepas peluang keemasan meledak gol pembukaan apabila rembatan ‘first timer’ dari luar kotak penalti sedikit melewati palang gol Selangor FC II.

Selepas 45 minit pertama berakhir tanpa jaringan, Selangor FC II memulakan babak kedua dengan bergaya menerusi jaringan T Saravanan pada minit ke-49 dan berjaya mempertahankan kedudukan hingga ke penghujung babak permainan.

Penjaga gol Selangor FC II Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman wajar diberi pujian apabila bertindak berani dan cemerlang menidakkan beberapa percubaan berbahaya pasukan lawan dalam usaha memastikan gawang dari dibolosi.

Bagaimanapun, sedikit kealpaan barisan pertahanan membawa padah apabila Sarawak United bijak menghidu ruang untuk meledak gol penyamaan hasil percubaan pemain gantian Abdul Rahim Abdul Razak pada minit ke-87 yang menerima lorongan rakan sepasukan dari luar kotak penalti.

Keputusan malam tadi menyaksikan kedua-dua pasukan sekali lagi terpaksa berpuas hati mengutip satu mata selepas mencatat keputusan sama pada aksi pusingan pertama liga, bulan lepas.

Selangor FC II kini menduduki tangga kelima liga dengan mengumpul 22 mata selepas mengharungi 16 perlawanan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Oliver muncul wira Gergasi Merah, tumbangkan Sri Pahang FC 3-1

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Aksi sulung pemain import Selangor FC Oliver Buff ternyata tidak mengecewakan apabila menyumbang dua gol bagi mengesahkan kemenangan 3-1 ke atas pasukan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.

Pemain berusia 28 tahun dari Switzerland itu meletakkan Gergasi Merah di hadapan dengan 1-0 pada masa kecederaan babak pertama.

Grafik: Selangor FC

Seorang lagi bintang baharu skuad Selangor FC Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi meledak gol kedua tuan rumah pada minit ke-55, sebelum skuad Tok Gajah merapatkan jurang menerusi sepakan percuma Muhamad Nor Azam Abdul Azih pada minit ke-69.

Gol ketiga Buff pada masa kecederaan mengesahkan Selangor FC meraih tiga mata berharga dalam aksi ketika cuaca hujan malam tadi.

Kempen Liga Malaysia (Liga-M) bermula kelmarin, selepas juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut selepas menang 2-0 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Sultan Ibrahim dalam suasana norma baharu.

Di Stadium UiTM FC, Shah alam, tuan rumah gagal memanfaat peluang di laman sendiri apabila kecundang 1-2 kepada Terengganu FC (TFC).

Sumber Grafik: MFL

Skuad kendalian Frank Bernhardt terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Mohd Fauzi Abdul Latif pada minit ke-32, namun skuad Penyu bangkit menerusi jaringan penyerang import dari Brazil, David da Silva (76) dan Mohamad Hakimi Abdullah (87).

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, pasukan Melaka United bangkit menyamakan kedudukan menerusi S. Kumaahran pada minit ke-63 untuk berkongsi satu mata selepas Sabah FC mendahului hasil jaringan Hamran Peter sebelum tamat separuh masa pertama.

Pertemuan di antara dua pendatang baharu ke saingan divisyen teratas di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, menyaksikan Penang FC mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas KL City FC menerusi jaringan David William Rowley pada minit ke-29.

Sementara itu, saingan LIGA PREMIER, menyaksikan Negeri Sembilan FC mengatasi Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 2-1 dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Bekas penyerang kebangsaan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-23, sebelum skuad Harimau Selatan menyamakan kedudukan menerusi Mohamad Rafiefikri Mohd Rosman (min 45), namun Alain Thierry Akono mengesahkan kemenangan pada minit ke-51.

Sumber Grafik: MFL

Skuad Projek FAM-MSN di belasah 4-0 oleh TFC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, menerusi jaringan Muhammad Hairiey Hakim pada minit ke-19, Muhamad Nur Azfar Fikri (42), Mohamad Ridzuan Razali (46) dan sepakan penalti Wan Mohamad Fazli Wan Ghazal pada masa kecederaan.

Selangor FC 2 pula membenam PDRM FC 3-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur hasil jaringan pemain import Myanmar Hein Htet Aung pada minit ke-43 dan pemain import dari Ghana George Attram pada minit ke-59 dan penalti pada minit ke-76.

Terdahulu, jaringan tunggal Muhammad Hakimi Mat Isa pada minit ke-49 sudah cukup bagi Perak FC II untuk menewaskan Kelantan FC 1-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

UiTM FC rapatkan jurang, PDRM pesta gol

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Pasukan UiTM FC berjaya merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Premier, Johor Darul Ta’zim (JDT) II selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas UKM FC di Stadium UiTM, Shah Alam, malam tadi.

Jaringan tunggal perlawanan dijaringkan oleh Mohammad Amer Azahar, yang meledak masuk sepakan penjuru pada minit ke-83.

Keputusan itu menyaksikan UiTM FC yang telah bermain 12 perlawanan, melonjak ke tangga kedua carta selepas mengumpul 23 mata dengan memintas Sabah (21 mata), manakala JDT II terus kekal di tangga teratas dengan 24 mata, walaupun baru bermain 11 perlawanan.

Di Stadium Hang Hebat, Melaka, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakarkan kemenangan ketiga berturut-turut apabila berpesta gol ke atas Sarawak menerusi kemenangan 6-2.

Skuad ‘The Cops’ membuka jaringan menerusi Azmizi Azmi seawal minit ke-10, namun Muhammad Firdaus Fauzi berjaya menyamakan kedudukan lapan minit kemudian buat skuad Bujang Senang.

Juara liga pada 2007 dan 2014 itu, kemudian terus ‘merusuh’ apabila menjaringkan gol menerusi pemain import dari Korea Selatan, Lee Chang-hoon pada minit ke-25, pemain import Brazil, Andre Francisco Williams Rocha Da Silva (29’) dan sepakan penalti Shahurain Abu Samah (41’).

Bersambung pada babak kedua, pemain gantian, R. Gopinathan menambah derita buat Sarawak apabila menambah jaringan pada minit ke-72 dan 90, manakala pasukan pelawat mengurangkan defisit menerusi Zahrul Nizwan Joe Kifli pada minit ke-86.

Keputusan itu menyaksikan PDRM melonjak dua anak tangga ke kedudukan kelima carta dengan 15 mata, manakala Sarawak kekal di tempat ke-10 selepas hanya meraih sembilan mata daripada 12 aksi setakat ini.

Sementara itu, Pulau Pinang pula membenam pasukan tercorot liga, Kelantan 4-1 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Pasukan tuan rumah, Pulau Pinang bermula garang apabila menjaringkan gol seawal minit kelima menerusi penyerang import dari Argentina, Julian Bottaro, sebelum pemain import dari Korea Selatan, Kang Seung-jo menggandakan jaringan pada minit ke-39.

Kelantan yang turun tanpa kelibat pemain import, terus dihukum apabila seorang lagi pemain import dari Argentina, Sergio Aguero menjaringkan gol pada minit ke-47 dan 58, manakala gol sagu hati skuad ‘The Red Warriors’ diperoleh menerusi Mohamad Amirul Shafik Che Soh pada minit ke-78.

SUMBER: BERNAMA